Categories
NASIONAL SELANGOR

Kos Bina Unisel Cuma RM285 Juta Tetapi Kerajaan Umno-BN Bina Dengan Kos RM1.5 Bilion

Prof Anwar 19 April 01

SHAH ALAM, 22 APRIL : Kos penubuhan Universiti Selangor(Unisel) berdasarkan penilaian semula hanya menelan kos sejumlah RM285 juta bukannya RM1.5 bilion seperti yang didakwa pentadbiran Kerajaan Negeri Umno-BN sebelum ini.

Perkara ini didedahkan Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad dalam wawancara khas bersama TV Selangor.

Anwar mendakwa kos berkenaan diperolehi berdasarkan penilaian semula keadaan tanah mendap dan keadaan bangunan retak daripada impak perancangan pembinaan.

” Pada 2002, bayaran tanah untuk penubuhan Unisel bagi 801 ekar Bukit Jalil, 210 ekar di Sungai Buloh dan 3,000 ekar di Bestari Jaya mencecah RM1.14 bilion.

“Ditambah dengan bayaran bon yang diambil sebanyak RM120 juta dan pembinaan asrama RM212 juta menyebabkan kos keseluruhan sebanyak RM1.5 bilion.

“Sedangkan penilaian semula, kesemua kos itu hanyalah RM285 juta sahaja, mana lagi hilang duit rakyat sebanyak RM1.2 bilion, siapakah perlu bertanggungjawab? berapa banyak kewangan rakyat ditelan, siapa yang dapat,? soalnya.

Anuar menambah disebabkan kos yang mahal itu juga Unisel terpaksa membayar RM1 juta sebulan kepada Syarikat Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB).

” Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sentiasa menyerang Unisel, sepatutnya beliau ‘buka mata’ lihat ini salah siapa.

” Bagi saya beliau menyerang Unisel untuk memburukkan Kerajaan Negeri Selangor, tetapi jika kita tahu perkara yang sebenar sudah tentu tidak akan memilih kerajaan yang lama lagi.

” Begitu juga dengan hutang yang didakwa Umno-BN, sedangkan disebabkan kebijaksanaan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengambil alih hutang RM100 juta sebelum ini, Unisel untung RM127 juta,” katanya.

Anuar turut mengulas manifesto BN Selangor yang mahu membangunkan Unisel bagi mencapai sasaran dan inovatif, beliau berkata telahan dan ucapan dari parti itu tidak mempunya fakta.

Ini kerana Unisel sentiasa memfokuskan kecemerlangan akademik selain pelajarnya yang meningkat dalam beberapa tahun ini.

” Pada 2015, kita mensasarkan 20 peratus daripada pensyarah kita mempunyai Ijazah Kedoktoran (PHD). Sekarang kita mempunyai 60 pensyarah mempunyai PHD, kita sasar 100 orang menjelang 2015.

” Manakala, jika dahulu kita tawarkan hanya untuk pelajar Diploma tetapi sekarang kita mempunyai 560 pelajar Ijazah Sarjana dan PHD. Keseluruhan pelajar kita mencecah 14,700 pelajar termasuk pelajar yang akan bergraduat Oktober ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Abdul Khalid : YAPIS Untuk Bela Sekolah Agama Rakyat

pic buletin 13 - 12Apr13 6ptg

KLANG, 13 APRIL : Kerajaan Negeri menubuhkan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) supaya dapat membela nasib Sekolah Agama Rakyat (SAR), Maahad Tahfiz dan sekolah pondok di seluruh Selangor yang diabaikan oleh Kerajaan Umno-BN sebelum 2008.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, YAPIS ditubuhkan supaya semua institusi pendidikan agama di seluruh Selangor dapat pembelaan yang sewajar oleh satu yayasan.

Katanya, SAR tidak mendapat perhatian dan pemantauan daripada Kerajaan Negeri sebelum 2008 hingga menyebabkan rata-rata pelajarnya keciciran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dengan cara ini, aktiviti pendidikan Islam yang terutamanya dipanggil sekolah-sekolah pondok dahulu dapat diperkemaskan dan dipertingkatkan lagi.

