Categories
SELANGOR

Jana Niaga Perlu Bertanggungjawab Baiki Asrama Unisel

Prof Anuar Unisel 01

SHAH ALAM 10 JAN : Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) perlu bertanggungjawab sepenuhnya untuk membaik pulih asrama pelajar Universiti Selangor (Unisel) yang mengalami masalah tanah mendap dan mengancam struktur bangunan asrama tersebut.

Naib Canselor, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, sebanyak 44 blok asrama yang dibina di atas tapak lombong bijih timah pada 2002 itu kini tidak selamat untuk didiami.

“Kesilapan besarnya ialah kedudukan asrama Unisel itu dibuat di atas tapak lombong yang tidak dibuat ‘rawatan’ dengan betul.

“Ini masalah pada 2002 – 2005 di mana ia dibuat mungkin hanya untuk mendapatkan keuntungan yang cepat dan banyak atau sebagainya yang tidak diketahui,” kata Dr Anuar ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Jelas beliau, sewajarnya pihak yang membinanya dahulu menggunakan kaedah ‘accelerated settlement’ yang mana apabila berlaku pemendapan ia tidak mengancam struktur keseluruhan keselamatan bangunan.

Ujarnya lagi, turut berlaku masalah sistem kumbahan yang menyebabkan pihak Unisel terpaksa menanggung masalah itu.

“Selepas dua tahun asrama siap, baru sistem rawatan kumbahan siap pada 2007 di mana pelajar sudah mendudukinya pada 2005, jadi ke mana kumbahan itu dibuang,” katanya.

Katanya, pihak Unisel dalam proses menamatkan kontrak Jana Niaga ekoran beberapa pelanggaran syarat dan terma perjanjian.

Kini pelajar ditempatkan di kediaman sementara di Kota Puteri, Ijok; Azalea Court Bandar tasik Puteri, Rawang; Resort Mega Crystal Kuala Selangor; Taman Ilmu di Bestari Jaya dan Bukit Minyak di sekitar daerah Kuala Selangor.

Beliau berkata, pihak Unisel turut menyediakan perkhidmatan bas ulang alik dengan kadar sewa bulanan RM200 sebulan termasuk pengangkutan, utiliti api dan air serta khidmat kawalan keselamatan.

“Kerajaan Negeri sudahpun memberikan peruntukan sebanyak RM10 juta yang sudah masuk ke dalam akaun Unisel dan jika Jana Niaga tidak membuat pembaikan kita akan tamatkan kontraknya,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM 20 juta untuk kerja-kerja pembaikan asrama tersebut sekiranya JNSB enggan bertanggungjawab.

Categories
SELANGOR

MB Sahkan JKR Arah Tutup Sementara Asrama Unisel

MB Datuk Bandar 01

IJOK, 4 JAN: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan arahan mengosongkan asrama Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya, bukan daripada pihak pengurusan Unisel sebaliknya keputusan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ini kerana hasil kajian yang dibuat mendapati, sistem saluran air yang sepatutnya dihubungkan ke kolam utama berada dalam keadaan tidak sempurna sehingga mengakibatkan takungan air bawah tanah.

“Masalah ini berlaku lebih dah lebih dua tahun,” katanya pada satu sidang media.

Semalam, Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad memaklumkan atas faktor keselamatan, Unisel memindahkan 2,000 pelajarnya yang menghuni di asrama Bestari Jaya ke beberapa kediaman di luar kampus.

Langkah tersebut diambil bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan kawasan kampus yang dijangka mengambil masa kira-kira 12 bulan.

Sebelum itu, dilaporkan pada 20 Disember lalu, atas permintaan Unisel, Bahagian Senggara Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor melakukan tinjauan di kawasan asrama Unisel Kampus Bestari Jaya.

Tinjaun tersebut mendapati keadaan tanah mengalami mendapan yang serius sehingga menganggu kelancaran sistem kumbahan, perparitan dan kabel bawah tanah

Susulan dari itu, JKR pada 26 Disember menyarankan agar kerja-kerja pembaikan dilakukan segera dan bangunan asrama perlu dikosongkan penghuni.

Sehubungan itu juga, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM20 juta untuk kerja-kerja pembaikan asrama tersebut sekiranya Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) enggan bertanggungjawab.

Categories
SELANGOR

Unisel Sediakan Kediaman Sementara Bagi Pelajar Bestari Jaya

anuar unisel mic pc 01

SHAH ALAM 3 JAN : Atas faktor keselamatan, Universiti Selangor (Unisel) telah memindahkan 2,000 pelajarnya yang menghuni di asrama Bestari Jaya ke beberapa kediaman di luar kampus.

Langkah tersebut diambil bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan kawasan kampus yang dijangka mengambil masa kira-kira 12 bulan.

