Categories
NASIONAL

Hutang graduan PTPTN dihambat CCRIS, kroni Umno-BN lepas

ptptn student

SHAH ALAM 20 OGOS : Kerajaan Umno-BN gagal mempertahankan hak asasi rakyat apabila bertindak menyenaraikan peminjam PTPTN ingkar di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) tetapi membiarkan rasuah, ketirisan dan hutang kroni makin berkembang.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pengumuman Menteri Pendidikan II Idris Jusoh itu sebagai satu lagi kegagalan kerajaan Umno-BN dalam melaksanakan dasar pendidikan negara yang pro-rakyat.

Katanya, ketika mahasiswa yang berpendapatan rendah dikejar dan dihambat bagi mengutip hutang ini, kerajaan Umno-BN tidak mengambil apa-apa tindakan tegas mengatasi masalah aliran wang haram ketiga tertinggi di dunia antara 2001-2010 lebih dari RM800 bilion.

Sebelum ini, pemimpin Pakatan mendedahkan skandal pinjaman korporat seperti hutang milik Datuk Tajudin Ramli berjumlah RM584 juta yang dilupuskan dan skandal syarikat ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC) yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Shahrizat Jalil berjumlah RM250 juta tanpa sebarang tindakan tegas oleh kerajaan.

Namun pada masa yang sama hutang pelajar universiti yang hanya puluhan ribu tidak henti-henti dituntut dan dikejar dalam apa jua keadaan termasuk tidak dibenarkan pergi ke keluar negara.

Menurut Nik Nazmi, dasar PTPTN yang disertakan dengan liberalisasi dan pengkorporatan pendidikan tinggi menjadi sebahagian daripada beban yang dihadapi generasi muda di negara ini.

“Selain kadar upah dan gaji yang rendah serta harga rumah dan kereta yang tinggi maka kesannya, mereka berhadapan dengan pelbagai hutang yang berpanjangan,” kata Nik Nazmi dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, menurut Bank Negara, kadar hutang isirumah meningkat sebanyak 12 peratus setiap tahun pada lima tahun kebelakangan ini.

“Kadar muflis juga terus meningkat dari tahun ke tahun, dan antara golongan utama yang menjadi mangsa ialah golongan muda,” kata beliau.

Jelas Nik Nazmi, kebanyakan mahasiswa yang menggunakan kemudahan PTPTN merupakan mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

“Sekiranya keluarga mereka mampu, sudah tentu mereka tidak meminjam dana PTPTN,” tegas beliau.

Tambah beliau, pemimpin Pakatan tidak mempertikaikan keperluan peminjam yang mampu dan berpendapatan baik untuk membayar semula hutang PTPTN.

Namun yang dipertikaikan ialah nasib majoriti peminjam yang terpaksa bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi dan berasal daripada keluarga biasa.

“Dasar pemberian diskaun bagi mereka yang menyelesaikan keseluruhan hutang PTPTN secara sekaligus yang dibuat di dalam belanjawan 2013 tidak adil memandangkan yang untung adalah mereka yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik.

“Kesannya, pendidikan tidak lagi dapat menjadi pemangkin mobiliti sosial bagi membolehkan rakyat dari keluarga berpendapatan rendah mendapat peluang kehidupan yang lebih baik, sebaliknya melebarkan jurang antara golongan kaya dan miskin di negara kita,” kata beliau.

Nik Nazmi berkata lagi, dasar terbaru ini membuktikan bahawa Umno-BN terus ingin menjadikan pendidikan ini satu komoditi dan keistimewaan untuk mereka yang berkemampuan.

“Penyelesaian sebenar isu ini hanyalah satu iaitu memansuhkan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma sebagai pelaburan untuk masa depan anak-anak kita,” kata beliau.

Categories
NASIONAL

Usul Sokong Titah Perlu Dipinda Supaya Petisyen Tidak Sia-sia – FOKUS


 

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pakatan Rakyat akan mengemukakan usul bagi meminda perbahasan titah Yang Di Pertuan Agong berhubung gesaan baginda supaya semua parti politik menerima keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13) lalu.