“Dan kita dapati juga hasil daripada usaha ini begitu ramai pelajar-pelajar yang dulunya tercicir di sekolah telah dapat dirangkumi semula.

“Sebagai contoh, lebih daripada 100 anak-anak muda kita tercicir daripada pelajaran tetapi mereka dapat peluang kedua untuk menyertai Sekolah Tahfiz ini dan menjalankan program antara lain menghafaz Al-Quran dan kita sulami dengan beberapa program pendidikan yang membolehkan mereka menduduki SPM,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Dana Pendidikan Kepada YAPIS bertempat di Kompleks Tahfiz Al-Quran Sofiuddin (KOMTAS), Kampung Sungai Delek, Klang.

Dalam majlis itu, Abdul Khalid menyampaikan dana sebanyak RM1 juta kepada YAPIS di mana pemberian dana itu dipersetujui Kerajaan Negeri pada tahun lalu.

Sepanjang lima tahun ini juga, Kerajaan Negeri telah menyalurkan dana sebanyak RM32.5 juta bagi pembangunan infrastruktur SAR di seluruh Selangor.

Turut hadir pada majlis itu, Dr Halimah Ali, Timbalan Pengerusi YAPIS, Prof Dr Zainal Abidin Kidam, Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad serta hampir 300 pelajar tahfiz dan penduduk setempat.

Categories
SELANGOR

LZS Sumbang 200 Komputer Riba Kepada Mahasiswa Selangor

Zakat Selangor Sumbang Laptop pada Anak Yatim 01

SHAH ALAM 13 MAC : Seramai 200 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) menerima sumbangan bantuan komputer daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bernilai RM 2,000 setiap satu.

Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, pemberian bantuan itu melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM400,000.

“Pemberian komputer riba ini diharap mampu menjentik motivasi kepada para pelajar tajaan LZS yang lain, khususnya anak-anak asnaf untuk berusaha lebih gigih dalam pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Mesra Pelajar Tajaan Lembaga Zakat Selangor yang diadakan di Dewan Pro-Canselor Universiti Selangor (Unisel) di sini.

Ujarnya, para pelajar disaran untuk memanfaatkan penggunaan komputer riba tersebut untuk tujuan berfaedah demi menggapai kecemerlangan berterusan dalam pendidikan.

Zakat Selangor Sumbang Laptop pada Anak Yatim 02Bantuan ini hanya terbuka kepada asnaf kelahiran Selangor dan belajar di IPT yang berada di dalam negeri ini.

Sebelum ini, LZS memulakan pemberian komputer riba sejak 2004 kepada mereka yang cemerlang dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 ke atas dan ia dibuat berdasarkan permohonan dan memenuhi kriteria tertentu.

Walaubagaimanapun, bermula pada tahun ini mereka yang memperolehi PNGK 2.5 ke atas layak juga menerimanya.

Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, para pelajar yang sudah berjaya diharapkan mampu menjadi penyumbang pembayaran zakat di masa hadapan apabila sudah berkerjaya.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar, Pejabat Agihan LZS, Abdul Basith Hamid dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Unisel, Prof Madya Zainal Abidin Kidam.

Sehingga Disember 2012, LZS telah membiayai sejumlah 2,320 mahasiswa asnaf fakir dan miskin yang melanjutkan pengajian di IPTA dan IPTS seluruh negara bermula dari peringkat sijil hingga doktor falsafah.

Categories
SELANGOR

Pelajar Unisel Diberi Kemudahan ‘Broadband’

Unisel Konvokesyen 2012 05

SHAH ALAM 8 MAC : Kira-kira 6,000 pelajar Universiti Selangor (Unisel) akan menerima kemudahan jalur lebar (Broadband) secara percuma dalam tempoh terdekat.

Naib Canselornya, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, ini adalah inisiatif bagi memberikan keselesaan kepada pelajar Unisel yang merungut ekoran kesukaran melayari internet di penempatan luar kampus.

