Categories
SELANGOR

MB : Projek Datum Jelatek Beri Manfaat Kepada Bumiputera

MB pc tie belang 01

SHAH ALAM 7 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan pembangunan Projek Datum Jelatek di Keramat perlu diteruskan kerana memberi kebaikan kepada negara, negeri dan masyarakat Bumiputera.

Menurutnya, menjadi tugas Kerajaan Negeri untuk menerangkan manfaat daripada projek yang bakal dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu kepada sesetengah pihak yang melakukan bantahan terhadapnya.

“Saya rasa mereka berhak untuk melakukan bantahan dan saya ada hak untuk menerangkan apa yang saya mahu lakukan.

“Pada akhirnya itu yang terbaik untuk rakyat, tiada kepentingan peribadi,” katanya sewaktu ditanya pemberita di Bangunan SUK hari ini.

Sebelum ini, Abdul Khalid menyangkal dakwaan bahawa komuniti Melayu di kawasan Jelatek, Kuala Lumpur terpinggir akibat projek pembangunan bercampur Datum Jelatek.

Sebaliknya penduduk Melayu yang menjual kediaman mereka untuk projek itu menerima keuntungan berlipat kali ganda apabila PKNS membayar RM300,000 kepada mereka.

Abdul Khalid menjelaskan bahawa premium tinggi RM300,000 tersebut bermakna pemilik pangsapuri kos rendah yang rumah mereka dibeli untuk projek tersebut menerima keuntungan hampir RM280,000 setiap seorang.

Ini kerana harga asal pangsapuri kos rendah mereka hanya sekitar RM 20,000.

Keuntungan tersebut membolehkan penduduk terlibat membeli kediaman lain yang jauh lebih selesa berbanding pangsapuri asal mereka yang mempunyai dua bilik.

Pembangunan di Datum Jelatek juga telah meningkatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bernilai RM1 bilion dengan 50 peratusnya akan dimiliki oleh golongan Bumiputera.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Manfaat Kutipan Hutang Talam Untuk Kesejahteraan Rakyat

SHAH ALAM, 30 NOV – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid menegaskan akan memanfaatkan hasil kutipan hutang Talam Corporation bernilai RM392 juta untuk kesejahteraan rakyat.

Bercakap pada sesi penggulungan Dewan Negeri Selangor(DNS), Abdul Khalid berkata tanah-tanah pembelian GLC ini mampu memberikan nilai pulanganyang tinggi menerusi projek pembangunan perumahan dan komersil yang dirancang pada masa depan.

“Keputusan dari kutipan ini kita menyelamatkan tanah-tanah ini daripada dirampas dan dijual oleh bank.

“Malah kita menggunakan aset-aset ini untuk mendapatkan semula hutang Talam kepada GLC menerusi Menteri Besar Incorporated (MBI),” katanya.

Jelasnya, bagi memastikan hutang ini dijamin dapat dikutip, satu perjanjian penyelesaian menyeluruh ditandatangani bersama Talam.

Setakat ini, Nilai Pembangunan Kasar (GDV) secara keseluruhan bernilai RM4,146 juta untuk tanah-tanah yang dibeli oleh Perbadanan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Tanah-tanah tersebut adalah Bukit Beruntung (PKNS) bernilai RM133 juta, Bukit Beruntung (PNSB) bernilai RM2,378 juta dan di Bestari Jaya (PNSB) pula bernilai RM1,635 juta.

Jelas beliau lagi, penilaian terbaru Pejabat Tanah dan Galian Selangor pada 26 November lalu terhadap tanah di Bukit Beruntung mendapati tanah berkenaan dianggarkan bernilai RM475 juta berasaskan status tanah bercampur.

Keadaan ini sekaligus mencerminkan Kerajaan Negeri berjaya menghasilkan nilai ekonomi dan sosial menerusi pelunasan hutang-hutang Talam.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Projek Usahasama Yayasan Selangor Beri Syarat Perlu Untung 30%

SHAH ALAM, 30 OKT : Yayasan Selangor (YS) memberi jaminan bahawa semua proses pembangunan hartanah miliknya pada masa kini dan akan datang adalah telus.

Pengurus Besarnya, Ilham Marzuki berkata, pihaknya kini berhati-hati dan mensyaratkan pulangan projek usahasama YS (joint-venture) adalah 30:70.

Di mana YS perlu mendapat 30 peratus keuntungan daripada GDV (Gross Development Value) projek tersebut.

Jelas Ilham, ia adalah berbeza dengan proses pembangunan semasa pemerintahan Umno-BN dahulu, di mana YS hanya mendapat antara 3 hingga 5 peratus sahaja daripada GDV.

“Ini terbukti daripada pembangunan tanah di Persimpangan Jalan Raja Muda/Jalan Tun Razak, Kampung Baru apabila YS hanya mendapat sebuah bangunan bernilai RM54 juta, sedangkan GDV projek tersebut adalah sekitar RM1.8 bilion.

“Begitu juga dengan projek-projek lain seperti pembangunan tanah di Petaling Jaya, Klang dan Kelana Jaya.

“Ini dilakukan bagi menjaga kepentingan Yayasan Selangor dan rakyat negeri Selangor,” kata Ilham dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata demikian bagi memberi penjelasan isu tapak seluas 7.5 ekar di Jalan Kg. Pandan, Kuala Lumpur milik YS akan dibangunkan sebagai pusat komersil sebagaimana persekitarannya yang akan dimulakan pada awal tahun 2013.

“Sebagai ganti kepada Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur (AYSKL), YS akan membina sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang boleh menampung 1,000 pelajar, yang menelan belanja tidak kurang daripada RM50 juta (tidak termasuk kos tanah).

“Kos pembinaan SBP di biayai daripada pulangan cadangan projek usahasama memajukan tapak AYSKL, Jalan Kampung Pandan dengan pulangan kepada YS tidak kurang daripada RM300 juta (“in cash and kind”),” katanya.

Ilham berkata, semua projek kini adalah melalui proses tender terbuka, berbeza pada zaman BN dahulu ia dijalankan secara rundingan terus.

Ujar beliau, semua kepincangan proses pembangunan hartanah YS pada masa dahulu akan melalui proses ‘forensic audit’ tidak lama lagi.