2. Kerajaan Persekutuan perlu menjelaskan bagaimana ia merancang untuk memungut kembali wang pembayar cukai yang disia-siakan oleh syarikat pengusaha Pusat Fidlot Nasional.

3. Dewan Pemuda Pas mendesak supaya Kerajaan Persekutuan mengkaji semula perlantikan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji.

4. Pas yakin akan mencapai kemenangan dalam Pilihanraya Kecil Kuala Besut yang akan diadakan pada 24 Julai ini.

5. Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan mendapat nilai tambahan jika berjaya melaksanakan konsep ‘transparency’ di dalam perkhidmatannya.

Categories
NASIONAL

Perhimpunan Agung Umno Gelanggang Membodek Pemimpin

SHAH ALAM 5 DIS: Perhimpunan Agung Umno 2012 tersasar daripada matlamat asalnya membela Melayu apabila ia dijadikan sebagai gelanggang membodek pemimpin utamanya.

Umno jelas tiada hala tuju dan kucar kacir kerana terlalu asyik menghentam pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dan terlupa membincangkan beban permasalahan yang dihadapi rakyat terutamanya Melayu.

Aktivis sosial, Haris Ibrahim berkata, perwakilan serta pemimpin Umno hanya berhimpun untuk memuji-muji pimpinan tertinggi Umno diketuai Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Presiden Umno terdahulu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perhimpunan kali ini saya dapat lihat tiada hala tuju, sepatutnya kita melihat komitmen dari pucuk pimpinan Umno dalam membela nasib rakyat tetapi kita melihat sebaliknya,” katanya ketika ditemuramah wartawan.

Katanya, rata-rata perwakilan serta pemimpinnya termasuk Pemuda dan Wanita Umno memberikan ucapan yang secara jelas tidak membawa kebaikan malah boleh menyebabkan perpecahan dikalangan rakyat di negara ini.

“Khairy Jamaluddin dan Rezal Naina Merican memberikan ucapan yang jauh tersasar seperti teori ‘churchill’ dan Presiden (Najib) memberikan ucapan yang lain…sebelah pihak ke kiri dan sebelah lagi ke kanan dan seolah-olah dalam keadaan sangat kucar-kacir,” katanya yang juga pengerusi gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU).

Malah, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil mengatakan peristiwa hitam 13 Mei akan berlaku semula jika rakyat tidak memberikan mandat kepada Umno-BN memerintah di Putrajaya selepas Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13) kelak.

Shahrizat yang juga terlibat dalam skandal National Feedlot Corporation (NFC) memberikan ucapan yang didakwa berunsur ugutan dan hasutan itu ketika perhimpunan itu berlangsung pada minggu lalu.

Sementara itu, Haris berkata, perhimpuna Umno kali ini memberikan mesej jelas bahawa pemimpin Umno semakin takut jika tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

“Pemimpin Umno lantang dan yakin ketika memberikan ucapan tetapi mereka panik kerana bayangan PR akan menang dalam PRU semakin jelas kelihatan,” katanya lagi.

 

Categories
NASIONAL

Politikkan Laporan Talam: Adun Permatang Didakwa Hina Penjawat Awam

SHAH ALAM 23 NOV : Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) kecoh apabila Sulaiman Razak (BN-Permatang) dikatakan menghina penjawat awam dengan mempolitikkan laporan Talam.

Pertelingkahan di antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Sulaiman itu berlaku apabila Adun Umno itu mula mempertikai kemampuan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dalam membuat penilaian tanah di Bukit Beruntung.

“Permatang jangan suka-suka menghina kakitangan awam, saya sudah arahkan mereka nilai semula perkara itu. Tanah yang dinilai itu berasaskan pertanian.

