Categories
SELANGOR

Dapsy Gesa Peguam Negara Gugur Pendakwaan Terhadap Rafizi

KUALA LUMPUR 2 OGOS : Peguam Negara digesa menimbang dan menggugurkan keputusan pendakwaan terhadap Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang ditahan di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (Bafia), semalam.

Gesaan ini disuarakan Ketua Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (Dapsy), Anthony Loke berkata tindakan mendakwa Rafizi di mahkamah hanya akan menimbulkan lebih banyak perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat Malaysia terhadap sistem keadilan di negara ini.

Menurutnya, tindakan pendakwaan ke atas Rafizi yang membongkarkan skandal kewangan National Feedlot Corporation (NFC) memberikan satu gambaran atau mesej yang salah kepada rakyat Malaysia.

Ini kerana menurutnya, Rafizi yang bertindak sebagai pemberi maklumat untuk membantu memerangi rasuah dilihat seolah-olah melakukan kesalan dan perlu dihukum.

“Dapsy mengecam sekeras-kerasnya pendakwaan terhadap Rafizi (Ramli) hanya kerana beliau mendedahkan akaun kewangan NFC.

“Pendakwaan itu sama sekali bertentangan dengan semangat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang diluluskan parlimen yang bertujuan menggalakkan orang ramai tampil memberikan kerjasama dan bukti dalam kes-kes rasuah,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, tindakan Rafizi itu seharusnya dipuji ekoran kelantangan dan keberaniannya membongkar skandal kewangan NFC sebagai usaha ke arah sistem pentadbiran yang telus dan bersih.

Namun apa yang berlaku, ujarnya, peranan Rafizi bukan sahaja tidak dihargai, malah beliau dihukum dengan pendakwaan yang dihadapinya sekarang.

“Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak langsung tidak serius dalam usaha memerangi rasuah dan segala slogan transformasi kerajaan adalah janji-janji kosong,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.