Categories
EKONOMI

Honda Malaysia catat pendaftaran kereta tertinggi pada Julai

KUALA LUMPUR 25 OGOS: Honda Malaysia mencatat pendaftaran tertinggi kereta jenama itu pada Julai, dengan sebanyak 12,808 unit dijual.

Dalam kenyataan hari ini, Honda berkata City, Civic dan Jazz adalah model paling laris dijual pada bulan itu dengan penguasaan jualan masing-masing sebanyak 36 peratus, 19 peratus dan 16 peratus.

“City menjadi kegemaran Malaysia kerana berbaloi dengan nilainya selain cirinya yang sesuai untuk kegunaan persendirian atau keluarga,” kata Honda dalam kenyataan itu.

Honda Malaysia juga berkata ia akan memperkenal satu lagi model popular di pasaran Malaysia, iaitu HR-V baharu, tidak lama lagi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Honda umum turun harga kereta

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 MEI: Honda Malaysia Sdn Bhd mengumumkan bakal mengurangkan harga jualan untuk semua model selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), pada kadar sifar peratus bermula 1 Jun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toichi Ishiyama berkata, harga model pemasangan tempatan (CKD) akan dikurangkan antara RM4,088 hingga RM9,573.

“Antaranya City, City Hybrid, Jazz, Jazz Hybrid, BR-V, CR-V dan Accord, manakala untuk model kenderaan diimport sepenuhnya seperti Odyssey akan dikurangkan RM14,362 serta Civic Type R sebanyak RM18,072.

“Selain itu, alat ganti dan servis juga tidak akan dikenakan GST bermula 1 Jun ini,” katanya dalam kenyataan.

Toichi berkata, pelanggan boleh menikmati kadar harga lebih murah sebelum cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula.

Selain itu, pelanggan yang membeli model Honda tertentu bakal menerima ganjaran terhad.

Categories
EKONOMI

Honda panggil semula 2,814 unit model HR-V keluaran 2016

SHAH ALAM 28 OKT: Honda Malaysia memanggil semula 2,814 unit model HR-V keluaran 2016 berikutan masalah bar penstabil. Bar berkenaan kemungkinan akan patah sekiranya berada dalam keadaan tekanan tinggi.

Menurut Honda Malaysia, kerosakan bar penstabil itu disebabkan kawalan suhu yang tidak mencukupi ketika proses pengeluaran dan menyebabkan bar berkenaan tidak begitu kukuh.

Bar penstabil yang pecah itu akan menyebabkan roda tidak seimbang dan menyumbang kepada pemanduan tidak lurus yang mana kerana akan bergerak ke kiri atau kanan.

Setakat ini tiada lagi kes kemalangan atau kecederaan dilaporkan di Malaysia. Justeru itu pengedar jenama Honda di Malaysia itu mengambil langkah pencegahan menggantikan dengan bar yang baharu.

Buat masa ini, Honda Malaysia memiliki 50 peratus stok seluruh Malaysia dan alat ganti tersebut akan tersedia 100 peratus pada pertengahan bulan depan.

Pelanggan yang terlibat akan dihubungi menerusi surat dengan perincian maklumat panggilan semula produk.

Pelanggan yang telah menerima surat berkenaan diminta ke pusat jualan Honda berhampiran untuk pemeriksaan dan menggantikan dengan bar penstabil baharu. Kos penggantian akan ditanggung sepenuhnya oleh Honda Malaysia.

Honda Malaysia menggesa pelanggan yang terjejas menggantikan bar penstabil dengan segera sebaik sahaja mereka menerima surat tersebut.

Ini kerana kerosakan itu berpotensi mengakibatkan tayar pancit dan tidak stabil.

Untuk memeriksa status panggilan semula layari www.honda.com.my atau www.productrecall.honda.com.my.

Categories
EKONOMI

Honda panggil balik 24,962 unit model 2012

KUALA LUMPUR 4 FEB: Honda Malaysia Sdn Bhd memanggil balik 24,962 unit kenderaan model 2012 untuk mendapatkan pengggantian inflator beg udara bahagian hadapan penumpang Takata.

Dalam satu kenyataan, Honda Malaysia berkata model terlibat ialah Accord, Jazz, Jazz Hybrid, City, Freed dan Insight.