“Jika dibandingkan dengan tempat di Ijok sendiri, antara pertanian dan komersial tentu Permatang sendiri juga memilih komersial. Ini cuma perbezaan antara penilaian dari segi andaian itu sebab ada perbezaan,” tegas Abdul Khalid.

Dalam sesi perbahasan isu penstrukturan hutang Talam itu, Abdul Khalid berkata beliau (Sulaiman) sengaja mahu membangkitkan emosi rakyat berhubung isu terbabit.

“Saya bukan sengaja nak merendahkan mutu, tetapi saudara sengaja sebab mahu dapatkan kebangkitan emosi.

“Bukan cara seperti dulu, sebelum ini, bolehlah Menteri Besar tulis lulus, pengsan penjawat awam. Pegawai Daerah lebih penting dari Menteri Besar.

“Jangan pusingkan untuk politik, saya kutip RM392 juta untuk tolong rakyat yang pentadbiran dulu tidak kutip.

“Ini pandai buat drama besar sahaja tapi duit tak dapat kutip juga, kalau Umno-BN benar-benar nak buat macam Talam, saya cabar buat untuk kes National Feedlot Corporation (NFC),” sindir Abdul Khalid.

Categories
SELANGOR

Chua Tee Yong Disaran Buka Kertas Putih Audit NFC

SHAH ALAM, 21 NOV: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani 2, Datuk Seri Chua Yong disaran agar membuka kertas putih dalam isu National Feedlot Corporation NFC yang melibatkan kementeriannya.

Saranan tersebut dibuat oleh Adun Rawang, Gan Pei Nei apabila beliau mencelah ketika Adun Teratai, Lee Ying Ha sedang membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 hari ini.

“Datuk Chua patutnya tidak menyibuk isu Talam (Corporation) sebab dia pun tak berani buka kertas putih isu NFC, saya minta dia buka kertas putih NFC,” kata Pei Nei.

Sebelum itu, Adun BN sekali lagi cuba menimbulkan isu Talam di Dewan Negeri Selangor(DNS) meskipun Kerajaan Negeri membentangkan Kertas Putih isu terbabit.

Dalam Kertas Putih tersebut, turut dijelaskan segala langkah Kerajaan Negeri untuk mengutip hutang lapuk Talam yang diabaikan Kerajaan Negeri ketika di bawah era BN sebelum ini.

Selain itu turut dikepilkan dalam laporan kertas putih tersebut termasuklah laporan (firma) juruaudit KMPG.

 

Categories
NASIONAL

Kajian UM: Pengundi BN Merosot Disebab Integriti Buruk Pemimpin

SHAH ALAM, 6 NOV : Meremehkan soal integriti menyebabkan prestasi Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti dijangka bakal mengalami kemerosotan.

Menurut laporan kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi Dan Pilihan Raya (UMCEDEL) baru-baru ini, sebanyak 66 peratus responden percaya integriti buruk pemipin Umno-BN akan memberi kesan buruk terhadap prestasi parti itu dalam pilihan raya nanti.

Kajian yang dijalankan dari 1 hingga 16 September itu juga menunjukkan 60 peratus responden percaya isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin yang tidak terkawal juga akan menjadi isu duri dalam daging kepada Umno menjelang pilihan raya nanti.

Manakala isu lain yang dijangkan memberi kesan buruk terhadap prestasi Umno-BN, Lynas dengan 59 peratus, isu National Feedlot Corporation (NFC), 55 peratus dan diikuti 54 peratus bagi isu kegagalan kerajaan mengurangkan kadar jenayah.

Kajian yang melibatkan seramai 1536 responden itu juga menjelaskan sebanyak 52 peratus dari mereka, percaya bahawa isu Demontrasi BERSIH turut menjejaskan sokongan terhadap Umno-BN.

Sementara itu, menurut rumusan kajian sama, laporan media terhadap ‘kelemahan’ negeri Pakatan Rakyat juga semakin kurang mendapat kepercayaan masyarakat.

