Categories
NASIONAL

Air Selangor : Kerajaan Pusat Perlu Kemuka Pelan Konkrit Bukan Sekadar Kenyataan ‘Sokongan’

SHAH ALAM 11 OGOS : Kerajaan Pusat digesa melaksanakan pelan konkrit bagi memastikan penstukturan air di Selangor mencapai kejayaan dan bukan hanya sekadar mengeluarkan kenyataan ‘sokongan’ terhadap usaha itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata perkara itu diumumkan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan Selangor boleh melaksanakan skim penstrukturan semula bekalan air.

Pelaksanaan ini merujuk kepada Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, serta semua perjanjian konsesi air dan undang-undang sedia ada.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa “jawatankuasa itu tidak mempunyai rancangan untuk mengganggu usaha Kerajaan Negeri(Selangor) untuk mengambil alih ekuiti dalam syarikat-syarikat konsesi kerana ia adalah suatu transaksi komersil antara kedua-dua pihak.

“Perjanjian konsesi dengan syarikat konsesi air di Selangor – Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas), Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor (SPLASH) dan Konsortium ABASS mengandungi fasal yang khusus membolehkan Kerajaan Negeri untuk ‘merampas’ konsesi yang menggunakan formula yang ditetapkan dan dipersetujui,” kata Tony Pua dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, halangan kepada Kerajaan Selangor yang menjalankan fasal yang dipersetujui bersama dalam perjanjian konsesi adalah berhubung persetujuan Kerajaan Pusat.

“Jika Tan Sri Muhyiddin Yassin ikhlas mahu Kerajaan Negeri mengambil alih industri air, maka kita menyeru Kabinet untuk memberikan persetujuan untuk menjalankan pengambilalihan yang dilakukan berdasarkan formula pampasan yang dipersetujui.

“Jika Kerajaan Pusat tidak bersedia untuk memberi persetujuan pengambilalihan dilakukan, walaupun ia menjadi sebahagian daripada perjanjian konsesi, maka Kerajaan Pusat mesti bersetuju untuk menjalankan timbang tara antarabangsa,” katanya.

Tony menjelaskan, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini mencadangkan untuk mengemukakan kepada panel timbang tara antarabangsa bagi menentukan harga yang berpatutan untuk pengambilalihan empat syarikat air di Selangor.

Tetapi cadangan ini ditolak oleh Kerajaan Pusat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.