Syarikat melanjutkan langkah proaktif bagi memastikan keselamatan pelanggan yang merupakan keutamaannya, katanya.

“Kami menegaskan semua model sedang kami jual, tidak terjejas dan terus mendokong kawalan elus dan ketat bagi memastikan keselamatan pengguna,” katanya.

Honda Malaysia berkata syarikat memaklumkan semua pelanggan terjejas melalui surat pemberitahuan, termasuk perincian terkini produk tersebut.

“Pelanggan menerima surat ini digalakkan menghantar kenderaan mereka kepada pengedar Honda yang sah untuk membuat pemeriksaan dan penggantian,” katanya.

Mereka juga boleh memeriksa status ptarik balik kenderaan dengan melayari www.honda.com. atau www.productrecall.honda.com.my atau menghubungi Honda di talian bebas tol 1-800-88-2020.
=EZY=

Categories
NASIONAL

Rafizi : Hapus Cukai – Model Tempatan Terus Kekal Terendah

 

SHAH ALAM,27 JULAI : Harga kereta Proton dan Perodua akan terus kekal terendah dalam pasaran jika rombakan struktur cukai dibuat dan cukai eksais dihapuskan.

Pengarah Strategi PKR,Rafizi Ramli berkata,jika rombakan itu dilaksanakan harga kesemua model kereta akan turun secara berkadar terus dengan jumlah cukai eksais yang dikenakan selama ini.

?Maka, harga Proton dan Perodua masih kekal sebagai harga kereta terendah di pasaran pada harga purata di bawah RM30,000 setiap satu model.

“Berbanding kereta-kereta lain seperti Honda, Toyota dan lain-lain yang harganya akan jatuh sekitar RM50,000 setiap satu model secara purata,? kata Rafizi dalam kenyataan media.

Ujar Rafizi, sikap pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) mengatakan rombakan struktur cukai menyebabkan harga kereta import setara Perodua dan Proton, sekaligus menyebabkan jenama kereta tempatan itu terpinggir, tidak benar sama sekali.

Jelasnya, kereta Proton dan Perodua yang dijual dicukai sekurang-kurangnya 85 peratus dalam bentuk cukai eksais dan cukai jalan, seperti model yang dijual Honda, Toyota dan lain-lain.

Menurut Rafizi, cukai eksais yang dikenakan terhadap pembelian kereta adalah cukai menyeluruh, tidak membezakan antara jenama dan model tempatan atau antarabangsa.

?Cukai eksais dikenakan terhadap sesuatu kumpulan barangan. Maka cukai eksais terhadap pembelian kereta adalah cukai yang dikenakan terhadap mana-mana pembelian, pada kadar yang sama,? kata Rafizi.

Tambah beliau, ini mengukuhkan pendirian PKR bahawa rombakan struktur cukai ke arah memastikan harga kereta berada pada paras yang munasabah dan adil.

Rafizi juga membidas reaksi awal pimpinan Umno-BN yang mempersoalkan sumber kewangan untuk membiayai rombakan struktur cukai kereta ini.

Anggaran yang dibuat PKR menunjukkan hasil kutipan cukai eksais dan cukai jualan dari jualan kereta setiap tahun adalah RM8 bilion.

“Semakan ke atas segala perbelanjaan diluar perancangan oleh Perdana Menteri dan peningkatan mendadak perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri menunjukkan jumlahnya jauh mengatasi RM8 bilion yang diperlukan untuk membantu rakyat ini,” katanya.

Rafizi berkata,PKR yakin bahawa rombakan struktur cukai ke arah memastikan harga kereta lebih murah tidak akan membebankan negara jika segala keborosan Perdana Menteri dihentikan.

Malah, PKR juga telah membincangkan mekanisme rombakan struktur cukai secara terperinci untuk memastikan penghapusan cukai eksais kelak akan diganti dengan sumber pendapatan yang baru.

Mekanisme ini akan diumumkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu depan sekembalinya beliau dari mengerjakan ibadah umrah.

“Perkara ini perlu diperdebatkan dengan lebih halus supaya rakyat boleh membuat keputusan mengenai kaedah percukaian kereta yang paling adil,” katanya.