“Kita akan memberikan kepada para pelajar kemudahan ‘broadband’ yang mana mereka boleh menggunakan internet melalui komputer mereka sendiri tanpa caj apa-apa kepada para pelajar.

“Kita bagi kepada semua 6,000 pelajar dan dengan ini masalah kemudahan internet dapat diselesaikan di mana mereka sudah membayar yuran untuk kemudahan ini sebelum ini,” kata Prof Dr Anuar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media di pejabatnya di sini.

Sementara itu, Prof Dr Anuar menjelaskan, pihak Unisel kini sedang menunggu laporan analisis berhubung kejadian mendapan asramanya daripada konsultan untuk tindakan lanjut dalam masa terdekat.

“Proses penilaian sudah bermula dan sekarang ini kita menunggu hasil tersebut daripada konsultan jika ia menunjukkan perlunya bangunan asrama itu diperbaiki maka pihak ia akan diperbaiki.

“Proses itu daripada sekarang akan mengambil masa antara lima ke enam bulan lagi untuk diselesaikan.

“Selepas itu mereka akan mencadangkan bagaimana proses pembaikan dapat dijalankan dan jika kosnya sesuai maka akan dilaksanakan bergantung kepada cadangan yang mereka akan berikan.

Ujarnya, keseluruhan proses pembaikan akan mengambil masa setahun setengah jika kejadian mendapan itu serius.

“Jika tidak serius maka proses pembaikan akan mengambil masa antara enam bulan,” katanya.

Jelas Prof Dr Anuar, para pelajar yang kini ditempatkan di luar kampus berpuas hati dengan kediaman dan kemudahan pengangkutan serta keselamatan yang disediakan oleh pihak Unisel.

“Kini tiada rungutan pelajar berkenaan masalah pengangkutan,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

Konvokesyen Unisel Kali Ke-7 Pada 9 Mac

Unisel Konvokesyen 2012 03

SHAH ALAM 7 MAC : Seramai 341 graduan Universiti Selangor (Unisel) termasuk 57 pelajar yang mengikuti program Diplima Kejuruteraan Jepun/Unisel Japanese Associate Degree Programme (JAD) akan menerima ijazah serta diploma masing-masing.

Ia akan diserahkan dalam Istiadat Konvokesyen Ketujuh Unisel yang akan berlangsung pada 9 Mac ini di Dewab Pro-Canselor, Kampus Unisel di sini.

Naib Canselornya, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, istiadat itu akan dirasmikan oleh Canselor Unisel, YAM Tan Sri Datuk Seri Raja Arshad Raja Tun Uda yang turut akan dihadiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kumpulan 57 pelajar cemerlang ini ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Pelajaran MARA (YPM) yang dipilih daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti program JAD di Unisel yang dijalankan sejak 2005.

“Sehingga kini seramai 547 graduan JAD sudah menamatkan pengajian di Unisel,” kata Prof Dr Anuar ketika sidang media di pejabatnya di sini.

Jelas Prof Dr Ahmad, mereka akan berlepas ke Jepun pada 25 Mac depan bagi menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda yang dibiayai sepenuhnya oleh YPM selama dua tahun yang bergabung di bawah 15 konsortium Universiti Jepun.

“Program JAD adalah projek khas Kerajaan Malaysia menerusi konsep Dasar Pandang Ke Timur untuk pelajar Bumiputera menyambung pengajian mereka di Jepun.

“Pelajar perlu mengikuti pengajian JAD di Malaysia dengan menguasai bahasa Jepun sepenuhnya selama tiga tahun bagi mengikuti program Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Elektrikal dan Kejuruteraan Elektrik Teknikal Jepun,” kata beliau.

Categories
SELANGOR

Anwar : Nilai Ketirisan Sekarang Mampu Tampung Pendidikan Percuma

Konvensyen Pendidikan Unisel 2013 01

SHAH ALAM, 5 FEB: Nilai ketirisan wang rakyat dan pembaziran yang dilakukan Kerajaan Pusat kini bukan sahaja mampu menampung kos pendidikan percuma malah lebih dari mencukupi.

