Categories
NASIONAL SELANGOR

Projek Usahasama Yayasan Selangor Beri Syarat Perlu Untung 30%

SHAH ALAM, 30 OKT : Yayasan Selangor (YS) memberi jaminan bahawa semua proses pembangunan hartanah miliknya pada masa kini dan akan datang adalah telus.

Pengurus Besarnya, Ilham Marzuki berkata, pihaknya kini berhati-hati dan mensyaratkan pulangan projek usahasama YS (joint-venture) adalah 30:70.

Di mana YS perlu mendapat 30 peratus keuntungan daripada GDV (Gross Development Value) projek tersebut.

Jelas Ilham, ia adalah berbeza dengan proses pembangunan semasa pemerintahan Umno-BN dahulu, di mana YS hanya mendapat antara 3 hingga 5 peratus sahaja daripada GDV.

“Ini terbukti daripada pembangunan tanah di Persimpangan Jalan Raja Muda/Jalan Tun Razak, Kampung Baru apabila YS hanya mendapat sebuah bangunan bernilai RM54 juta, sedangkan GDV projek tersebut adalah sekitar RM1.8 bilion.

“Begitu juga dengan projek-projek lain seperti pembangunan tanah di Petaling Jaya, Klang dan Kelana Jaya.

“Ini dilakukan bagi menjaga kepentingan Yayasan Selangor dan rakyat negeri Selangor,” kata Ilham dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata demikian bagi memberi penjelasan isu tapak seluas 7.5 ekar di Jalan Kg. Pandan, Kuala Lumpur milik YS akan dibangunkan sebagai pusat komersil sebagaimana persekitarannya yang akan dimulakan pada awal tahun 2013.

“Sebagai ganti kepada Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur (AYSKL), YS akan membina sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang boleh menampung 1,000 pelajar, yang menelan belanja tidak kurang daripada RM50 juta (tidak termasuk kos tanah).

“Kos pembinaan SBP di biayai daripada pulangan cadangan projek usahasama memajukan tapak AYSKL, Jalan Kampung Pandan dengan pulangan kepada YS tidak kurang daripada RM300 juta (“in cash and kind”),” katanya.

Ilham berkata, semua projek kini adalah melalui proses tender terbuka, berbeza pada zaman BN dahulu ia dijalankan secara rundingan terus.

Ujar beliau, semua kepincangan proses pembangunan hartanah YS pada masa dahulu akan melalui proses ‘forensic audit’ tidak lama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.