Categories
NASIONAL

Rafizi : Hapus Cukai – Model Tempatan Terus Kekal Terendah

 

SHAH ALAM,27 JULAI : Harga kereta Proton dan Perodua akan terus kekal terendah dalam pasaran jika rombakan struktur cukai dibuat dan cukai eksais dihapuskan.

Pengarah Strategi PKR,Rafizi Ramli berkata,jika rombakan itu dilaksanakan harga kesemua model kereta akan turun secara berkadar terus dengan jumlah cukai eksais yang dikenakan selama ini.

?Maka, harga Proton dan Perodua masih kekal sebagai harga kereta terendah di pasaran pada harga purata di bawah RM30,000 setiap satu model.

“Berbanding kereta-kereta lain seperti Honda, Toyota dan lain-lain yang harganya akan jatuh sekitar RM50,000 setiap satu model secara purata,? kata Rafizi dalam kenyataan media.

Ujar Rafizi, sikap pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) mengatakan rombakan struktur cukai menyebabkan harga kereta import setara Perodua dan Proton, sekaligus menyebabkan jenama kereta tempatan itu terpinggir, tidak benar sama sekali.

Jelasnya, kereta Proton dan Perodua yang dijual dicukai sekurang-kurangnya 85 peratus dalam bentuk cukai eksais dan cukai jalan, seperti model yang dijual Honda, Toyota dan lain-lain.

Menurut Rafizi, cukai eksais yang dikenakan terhadap pembelian kereta adalah cukai menyeluruh, tidak membezakan antara jenama dan model tempatan atau antarabangsa.

?Cukai eksais dikenakan terhadap sesuatu kumpulan barangan. Maka cukai eksais terhadap pembelian kereta adalah cukai yang dikenakan terhadap mana-mana pembelian, pada kadar yang sama,? kata Rafizi.

Tambah beliau, ini mengukuhkan pendirian PKR bahawa rombakan struktur cukai ke arah memastikan harga kereta berada pada paras yang munasabah dan adil.

Rafizi juga membidas reaksi awal pimpinan Umno-BN yang mempersoalkan sumber kewangan untuk membiayai rombakan struktur cukai kereta ini.

Anggaran yang dibuat PKR menunjukkan hasil kutipan cukai eksais dan cukai jualan dari jualan kereta setiap tahun adalah RM8 bilion.

“Semakan ke atas segala perbelanjaan diluar perancangan oleh Perdana Menteri dan peningkatan mendadak perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri menunjukkan jumlahnya jauh mengatasi RM8 bilion yang diperlukan untuk membantu rakyat ini,” katanya.

Rafizi berkata,PKR yakin bahawa rombakan struktur cukai ke arah memastikan harga kereta lebih murah tidak akan membebankan negara jika segala keborosan Perdana Menteri dihentikan.

Malah, PKR juga telah membincangkan mekanisme rombakan struktur cukai secara terperinci untuk memastikan penghapusan cukai eksais kelak akan diganti dengan sumber pendapatan yang baru.

Mekanisme ini akan diumumkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu depan sekembalinya beliau dari mengerjakan ibadah umrah.

“Perkara ini perlu diperdebatkan dengan lebih halus supaya rakyat boleh membuat keputusan mengenai kaedah percukaian kereta yang paling adil,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.