Naib Canselor Unisel, Prof Dr. Anuar Ahmad berkata pihaknya kini sedang menunggu respon daripada Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB), syarikat yang bertanggungjawab menguruskan asrama tersebut tentang kerja pembaikan.

“Sejak surat dihantar 27 Disember lalu hingga kini, kita masih tidak menerima sebarang maklum balas daripada JNSB samada mereka bersedia untuk menanggung kos pembaikan atau tidak.

“Jika mereka masih senyap, kita menganggap mereka tidak berminat.

“Namun kita akan teruskan juga kerja-kerja pembaikan dengan bantuan dan sokongan Kerajaan Negeri,” jelas Anuar yang ditemani Exco Pendidikan Tinggi, Dr. Halimah Ali dalam satu sidang media di sini pagi tadi.

Dalam pada itu, Halimah memberitahu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM 20 juta untuk kerja-kerja pembaikan asrama tersebut sekiranya JNSB enggan bertanggungjawab.

Pelajar Unisel kampus Bestari Jaya yang akan mula mendaftar pada 11 Januari akan ditempatkan di kediaman sementara di Bandar Tasik Puteri, Rawang dan Kota Puteri, Ijok, selain beberapa kediaman lain di kawasan Ijok.

Mereka juga akan disediakan perkhidmatan pengangkutan, internet serta pegawai keselamatan.

Anuar menjelaskan bahawa pelajar masih membayar RM 200, sama seperti kadar di asrama yang asal.

Dilaporkan pada 20 Disember lalu, atas permintaan Unisel, Bahagian Senggara Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor melakukan tinjauan di kawasan asrama Unisel Kampus Bestari Jaya.

Tinjaun tersebut mendapati keadaan tanah mengalami mendapan yang serius sehingga menganggu kelancaran sistem kumbahan, perparitan dan kabel bawah tanah.

Susulan dari itu, JKR pada 26 Disember menyarankan agar kerja-kerja pembaikan dilakukan segera dan bangunan asrama perlu dikosongkan penghuni.

Categories
NASIONAL SELANGOR

‘Task Force’ Untuk Kaji Peruntukan Tambahan Pembangunan Sekolah

KLANG, 29 OGOS : Kerajaan Negeri Selangor akan menubuhkan jawatankuasa bertindak (task force) bagi mengkaji keperluan belanjawan tambahan untuk urusan pembangunan sekolah di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata belanjawan tambahan itu berbeza daripada peruntukan RM16 juta setahun yang diberikan Kerajaan Negeri kepada tiga jenis sekolah.

Beliau berkata, ia merujuk kepada sekolah agama rakyat (SAR), sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah jenis kebangsaan Cina.

“Kerajaan Negeri bersedia mewujudkan satu task force yang akan mencari jalan bagaimana untuk membuat belanjawan bagi menolong pihak sekolah dalam usaha menambah baik kemudahan sekolah.

“Peruntukan ini adalah berasingan daripada peruntukan sedia ada di mana ia hanya disumbangkan sebagai sebahagian daripada kos pembangunan sekolah itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Cina Pin Hua, di sini.

Bangunan baru setinggi lapan tingkat itu dilengkapi pelbagai kemudahan seperti pusat pentadbiran, bilik mesyuarat, bilik auditorium, bilik multimedia, makmal serta bilik muzik yang dilengkapi pelbagai teknologi terkini.

Manakala, bangunan asrama yang baru didirikan adalah untuk keselesaan dan kesempurnaan para pelajar di samping mewujudkan persekitaran yang kondunsif untuk mereka.

Asrama ini juga dapat menempatkan pelajar luar negeri Selangor dan dapat memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama belajar di sekolah itu.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai isu penempatan pelajar Universiti Selangor (Unisel), Abdul Khalid memaklumkan pendaftaran pelajar berjalan lancar di mana dianggarkan kira-kira 1,000 pelajar sudah mendaftar.

Katanya lagi, perbincangan Unisel bersama pihak Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) juga masih diteruskan untuk mendapat penyelesaian terbaik bagi kedua-dua pihak.

Categories
SELANGOR

Masalah Penginapan Pelajar Unisel Selesai

SHAH ALAM, 17 OGOS : Masalah penginapan asrama yang dihadapi kira-kira 1,600 pelajar Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya bakal berakhir apabila mereka dijadualkan akan menerima kunci pada 23 Ogos depan.

Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, pihak Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) yang bertanggungjawab menguruskan penginapan pelajar bersetuju untuk membuka semula dan melaksanakan operasi Pejabat Residen Komuniti Siswa seperti biasa.

