Categories
NASIONAL

Suaram : Siasat Syarikat Terbabit Dalam Skandal Scorpene

SHAH ALAM 4 SEPT: Kerajaan dan agensinya didesak untuk menyiasat Syarikat Perimekar Sdn Bhd dan Terarasi Sdn Bhd serta mendedahkan kepada umum hasil sebarang penemuan.

Pengarah Eksekutif Suaran Rakyat Malaysia (Suaram), Nalini Elumalai berkata pihak Suaram menerima pelbagai bentuk tekanan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), PERKESO , Umno, Perkasa serta pelbagai dakwaan daripada Utusan Malaysia dan News Strait Times ekoran pendedahan skandal salah laku dalam urusan pembelian Kapal Selam Scorpene.

Beliau mahu agar kerajaan menyiasat syarikat yang terbabit dalam skandal kapal selam itu sepertimana tekanan dan siasatan yang dikenakan terhadap Suaram.

“Malah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut membantu dalam ‘rutin menyiasat’ salah satu daripada rakan kongsi Suaram baru-baru ini,” kata Nalini dalam kenyataan media.

Ujar Nalini, Suaram diwujudkan sebagai kumpulan sokongan untuk keluarga tahanan bekas politik dalam ISA sejak tahun 1989.

Suaram juga dibangunkan untuk memperjuangkan isu salahlaku polis, hak pemohon suaka politik, pelarian, dan juga mendidik masyarakat berkenaan hak asasi manusia dan kebebasan awam.

Ujar Nalini lagi, kerajaan juga didesak untuk menghentikan mempergunakan Perkhidmatan Awam untuk cuba menjatuhkan imej Suaram dengan pelbagai dakwaan dan tohmahan.

“Kita berjaya mencapai kemenangan moral ke atas pemasuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini dan tiga akta darurat selepas 23 tahun dalam perjuangan bersama-sama dengan rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.