“Terdapat kesangsian yang tinggi terhadap percanggahan pendapat dalam kalangan parti-parti dalam PR dan kelemahan dalam pentadbiran yang didedahkan oleh media massa,” menurut ringkasan laporan kajian tersebut.

Dalam isu sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ketika mengulas laporan tersebut, menjangkakan pengundi dalam PRU-13 nanti akan mengambil kira isu integriti dan kemampuan PR mentadbir negara sekiranya diberi peluang nanti.

“Ya, saya rasa soal integriti dan kredibiliti merupakan isu utama dalam pilihan raya yang akan datang ini.

“Ianya bukan soal Melayu bergaduh dengan Cina atau Islam dengan bukan Islam, tetapi persoalan nak dapatkan pemimpin yang berintegriti yang mempunyai kredibiliti dan mempunyai kemampuan untuk membentuk sebuah kerajaan yang bersih daripada segala jenis rasuah,” katanya kepada TV Selangor.

Categories
SELANGOR

Dapsy Gesa Peguam Negara Gugur Pendakwaan Terhadap Rafizi

KUALA LUMPUR 2 OGOS : Peguam Negara digesa menimbang dan menggugurkan keputusan pendakwaan terhadap Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang ditahan di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (Bafia), semalam.

Gesaan ini disuarakan Ketua Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (Dapsy), Anthony Loke berkata tindakan mendakwa Rafizi di mahkamah hanya akan menimbulkan lebih banyak perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat Malaysia terhadap sistem keadilan di negara ini.

Menurutnya, tindakan pendakwaan ke atas Rafizi yang membongkarkan skandal kewangan National Feedlot Corporation (NFC) memberikan satu gambaran atau mesej yang salah kepada rakyat Malaysia.

Ini kerana menurutnya, Rafizi yang bertindak sebagai pemberi maklumat untuk membantu memerangi rasuah dilihat seolah-olah melakukan kesalan dan perlu dihukum.

“Dapsy mengecam sekeras-kerasnya pendakwaan terhadap Rafizi (Ramli) hanya kerana beliau mendedahkan akaun kewangan NFC.

“Pendakwaan itu sama sekali bertentangan dengan semangat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang diluluskan parlimen yang bertujuan menggalakkan orang ramai tampil memberikan kerjasama dan bukti dalam kes-kes rasuah,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, tindakan Rafizi itu seharusnya dipuji ekoran kelantangan dan keberaniannya membongkar skandal kewangan NFC sebagai usaha ke arah sistem pentadbiran yang telus dan bersih.

Namun apa yang berlaku, ujarnya, peranan Rafizi bukan sahaja tidak dihargai, malah beliau dihukum dengan pendakwaan yang dihadapinya sekarang.

“Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak langsung tidak serius dalam usaha memerangi rasuah dan segala slogan transformasi kerajaan adalah janji-janji kosong,” katanya lagi.

Kes Rafizi Bukti Umno-BN Tak Mahu Telus Dan Bertanggungjawab

SHAH ALAM 2 OGOS : Kerajaan Selangor kesal terhadap pendakwaan yang dikenakan ke atas Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berhubung pendedahannya mengenai butiran perbankan National Feedlot Corporation (NFC).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan ke atas Rafizi membuktikan  komitmen kerajaan Umno-BN terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban yang diuar-uarkan Perdana Menteri ternyata hanya janji kosong.

“Kerajaan Negeri berpendapat rakyat Malaysia haruslah diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam memastikan wang rakyat ditadbir dan diurus secara adil dan beramanah.

“Bagi menepati janji Kerajaan Selangor untuk membanteras kegiatan rasuah di setiap peringkat, kita menyediakan satu dana khas (whistle blower fund) untuk membantu membiayai kos guaman Rafizi,” katanya semasa sidang media di SUK di sini semalam.

Menurut Abdul Khalid, dana itu diperolehi menerusi peruntukan Geran Selangorku sejumlah RM5 juta untuk membanteras rasuah.

Beliau berkata, dana itu akan digunakan kepada pihak yang dianiayai dalam usaha membanteras rasuah di negeri ini.