Menurutnya, tindakan itu diputuskan JNSB susulan daripada permohonan Unisel yang memfailkan Saman Pemulanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

“Ekoran keengganan pihak Jana Niaga untuk membuka semula operasi pejabat Residen Komuniti Siswa dan menyerahkan kunci kepada pelajar, Unisel melalui peguamcara telah memfailkan Saman Pemula pada 16 Ogos di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Atas permohonan Unisel, pendengaran telah diadakan di mahkamah dan Jana Niaga melalui peguamnya bersetuju untuk membuka semula dan melaksanakan operasi mereka bermula 23 Ogos seperti biasa,” katanya dalam satu sidang media di Unisel hari ini.

Hadir sama, peguamcara mewakili Unisel, Edmund Bon.

Tambahnya, peguam Unisel bersama peguam Jana Niaga juga akan memulakan perbincangan untuk cuba menyelesaikan pertikaian di antara kedua-dua pihak demi kepentingan mahasiswa universiti milik penuh Kerajaan Negeri itu.

“Sebarang pertikaian yang bermula sejak Jun 2009 antara pihak Unisel dan Jana Niaga akan dibincangkan secara terperinci dan spesifik supaya masalah ini boleh selesai,” kata Dr Anuar.

Kontroversi berhubung isu penginapan pelajar timbul apabila sebilangan besar daripada mereka masih gagal menerima kunci meskipun sesi pengajian dilaporkan sudah bermula.

Dilaporkan, perkara itu berlaku ekoran keengganan Jana Niaga yang sepatutnya memberi kunci untuk akses ke asrama pelajar pada 3 Ogos lalu.

Categories
NASIONAL

Penempatan Sementara Di sedia Untuk Pelajar Unisel

SHAH ALAM, 8 OGOS : Bagi menyelesaikan isu penempatan asrama pelajar, Universiti Selangor (Unisel) mengambil alternatif dengan menyediakan penginapan sementara di Asrama Kota Puteri, Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Demikian ujar Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dalam Mesyuarat Exco, di Bangunan SUK hari ini.

Menurut Halimah, penginapan sementara ini hanya untuk menempatkan sebilangan kecil pelajar yang mendaftar awal di Unisel sebelum Lembaga Unisel menilai masalah ini secara terperinci.

“Sekiranya syarikat kontraktor Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) masih lagi tidak membenarkan hostel itu diduduki pelajar selepas menjelangnya cuti Aidilfitri, maka Unisel
akan mengadakan mesyuarat untuk selesaikan masalah berkenaan .

“Kita tidak akan biarkan pelajar Unisel ini terganggu pembelajarannya berikutan cara sebuah syarikat membina bangunan (asrama) tujuan pembelajaran tidak memuaskan,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media lain, Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad menyifatkan isu itu sengaja diada-adakan untuk menjatuhkan imej serta kredibiliti universiti kerajaan negeri.

Beliau berkata, pihak pengurusan telah memaklumkan kepada pelajar bahawa tarikh pendaftaran pelajar lama bagi semester ini adalah pada 27 Ogos, iaitu selepas Aidilfitri.

“Jadi tidak timbul isu mengatakan kesemua pelajar ini tidak dibenarkan tinggal di asrama atau dihalau keluar. Saya cukup kecewa dengan isu penginapan yang dimainkan oleh pelbagai pihak.

“Mujurlah pelajar Unisel cukup matang dalam mendepani semua isu sebegini, mereka bukan dari kalangan yang mudah terpengaruh dengan andaian buruk,” katanya.

Sebelum ini, timbul dakwaan yang mengatakan lebih 3,000 pelajar Unisel bakal berhadapan masalah mendapatkan tempat tinggal berikutan pengurusan kolej kediaman institusi itu enggan membenarkan mereka menduduki asrama masing-masing.

Masalah itu didakwa berlaku kerana Unisel tidak melunaskan kos pengurusan kolej kediaman kepada pihak syarikat konsesi sejak 15 bulan bagi pembayaran kampus induk dan tujuh bulan pengurusan asrama.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jawatankuasa Timbang Tara Selesai Isu Unisel – Jana Niaga

SHAH ALAM, 8 OGOS : Kerajaan Negeri memutuskan untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Timbang Tara berkuatkuasa hari ini bagi menyelesaikan konflik antara Universiti Selangor (Unisel) dengan Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB).

Jawatankuasa ini dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berhubung dakwaan hutang hampir RM15 juta Unisel kepada JNSB yang mengawal selia asrama di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan itu diputuskan Kerajaan Negeri menerusi Mesyuarat Exco yang berlangsung di sini, tengah hari tadi.

Beliau menyifatkan keputusan itu adalah cara terbaik untuk menyelesaikan segala kontroversi dan dakwaan yang dilemparkan ke atas universiti milik penuh Kerajaan Negeri itu secara adil.