Menurut Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucaptama di Konvensyen Antarabangsa Pendidikan di Universiti Selangor (Unisel) di sini, dakwaan bahawa negara akan muflis sekiranya pendidikan percuma dilaksanakan juga adalah suatu pembohongan Umno-BN.

“Penyebab negara boleh muflis adalah disebabkan pembaziran dan ketirisan kerajaan dalam berbelanja, bukan sebab beri rakyat pendidikan percuma.

“Contohnya kita dapat lihat Kerajaan Negeri Selangor bina jalan dengan spefikasi sama dengan jalan dibina Kerajaan Pusat, tetapi kos Kerajaan Negeri jimat lebih 30 peratus” kata beliau dalam ucaptama yang bertajuk ‘Pendidikan Percuma di Malaysia: Suatu Realiti’ pagi tadi.

Anwar yang juga merupakan Ketua Pembangkang itu turut mengingatkan kerajaan agar keperluan pendidikan percuma dan isu kualiti pendidikan negara hendaklah diambil perhatian yang serius.

Justeru, Pakatan Rakyat (PR) berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemimpinnya sekiranya menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke -13 tahun ini.

Konvensyen Antarabangsa Pendidikan di Unisel hari ini berlangsung untuk hari ke dua.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Dasar Pendidikan Malaysia Daripada Perspektif Holistik’.

Dalam konvensyen yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu menampilkan pembentang kertas kerja dalam dan luar negara.

Antara yang membuat pembentangan di konvensyen tersebut, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali, Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad dan Ketua Jabatan Pusat Kajian E-Komuniti UKM, Prof Madya Dr Supyan Hussin dan lain-lain.

Ahli akademik luar negara yang turut membuat pembentangan termasuklah Pensyarah Institut Pengajian Islam Gontor Penorogo, Bapak Dr Amal Fathullah Zarkasyi dari Indonesia dan profesor dan Pengarah Urusan Centre for Phytotherapy Research, Prof Dr Ameenah Gurib-Fakim dari Mauritius.

Categories
SELANGOR

Prof Anuar : Sudah Sampai Sistem Pendidikan Negara Diperkasa

Prof Anuar Unisel 02

SHAH ALAM 3 FEB: Naib Canselor Universiti Selangor(Unisel), Prof. Dr Anuar Ahmad berkata, kini sudah tiba masanya sistem pendidikan negara diperkasakan dari terus mewarisi dasar pendidikan penjajah yang sekular.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara secara ekselusif oleh Tv Selangor sempena Konvensyen Antarabangsa Pendidikan (KAP 2013) yang akan berlangsung pada 4 dan 5 Februari ini.

Konvensyen yang bertempat di Dewan Pro-Canselor UNISEL Seksyen 7 Shah Alam itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

KAP 2013 akan menampilkan ahli-ahli akademik seperti Dr. Amal Fathullah Zarkarsyi dari Pesantren Darul Salam, Gontor, Indonesia dan Prof Dr Ameenah Gurib-Fakim dari Universiti Mauritius.

“Kita melihat, pendidikan yang ada di negara hari ini terlalu sekular, di mana kita melahirkan cerdik pandai yang hanya hebat dari sudut intelektual tetapi spiritual, emosi dan akhlaknya tidak begitu stabil.

“Menerusi KAP 2013 ini kita akan melihat bagaimana kita perlu mengubal kembali sistem pendidikan negara ini ke arah yang lebih holistik, bukan sekadar menjadikan negara ini kaya sebaliknya lebih dirahmati,” jelasnya.

Selain itu, beliau menambah pemberian pinjaman seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukannya kaedah terbaik untuk meringgankan beban rakyat.

“Saya merasakan ini adalah satu dasar kapitalis yang melampau (dasar ini) hanya mahukan rakyatnya hidup dalam keadaan berhutang, keluar sahaja daripada universiti pelajar sudah memiliki hutang RM40 hingga RM60 ribu.