“Kerajaan Negeri boleh menggunakan dana tersebut untuk mempertahankan individu yang teraniaya supaya usaha membanteras rasuah dapat dilakukan dengan lebih efektif,” katanya lagi.

Mahkamah Seksyen Shah Alam menetapkan bayaran ikat jamin sebanyak RM15,000 terhadap Rafizi dan bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad serta menetapkan tarikh perbicaraan kes ini pada 10 Septermber depan.

Rafizi ditahan polis atas pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Sedia Biayai Kos Guaman Rafizi

SHAH ALAM 1 OGOS : Kerajaan Selangor bersedia membiayai kos guaman bagi membantu Rafizi Ramli menjalani proses mahkamah berikutan penahanannya berhubung pendedahan tiga akaun kewangan berkaitan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Menerusi Twitternya pagi tadi Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menyelar tindakan penahanan tersebut berikutan pendedahan beberapa skandal utama yang melibatkan pemimpin Umno-BN termasuk Projek Tambahan LRT Ampang.

?Kerajaan negeri telah menyediakan dana khas untuk menolong membiayai kos guaman saudara Rafizi Ramli.

?Kerajaan Negeri mengecam penangkapan dan pendakwaan terhadap Rafizi Ramli kerana membongkar kes penyelewengan NFC & George Kent,? katanya.

Mahkamah Seksyen Shah Alam hari ini menetapkan bayaran ikat jamin sebanyak RM15,000 kepada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Johari Mohamad serta menetapkan tarikh perbicaraan kes ini pada 10 Septermber 2012.

Awal pagi tadi, Rafizi Ramli menerusi laman Twitternya menyatakan bahawa beliau ditahan polis atas pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989.

Menerusi paparan twitter itu juga, Rafizi menjelaskan rumahnya diserbu kira-kira jam 7 pagi tadi sebelum dibawa ke balai polis Hulu Klang.

Sekitar jam 8 pagi, Rafizi menyatakan beliau sedang dibawa polis ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan proses pertuduhan ke atasnya dipercepat, kepada 9 pagi.

Johari Muhamad yang turut ditahan bersama Rafizi merupakan bekas kerani Public Bank yang dikatakan salah seorang pemberi maklumat mengenai pembelian hartanah mewah keluarga Shahrizat di KL Eco City, Bangsar.

Categories
NASIONAL

Rafizi Dibebas Dengan Ikat Jamin RM15,000

SHAH ALAM 1 OGOS: Mahkamah Seksyen Shah Alam hari ini menetapkan bayaran ikat jamin sebanyak RM15,000 kepada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Johari Mohamad berhubung pendedahan tiga akaun kewangan berkaitan NFC.

Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan kes ini pada 10 Septermber 2012.

Awal pagi tadi, Rafizi Ramli menerusi laman Twitternya menyatakan bahawa beliau ditahan polis atas pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989.

Menerusi paparan twitter itu juga, Rafizi menjelaskan rumahnya diserbu kira-kira jam 7 pagi tadi sebelum dibawa ke balai polis Hulu Klang.

Sekitar jam 8 pagi, Rafizi menyatakan beliau sedang dibawa polis ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan proses pertuduhan ke atasnya dipercepat, kepada 9 pagi.

Johari Muhamad yang turut ditahan bersama Rafizi merupakan bekas kerani Public Bank yang dikatakan salah seorang pemberi maklumat mengenai pembelian hartanah mewah keluarga Shahrizat di KL Eco City, Bangsar.

Sehubungan itu, satu dana sumbangan untuk membantu kos ikat jamin dan guaman kedua-dua mereka dilancarkan serta merta.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun:

Oversight & Whistleblower Sdn Bhd
MAYBANK 562441603039

Rafizi sebelum ini disiasat mengikut Bafia kerana mendedahkan butiran penyelewengan perbankan National Feedlot Corporation (NFC) yang dikendalikan oleh suami dan anak kepada Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Dakwaan ini mengaitkan keluarga Shahrizat dengan menyalah guna dana berjumlah RM250 juta untuk penternakan lembu fidlot.