“Masalah ini hanya boleh diselesaikan melalui mesyuarat dan perbincangan bersama Datuk SUK, bukan dengan memberi kenyataan balas kepada akhbar. Saya memaklumkan perkara ini kepada Khusrin dan beliau bersetuju untuk bertemu dengan wakil Unisel serta pihak JNSB supaya perkara ini dapat di atasi segera,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut memaklumkan asrama berkenaan gagal mendapatkan sijil kelulusan bangunan (CF) ekoran kegagalan JNSB membinanya mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Beliau berkata, menerusi perjanjian yang dibuat pada Jun 2008, Unisel juga perlu membayar sewa menduduki asrama tersebut kepada JNSB 100 peratus walaupun ia tidak berpenghuni.

“Pada saya nampaknya ia satu perkara berat sebelah untuk Unisel. Kita sudah maklumkan pada JNSB untuk dibincangkan sebagai timbang tara. Bangunan asrama dan Unisel secara keseluruhannya juga tiada CF.

“Sekarang JNSB kata dia tiada duit untuk betulkan kesemua asrama itu. Kalau tiada duit, serahkan pada Unisel. Tetapi ia dikira sebagai pembayar hutang kerana Unisel terpaksa menanggung beban tersebut,” katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Perhubungan BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa Unisel berhutang hampir RM15 juta dengan JNSB yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan kediaman penuntut di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, tunggakan bayaran itu membabitkan kos penyelenggaraan di kampus induk dan operasi asrama universiti itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Ambil Alih Hutang Unisel RM 15 juta

KUALA SELANGOR, 5 OGOS : Kerajaan Selangor sedang dalam proses mengambilalih hutang yang ditanggung Universiti Selangor (Unisel) sebanyak RM 15 juta bagi membebaskan beban kewangan universiti tersebut.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri mengambil keputusan itu selepas mendapati Unisel tidak memiliki modal yang cukup serta tidak berupaya membayar hutang tersebut.

Beliau berkata, salah satu daripada masalah Unisel ialah modalnya tidak cukup untuk membiayai kos seperti pembinaan kampus berjumlah RM 600 juta dan asrama, RM 200 juta.

Menurutnya, hutang tersebut kini diambilalih Kerajaan Negeri dan tanggungan Unisel akan berkurangan dan universiti tersebut boleh mula mendapat keuntungan dari pendapatan.

“Sebabnya masalah ini berlaku bila masa pembinaan Unisel dulu Kerajaan Negeri terdahulu (Umno-BN) tidak memasukkan dana untuk menyelesaikan hutang tersebut.

Sebab itu ia berhutang dan pendapatan Unisel tidak cukup untuk membayar segala hutang itu.

Pendapatannya hanya cukup untuk membiayai gaji petugas seperti profesor, guru dan kaitangan lain selain membiayai pentadbiran asrama tetapi tidak cukup untuk perbelanjaan membuat asrama.

Ia bukan sedikit kerana kosnya RM200 juta dan pembinaan kampus RM600 juta.

“Oleh sebab itu saya berpendapat kita jangan bebankan universiti untuk membiayai perkara ini tetapi diambilalih Kerajaan Negeri. Keputusan ini dibuat selepas 2008.

Kalau tidak dulu semua perbelanjaan itu ditanggung Unisel maka itu sebab Unisel teruk. Sekarang kita kena ambilalih hutang itu tetapi ada prosesnya kerana Unisel terhutang dengan bank.

Kita sedang buat segala dokumen dan jaminannya untuk perkara itu,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Program Tadarus dan Tadabbur Perdana peringkat Negeri Seangor 1433H di sini hari ini.

Berhubung dakwaan Unisel berhutang dengan Syarikat Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) hampir RM15 juta, Abdul Khalid berkata, berdasarkan prosedur undang-undang, hutang tersebut perlu dibayar.

Akan tetapi Kerajaan Negeri akan meneliti kembali perjanjian antara syarikat tersebut dengan Unisel bagi memastikan tiada syarat-syarat yang berat sebelah.

Misalnya, mengikut perjanjian tersebut, pelajar-pelajar yang tidak menduduki asrama yang dibina JNSB perlu membayar nilai sewa bilik mereka.

Abdul Khalid menambah, laporan audit Unisel juga memakan masa untuk dibentang berikutan penyata kewangan tidak diaudit atau didedahkan sejak lima tahun lalu.

“Saya sudah arahkan pihak akauntan untuk menyemak dan mengkaji semula segala-galanya sehingga betul dan lengkap.

Dia sedang melakukannya dengan merujuk kepada dokumen dan buku akaun lama dalam beberapa tahun lepas maka ia mengambil sedkit masa,” katanya.

Dalam laporan media hari ini, Unisel didakwa berhutang hampir RM15 juta dengan JNSB yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan kediaman penuntut di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.