Categories
BERITA UTAMA

Premis gantung bendera terbalik terima surat tunjuk sebab

KUANTAN, 21 OGOS: Sebuah pusat pameran, jualan dan servis kenderaan di Sungai Isap di sini, diarahkan memberi penjelasan mengenai insiden memasang Jalur Gemilang terbalik, yang tular di laman sosial pada minggu lepas.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Datuk Hamdan Hussin berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada Isnin lalu yang membawa kepada pengeluaran surat tunjuk sebab kepada pemilik premis berkenaan.

“Pemilik premis diberikan tempoh tiga hari untuk memberi penjelasan dan saya difahamkan tempoh ini akan berakhir esok. Setakat ini, kami masih menanti jawapan mereka,” katanya.

Hamdan berkata demikian semasa ditemui pada Program Pemantauan Pemasangan Bendera Malaysia sempena bulan kebangsaan di premis sekitar bandar Kuantan hari ini, yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Abd Rahim Muda.

Premis tersebut menurut Hamdan, boleh dikenakan kompaun sehingga RM500 mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 sekiranya gagal mengemukakan surat dan penjelasan yang diminta pihak MPK.

Rakaman gambar dua daripada tiga bendera yang dinaikkan di hadapan premis perniagaan itu berada dalam keadaan terbalik tular di Facebook pada Isnin lepas, dan difahamkan mereka telah membuat permohonan maaf di laman sosial rasmi pada hari sama selepas menyedari kejadian tersebut.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata tinjauan hari ini mendapati hanya sekitar 50 peratus premis sahaja yang telah memasang Jalur Gemilang di premis mereka dan diharapkan lebih ramai yang akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Katanya, antara alasan yang kerap diberikan apabila ditanya ialah tidak menyedari keperluan berbuat demikian selain ada yang menunggu bendera percuma daripada kerajaan.

“Surat pekeliling berhubung pemasangan bendera bermula 16 Ogos sehingga 16 Sept telah diberikan dan kita akan mengeluarkan surat peringatan dalam tempoh terdekat kepada mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Toyota, Microsoft, Western Digital Antara Syarikat Besar Sertai SITEX Selangor

rodziah exco pc grey 01

SHAH ALAM 20 MAC : Beberapa syarikat besar seperti Toyota, Microsoft, Western Digital dan juga beberapa organisasi seperti SIRIM Bhd dan Majlis Reka Bentuk Malaysia akan menyertai pameran Sains Inovasi dan Teknologi (SITEX Selangor 2013) yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 April 2013 ini.

Pameran perdagangan anjuran Kerajaan Negeri ini diadakan untuk menyediakan satu landasan terbaik kepada penyelidik, usahawan dan syarikat untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan terbaru kepada pembeli dan pelabur yang berpotensi.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, pameran ini bertujuan bagi menjadi saluran untuk pemasaran, rangkaian, perangsang hubungan perniagaan di antara usahawan tempatan dan luar negara yang berasaskan produk berteknologi.

“Bersama-sama dengan itu juga, penyelidik, usahawan dan syarikat yang menyertai pameran ini juga boleh memberi penerangan tentang produk dan perkhidmatan mereka di atas pentas nanti untuk pelawat-pelawat yang datang,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan SUK hari ini.

SITEX Selangor 2013 yang dianjurkan anak syarikat Kerajaan Negeri, Selangor State Investment Council (SSIC), turut menyediakan landasan kepada para pelajar sekolah menengah dan universiti untuk terlibat di dalam sains, teknologi dan inovasi.

“Pelajar-pelajar universiti yang terpilih di dalam pertandingan reka bentuk seni bina akan mempersembahkan rekaan mereka semasa pameran itu nanti,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Rafizi : Hapus Cukai – Model Tempatan Terus Kekal Terendah

 

SHAH ALAM,27 JULAI : Harga kereta Proton dan Perodua akan terus kekal terendah dalam pasaran jika rombakan struktur cukai dibuat dan cukai eksais dihapuskan.

Pengarah Strategi PKR,Rafizi Ramli berkata,jika rombakan itu dilaksanakan harga kesemua model kereta akan turun secara berkadar terus dengan jumlah cukai eksais yang dikenakan selama ini.

?Maka, harga Proton dan Perodua masih kekal sebagai harga kereta terendah di pasaran pada harga purata di bawah RM30,000 setiap satu model.

“Berbanding kereta-kereta lain seperti Honda, Toyota dan lain-lain yang harganya akan jatuh sekitar RM50,000 setiap satu model secara purata,? kata Rafizi dalam kenyataan media.

Ujar Rafizi, sikap pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) mengatakan rombakan struktur cukai menyebabkan harga kereta import setara Perodua dan Proton, sekaligus menyebabkan jenama kereta tempatan itu terpinggir, tidak benar sama sekali.

Jelasnya, kereta Proton dan Perodua yang dijual dicukai sekurang-kurangnya 85 peratus dalam bentuk cukai eksais dan cukai jalan, seperti model yang dijual Honda, Toyota dan lain-lain.

Menurut Rafizi, cukai eksais yang dikenakan terhadap pembelian kereta adalah cukai menyeluruh, tidak membezakan antara jenama dan model tempatan atau antarabangsa.

?Cukai eksais dikenakan terhadap sesuatu kumpulan barangan. Maka cukai eksais terhadap pembelian kereta adalah cukai yang dikenakan terhadap mana-mana pembelian, pada kadar yang sama,? kata Rafizi.

Tambah beliau, ini mengukuhkan pendirian PKR bahawa rombakan struktur cukai ke arah memastikan harga kereta berada pada paras yang munasabah dan adil.

Rafizi juga membidas reaksi awal pimpinan Umno-BN yang mempersoalkan sumber kewangan untuk membiayai rombakan struktur cukai kereta ini.

Anggaran yang dibuat PKR menunjukkan hasil kutipan cukai eksais dan cukai jualan dari jualan kereta setiap tahun adalah RM8 bilion.

“Semakan ke atas segala perbelanjaan diluar perancangan oleh Perdana Menteri dan peningkatan mendadak perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri menunjukkan jumlahnya jauh mengatasi RM8 bilion yang diperlukan untuk membantu rakyat ini,” katanya.

Rafizi berkata,PKR yakin bahawa rombakan struktur cukai ke arah memastikan harga kereta lebih murah tidak akan membebankan negara jika segala keborosan Perdana Menteri dihentikan.

Malah, PKR juga telah membincangkan mekanisme rombakan struktur cukai secara terperinci untuk memastikan penghapusan cukai eksais kelak akan diganti dengan sumber pendapatan yang baru.

Mekanisme ini akan diumumkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu depan sekembalinya beliau dari mengerjakan ibadah umrah.

“Perkara ini perlu diperdebatkan dengan lebih halus supaya rakyat boleh membuat keputusan mengenai kaedah percukaian kereta yang paling adil,” katanya.