Categories
SELANGOR

Teng Cadang Warta Semula Padang PKNS Sebagai Kawasan Hijau

SHAH ALAM 5 JUL : Isu Padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor di Kelana Jaya dicadang Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim agar diwartakan semula seebagai kawasan hijau.

Ini bermakna pelbagai pihak yang terbabit daripada awal projek ini perlu kembali mengikut prosedur-prosedur yang sepatutnya mengikut undang-undang yang sah.

Perwartaan itu juga difikirkan perlu kerana terdapat beberapa perkara penting yang didapati tidak menepati spesifikasi yang diperuntukkan akta dan undang-undang sewaktu proses itu dilakukan.

“Mengikut akta, seharusnya permohonan warta itu dipohon oleh pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebaliknya dalam kes RTPJ2 ia dilaksanakan oleh pihak Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Selangor,”katanya.

Teng juga memaklumkan dokumen perwartaan berkenaan perlu ditandatangan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar dan bukan seperti yang berlaku sekarang di mana ia ditandatangi Abdul Khalid sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perancang Negeri (SPC).

Dalam pada itu, mengulas keputusan yang dicapai Selcat atau Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan itu, Teng berkata perkara tersebut akan dibincangkan secara lebih mendalam sebelum sebarang keputusan diambil.

“Kita akan meneliti setiap dokumen yang disediakan bersama semua keterangan saksi untuk memastikan samada perkara ini berpunca dari kesalahan individu tertentu atau ia adalah disebabkan oleh budaya kerja yang cuai, tidak profesional serta kurang cekap.

“Kita akui proses seperti perancang bandar ini melibatkan pelbagai peringkat dan pelbagai kumpulan jabatan terlibat untuk melaksanakannya.

“Jadi kita tidak tolak kemungkinan bahawa kesalahan sebegini adalah lanjutan kepada budaya atau amalan yang dilaksanakan sekian lama tanpa merujuk undang-undang demi memudahkan kerja,” ujarnya sambil menambah Selcat akan meneliti beberapa perkara untuk penambahbaikkan bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya semasa sidang media selepas sesi terakhir pendengaran Selcat berakhir hari ini.

Pendengaran awam Selcat kali ini berkisar mengenai Permohonan Pembangunan Rancangan Tanah Padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Kelana Jaya selain meneliti punca terdapat cetakan RTPJ2 versi MBPJ yang menandakan ‘zoning’ padang PKNS tersebut sebagai kawasan komersial, bercanggah dengan status ‘zoning’ sebenarnya.

Cetakan itu mendorong PKNS membuat permohonan untuk membangunkan kawasan berkenaan namun usaha itu akhirnya mendapat bantahan penduduk yang menyedari terdapat cetakan JPBD yang mewartakan kawasan tersebut sebagai kawasan tanah lapang dan rekreasi sepertimana yang diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Ogos 2010.

Leave a Reply

Your email address will not be published.