Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Peruntuk RM1 Juta Basmi Gejala Sosial

SHAH ALAM, 26 NOV : Kesungguhan Kerajaan Negeri menangani gejala sosial terbukti melalui peruntukan khusus sebanyak RM1 juta berbanding Kerajaan Umno-BN yang hanya memperuntukkan RM10 setahun.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil tindakan holistik dengan menggalakkan rakyat dan pemimpin untuk mendukung gerakan membasmi gejala sosial yang gagal di atasi kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, sebagai langkah proaktif, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor mewujudkan Jawatankuasa Induk  memantau gejala sosial daripada terus berleluasa di negeri ini.

“Kerajaan Negeri juga sedang mewujudkan satu pembangunan sosial di bawah Pendidikan Sains Sosial Universiti Selangor (Unisel) untuk membangunkan sistem data prasarana sumber fizikal dan sumber tenaga manusia bagi menangani gejala sosial di peringkat kawasan tempat serta sistem sokongan.

“Selain itu, laporan terus ke pusat pengurusan sosial Selangor secara maya oleh Penyelia Tempatan mengenai insiden gejala sosial membantu Kerajaan Negeri mengesan trend, memantau keberkesanan dan kecekapan untuk mengambil tindakan dan menerima input terus daripada masyarakat umum,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Marsum Paing (BN-Dengkil) mengenai langkah Kerajaan Negeri menangani gejala sosial terutama zina di Negeri Selangor.

Katanya lagi, program Generasi Idaman Selangor (GeMS) yang diwujudkan turut membantu Kerajaan Negeri mengatasi gejala sosial secara proaktif.

Selain itu katanya, kempen anti zina yang dijalankan juga mewujudkan kesedaran kepada semua pihak terutama pemimpin untuk memandang serius aktiviti tidak bermoral ini.

“Usaha menangani gejala sosial secara efektif  kita jalankan melalui kempen anti zina sebanyak tujuh siri dengan penglibatan lebih 40 badan bukan kerajaan (NGO) Islam. Pemimpin perlulah membuat trend positif supaya golongan muda ini mempunyai idola atau warisan untuk dicontohi,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.