Categories
NASIONAL SELANGOR

Jawatankuasa Timbang Tara Selesai Isu Unisel – Jana Niaga

SHAH ALAM, 8 OGOS : Kerajaan Negeri memutuskan untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Timbang Tara berkuatkuasa hari ini bagi menyelesaikan konflik antara Universiti Selangor (Unisel) dengan Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB).

Jawatankuasa ini dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berhubung dakwaan hutang hampir RM15 juta Unisel kepada JNSB yang mengawal selia asrama di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan itu diputuskan Kerajaan Negeri menerusi Mesyuarat Exco yang berlangsung di sini, tengah hari tadi.

Beliau menyifatkan keputusan itu adalah cara terbaik untuk menyelesaikan segala kontroversi dan dakwaan yang dilemparkan ke atas universiti milik penuh Kerajaan Negeri itu secara adil.

“Masalah ini hanya boleh diselesaikan melalui mesyuarat dan perbincangan bersama Datuk SUK, bukan dengan memberi kenyataan balas kepada akhbar. Saya memaklumkan perkara ini kepada Khusrin dan beliau bersetuju untuk bertemu dengan wakil Unisel serta pihak JNSB supaya perkara ini dapat di atasi segera,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut memaklumkan asrama berkenaan gagal mendapatkan sijil kelulusan bangunan (CF) ekoran kegagalan JNSB membinanya mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Beliau berkata, menerusi perjanjian yang dibuat pada Jun 2008, Unisel juga perlu membayar sewa menduduki asrama tersebut kepada JNSB 100 peratus walaupun ia tidak berpenghuni.

“Pada saya nampaknya ia satu perkara berat sebelah untuk Unisel. Kita sudah maklumkan pada JNSB untuk dibincangkan sebagai timbang tara. Bangunan asrama dan Unisel secara keseluruhannya juga tiada CF.

“Sekarang JNSB kata dia tiada duit untuk betulkan kesemua asrama itu. Kalau tiada duit, serahkan pada Unisel. Tetapi ia dikira sebagai pembayar hutang kerana Unisel terpaksa menanggung beban tersebut,” katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Perhubungan BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa Unisel berhutang hampir RM15 juta dengan JNSB yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan kediaman penuntut di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, tunggakan bayaran itu membabitkan kos penyelenggaraan di kampus induk dan operasi asrama universiti itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.