“Berbanding dengan dasar pinjaman pelajar di negara jiran Thailand, pelajar boleh membuat pinjaman maksimum RM20 ribu, sekiranya kos melebihi pinjaman itu, kerajaan akan menampungnya,” kata beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kepimpinan Telus Mampu Beri Rakyat Pendidikan Percuma

Anuar Ahmad

SHAH ALAM 2 FEB : Kepimpinan negara yang telus dan tidak mengamalkan sistem kapitalis sebenarnya mampu merealisasikan pendidikan percuma di negra ini.

Perkara ini dinyatakan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Profesor Dr Anuar Ahmad dalam satu temubual ekselusif bersama Tv Selangor semalam.

Oleh itu, bagi merealisasikan pendidikan percuma ini, pihak Unisel secara serius akan membincangkan perkara ini dalam Konvensyen Antarabangsa Pendidikan (KAP 2013) yang akan berlangsung pada 4 dan 5 Februari ini.

Konvensyen yang bertempat di Dewan Pro-Canselor UNISEL Seksyen 7 Shah Alam itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

KAP 2013 akan menampilkan ahli-ahli akademik seperti Dr. Amal Fathullah Zarkarsyi dari Pesantren Darul Salam, Gontor, Indonesia dan Prof Dr Ameenah Gurib-Fakim dari Universiti Mauritius.

Selain itu KAP 2013 juga disertai penggubal dasar dan pemikir-pemikir politik seperti Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli.

Mengulas lanjut berhubung kesediaan negara melaksana pendidikan percuma, Anuar percaya ia mampu melaksanakannya seperti mana yang dilakukan oleh Mauritius.

“Melihat kepada pendapat negara kasar, Malaysia agak baik berbanding negara-negara miskin yang lain seperti Mauritius yang mana pendapatan negara kasarnya lebih rendah daripada Malaysia.

“Namun ia (Mauritius) mampu memberi pendidikan percuma sehinggakan pengangkutan anak-anak ke sekolah turut dibiayai oleh kerajaan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Yayasan Selangor Beri Biasiswa Kepada 50 Pelajar Pengajian Asas UNISEL

UNISEL Yayasan Selangor biasiswa 01

SHAH ALAM 30 JAN : Bagi memberi peluang pendidikan yang menyeluruh kepada pelajar Selangor, Yayasan Selangor (YS) memperuntukkan biasiswa sebanyak RM 623,000 untuk 50 pelajar pengajian asas (foundation) di Universiti Selangor (Unisel) bagi tahun 2013.

Jumlah pelajar yang menerima itu meningkat berbanding RM 273,000 untuk 39 pelajar yang menerima pada tahun lalu.

Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad berkata pelajar program asas Unisel bertuah kerana yuran pengajiannya terendah berbanding Institusi Pengajian Tinggi Swasta IPTS lain.

UNISEL Yayasan Selangor biasiswa 02Malah, IPTS lain tidak menawarkan biasiswa untuk pelajarnya, kata Anuar.

“Walaupun yurannya rendah tidak semestinya kualiti Unisel rendah.

?Jadi pelajar yang menerima biasiswa ini diharap dapat menggunakan peluang ini dengan sebaiknya,” kata Anuar selepas Majlis Penyerahan biasiswa YS kepada pelajar asas Unisel.

Hadir sama Pengurus Besar YS, Ilham Marzuki ; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya Zainal Abidin Kidam, Pengurus Kanan Pendidikan YS Zahura Zakry dan Pengurus Pembiayaan Pendidikan YS, Anizan Ibrahim.

Sementara itu, Ilham berkata peruntukkan kewangan untuk biasiswa itu diperolehi daripada projek usahasama perniagaan Kerajaan Negeri.

“Jangan sia-sia pemberian ini, ia bukan duit daripada cukai pendapatan tetapi duit dari kutipan sewa dan projek usahasama.

“Kita berjaya menutup segala ketirisan ketika dulu. Duit banyak tetapi bocor lebih banyak,” katanya.