Categories
NASIONAL

Bank Negara Didakwa Tunduk Pada Tekanan Pengarah NFC

PETALING JAYA, 14 MEI: PKR akan memberi bantuan guaman kepada seorang bekas kerani bank yang disiasat oleh Bank Negara setelah beliau terlibat di dalam pemberian maklumat berkenaan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Johari Mohamad, bekas kerani Public Bank cawangan Jinjang, di dakwa menolong PKR di dalam pencarian maklumat berkenaan transaksi akaun kepunyaan pengarah NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Dalam mengecam siasatan Bank Negara itu, Rafizi berkata agensi itu tidak sepatutnya tunduk kepada tekanan politik dan mengambil tindakan terhadap orang awam semata-mata untuk menutup penyelewengan.

Rafizi juga mendakwa Mohamad Salleh menggunakan agensi kerajaan demi menjejaki individu yang tidak bersalah dalam skandal yang dihadapi beliau.

Katanya, tindakan ini nyata menjejaskan periuk nasi Johari sehingga beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan.

“Tindakan bersifat dendam kesumat ini sudah tentu mendapat restu Datuk Seri Shahrizat Jalil selaku Ketua Wanita Umno.

?Sebelum ini apabila ditanya apakah tindakan yang bakal diambil terhadap mereka yang mendedahkan penyelewengan NFC, Salleh sendiri mengatakan bahawa beliau akan berbincang dengan keluarga.

“Tindakan dendam ini juga bertentangan dengan kenyataan beliau sebelum ini bahawa beliau tidak berdendam dengan sesiapa kecuali saya.

?Dan beliau tidak akan mengambil tindakan terhadap sesiapa kecuali saya,” Rafizi berkata di dalam satu sidang media di ibupejabat PKR di sini.

Mohamad Salleh sedang menghadapi kes di mahkamah seksyen atas tuduhan pecah amanah melibatkan RM49.7 million dalam pembelian dua unit kondominium.

Projek NFC yang mendapat pinjaman sebanyak RM250 juta daripada kerajaan pusat didakwa tidak mencapai sasarannya untuk membekal daging lembu kepada pasaran tempatan.

Sebaliknya, wang itu didakwa digunakan untuk membeli kondo mewah di Kuala Lumpur dan Singapura.

Johari yang hadir pada sidang media itu berkata beliau telah disiasat di bawah Akta Bank Negara dan Institusi Kewangan (BAFIA) dan diminta melaporkan diri kepada Bank Negara pada jam 2.00 petang ini.

Johari menerima surat daripada majikannya pada 24 April 2012 kerana didakwa melanggar tatacara disiplin tempat kerja berikutan satu aduan yang telah dibuat oleh Mohamad Salleh.

“Saya telah melalui satu proses perbicaraan disiplin di Public Bank. Akibat daripada tekanan di tempat kerja dan pelbagai tindakan yang diambil terhadap saya, saya telah membuat keputusan untuk berhenti kerja.

“Saya telah menyerahkan surat peletakan jawatan ekoran aduan yang dibuat oleh Datuk Seri Mohamad Salleh,” katanya.

Satu notis daripada Public Bank menyatakan, diantara 9.25 pagi dan 9.45 pagi pada 16 Febuari 2012, beliau telah mengakses sistem data bank pada komputer tempat kerja JJGWSSCN002.

Ini bagi menyemak dan mencetak penyata baki dan menyerahkan kepada pihak ketiga.

Empat akaun yang disyakki telah diakses adalah milik Datuk Seri Salleh Ismail, Agroscience Industries Sdn Bhd, National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd dan National Feedlot Corporation Sdn Bhd.

Rafizi berkata PKR akan menyediakan bantuan guaman kepada Johari yang melibatkan peguam N. Surendran, Lateefa Koya dan Fadiah Nadwa Fikri.