Biasiswa itu diberikan kepada pelajar kursus pengajian asas antaranya ‘Foundation in Management, Foundation in Education (TESL), Foundation in Information Technology dan Foundation in Science’.

Untuk rekod, seramai 2,715 pelajar mengikuti pengajian peringkat asas di Unisel sejak 2007 hingga 2012.

Penerima biasiswa 2012, Muhammad Amy Ashraf Jamal, 22, berkata biasiswa itu dapat mengurangkan beban keluarganya seterusnya menjadi pendorong untuk beliau mencapai CGPA 4.00.

UNISEL Yayasan Selangor biasiswa 03Beliau yang mengikuti kursus pengajian asas pengurusan berharap dapat mengekalkan kecemerlangan itu supaya dapat melanjutkan pelajarannya ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu, R.Kanageswari, 19, juga pelajar kursus pengurusan, teruja apabila dimaklumkan beliau terpilih menerima biasiswa itu.

Katanya, peluang yang diberikan itu akan digunakan sebaik-baiknya kerana bukan mudah untuk terpilih.

Penerima lain, Song Li Jing, 19, pelajar kursus sains dan bioteknologi berkata beliau bersyukur kerana terpilih.

“Sebagai anak sulung dari empat orang adik beradik dan keluarga yang kurang berkemampuan, saya sangat menghargainya. Pada mulanya saya terkejut kerana terpilih, tidak sangka saya layak,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jana Niaga Perlu Bertanggungjawab Baiki Asrama Unisel

Prof Anuar Unisel 01

SHAH ALAM 10 JAN : Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) perlu bertanggungjawab sepenuhnya untuk membaik pulih asrama pelajar Universiti Selangor (Unisel) yang mengalami masalah tanah mendap dan mengancam struktur bangunan asrama tersebut.

Naib Canselor, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, sebanyak 44 blok asrama yang dibina di atas tapak lombong bijih timah pada 2002 itu kini tidak selamat untuk didiami.

“Kesilapan besarnya ialah kedudukan asrama Unisel itu dibuat di atas tapak lombong yang tidak dibuat ‘rawatan’ dengan betul.

“Ini masalah pada 2002 – 2005 di mana ia dibuat mungkin hanya untuk mendapatkan keuntungan yang cepat dan banyak atau sebagainya yang tidak diketahui,” kata Dr Anuar ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Jelas beliau, sewajarnya pihak yang membinanya dahulu menggunakan kaedah ‘accelerated settlement’ yang mana apabila berlaku pemendapan ia tidak mengancam struktur keseluruhan keselamatan bangunan.

Ujarnya lagi, turut berlaku masalah sistem kumbahan yang menyebabkan pihak Unisel terpaksa menanggung masalah itu.

“Selepas dua tahun asrama siap, baru sistem rawatan kumbahan siap pada 2007 di mana pelajar sudah mendudukinya pada 2005, jadi ke mana kumbahan itu dibuang,” katanya.

Katanya, pihak Unisel dalam proses menamatkan kontrak Jana Niaga ekoran beberapa pelanggaran syarat dan terma perjanjian.

Kini pelajar ditempatkan di kediaman sementara di Kota Puteri, Ijok; Azalea Court Bandar tasik Puteri, Rawang; Resort Mega Crystal Kuala Selangor; Taman Ilmu di Bestari Jaya dan Bukit Minyak di sekitar daerah Kuala Selangor.

Beliau berkata, pihak Unisel turut menyediakan perkhidmatan bas ulang alik dengan kadar sewa bulanan RM200 sebulan termasuk pengangkutan, utiliti api dan air serta khidmat kawalan keselamatan.

“Kerajaan Negeri sudahpun memberikan peruntukan sebanyak RM10 juta yang sudah masuk ke dalam akaun Unisel dan jika Jana Niaga tidak membuat pembaikan kita akan tamatkan kontraknya,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM 20 juta untuk kerja-kerja pembaikan asrama tersebut sekiranya JNSB enggan bertanggungjawab.

Categories
SELANGOR

MB Sahkan JKR Arah Tutup Sementara Asrama Unisel

MB Datuk Bandar 01

IJOK, 4 JAN: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan arahan mengosongkan asrama Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya, bukan daripada pihak pengurusan Unisel sebaliknya keputusan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ini kerana hasil kajian yang dibuat mendapati, sistem saluran air yang sepatutnya dihubungkan ke kolam utama berada dalam keadaan tidak sempurna sehingga mengakibatkan takungan air bawah tanah.

“Masalah ini berlaku lebih dah lebih dua tahun,” katanya pada satu sidang media.

Semalam, Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad memaklumkan atas faktor keselamatan, Unisel memindahkan 2,000 pelajarnya yang menghuni di asrama Bestari Jaya ke beberapa kediaman di luar kampus.

Langkah tersebut diambil bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan kawasan kampus yang dijangka mengambil masa kira-kira 12 bulan.

Sebelum itu, dilaporkan pada 20 Disember lalu, atas permintaan Unisel, Bahagian Senggara Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor melakukan tinjauan di kawasan asrama Unisel Kampus Bestari Jaya.

Tinjaun tersebut mendapati keadaan tanah mengalami mendapan yang serius sehingga menganggu kelancaran sistem kumbahan, perparitan dan kabel bawah tanah

Susulan dari itu, JKR pada 26 Disember menyarankan agar kerja-kerja pembaikan dilakukan segera dan bangunan asrama perlu dikosongkan penghuni.

Sehubungan itu juga, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM20 juta untuk kerja-kerja pembaikan asrama tersebut sekiranya Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) enggan bertanggungjawab.

Categories
SELANGOR

Unisel Sediakan Kediaman Sementara Bagi Pelajar Bestari Jaya

anuar unisel mic pc 01

SHAH ALAM 3 JAN : Atas faktor keselamatan, Universiti Selangor (Unisel) telah memindahkan 2,000 pelajarnya yang menghuni di asrama Bestari Jaya ke beberapa kediaman di luar kampus.

Langkah tersebut diambil bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan kawasan kampus yang dijangka mengambil masa kira-kira 12 bulan.

Naib Canselor Unisel, Prof Dr. Anuar Ahmad berkata pihaknya kini sedang menunggu respon daripada Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB), syarikat yang bertanggungjawab menguruskan asrama tersebut tentang kerja pembaikan.

“Sejak surat dihantar 27 Disember lalu hingga kini, kita masih tidak menerima sebarang maklum balas daripada JNSB samada mereka bersedia untuk menanggung kos pembaikan atau tidak.

“Jika mereka masih senyap, kita menganggap mereka tidak berminat.

“Namun kita akan teruskan juga kerja-kerja pembaikan dengan bantuan dan sokongan Kerajaan Negeri,” jelas Anuar yang ditemani Exco Pendidikan Tinggi, Dr. Halimah Ali dalam satu sidang media di sini pagi tadi.

Dalam pada itu, Halimah memberitahu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM 20 juta untuk kerja-kerja pembaikan asrama tersebut sekiranya JNSB enggan bertanggungjawab.

Pelajar Unisel kampus Bestari Jaya yang akan mula mendaftar pada 11 Januari akan ditempatkan di kediaman sementara di Bandar Tasik Puteri, Rawang dan Kota Puteri, Ijok, selain beberapa kediaman lain di kawasan Ijok.

Mereka juga akan disediakan perkhidmatan pengangkutan, internet serta pegawai keselamatan.

Anuar menjelaskan bahawa pelajar masih membayar RM 200, sama seperti kadar di asrama yang asal.

Dilaporkan pada 20 Disember lalu, atas permintaan Unisel, Bahagian Senggara Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor melakukan tinjauan di kawasan asrama Unisel Kampus Bestari Jaya.

Tinjaun tersebut mendapati keadaan tanah mengalami mendapan yang serius sehingga menganggu kelancaran sistem kumbahan, perparitan dan kabel bawah tanah.

Susulan dari itu, JKR pada 26 Disember menyarankan agar kerja-kerja pembaikan dilakukan segera dan bangunan asrama perlu dikosongkan penghuni.