Categories
NASIONAL

Pusat Tuisyen Untuk Pangsapuri Seri Perantau

Pusat Tuisyen Untuk Pangsapuri Seri Peranta 01

PELABUHAN KLANG 28 APRIL : Bagi meningkatkan taraf pendidikan anak-anak di Pangsapuri Seri Perantau, di sini, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengambil inisiatif membina sebuah Pusat Tuisyen di pangsapuri terbabit.

Pusat tuisyen yang dinamakan Anjung Seri Perantau berkeluasan 1,990 kaki persegi itu mampu memuatkan sehingga 250 orang dalam satu masa yang menelan kos sebanyak kira-kira RM75,000.

Pengerusi Persatuan Penduduk, Mohamad Md Zin berkata pembinaan kemudahan bagi komuniti penduduk itu memang dinantikan oleh kira-kira lebih 5,000 penghuni pangsapuri yang rata-ratanya terdiri daripada golongan berkemampuan.

” Banyak faedah yang bakal dinikmati penduduk dengan adanya kemudahan ini. Bukan sahaja anak-anak dapat mengikuti tuisyen malahan penduduk dapat menjalankan aktiviti setempat dan riadah.

” Saya amat berterima kasih kepada PKNS dan Kerajaan Negeri Selangor yang membina kemudahan ini dan akhirnya permohonan kami menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Replika Kunci di pangsapuri itu, di sini.

Replika kunci itu diserahkan secara rasmi oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Hadir sama bekas Exco Pendidikan, pendidikan tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan Timbalan Pengurus Besar (Pentadbiran dan Pembangunan) PKNS, Noraida Mohd Yusof.

Md Zin yang sudah menetap di pangsapuri itu sejak lapan tahun yang lalu berharap pusat tuisyen berkenaan dapat memberi manfaat kepada anak-anak pangsapuri khasnya dalam mempelajari ilmu tambahan selepas waktu persekolahan.

” Kebanyakkan keluarga di pangsapuri ini tidak mampu untuk menghantar anak-anak mereka mengikuti tuisyen di luar kerana terdiri daripada keluarga miskin dan tidak berkemampuan,” katanya.

PKNS sebelum ini sudah membina Pusat Sehenti GeMS dan perpustakaan komuniti di pangsapuri itu.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak RM185 juta disumbangkan PKNS bagi tujuan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk pembinaan Asrama Desa Pancang Bedena di Sungai Besar dan pembinaan Sekolah KAFA Integrasi Al-Mubarak di Kota Damansara.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata pusat tuisyen itu merupakan salah satu usaha PKNS dalam menterjemahkan konsep ‘bulding home’ dalam memberikan kemudahan dan keselesaan kepada penduduk.

” Dalam pembangunan, seharusnya membina kemudahan lengkap dan selesa kepada penduduk. Macam pangsapuri ini, pentadbiran sebelum ini bina bangunan tetapi tiada kemudahan lengkap,” katanya.

Artis Penuhi Syarat, Tiada Halangan berceramah Di Selangor

artis 1

SHAH ALAM 18 DIS : Kerajaan Negeri tidak menghalang mana-mana selebriti yang mahu menyampaikan ceramah atau tazkirah selagi memenuhi syarat-syarat yang ditentukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri merasakan pengiat seni wajar diberi peluang kerana mereka mempunyai karisma yang dapat menarik perhatian masyarakat.

Katanya, pengiktirafan kepada artis itu bertujuan untuk menarik golongan muda mendekatkan diri dengan Islam dan dalam masa yang sama dapat mengimarahkan masjid dan surau.

artis 2“Jika dulu mereka ini tidak dibenarkan, sekarang kita sudah terima balik kerana kita tahu mereka mempunyai tujuan yang murni. Mereka boleh lakukan mengikut cara mereka sendiri.

“Sebagai orang Islam, tanggungjawab mengingati satu sama lain ialah tanggungjawab yang sangat besar jadi tidak salah jika mereka diberikan peluang asalkan mengikut syarat yang ditetapkan JAIS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Himpunan Artis Sayang Islam (HIAS).

Dalam program itu, kira-kira 50 pengiat seni termasuk pelakon, penyanyi, penulis, pengarah dan pemuzik hadir menyertai program terbabit.

Antaranya Diana Amir, Yatt Hamzah, Noryn Aziz, Heliza Helmi, Ashraf Muslim, Irma Hasmie, Aziz M.Osman, Bob Lokman, Azmil Mustafa dan Siti Nurdiana.

Program julung kali itu dianjurkan oleh Bahagian Dakwah JAIS dan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan dibawah Sekretariat Generasi Idaman Selangor (GEMS).

artis 3Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam negeri, Ahmad Zaki Arshad dan Exco Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Program sehari bermula jam 8 pagi hingga lima petang itu bertujuan memberi ruang kepada golongan pengiat seni mempelajari kaedah-kaedah berdakwah yang betul supaya dapat mempengaruhi golongan muda mengamalkan ajaran Islam dalam usaha melahirkan masyarakat berlandaskan syariat Islam.

Antaranya melibatkan segmen bual bicara bertajuk Era Kebangkitan Islam, Selebriti Di Mana?, Selebriti VS Dai’e dan pembentangan kertas kerja, pengenalan duta dakwah selebriti, Ta’aruf selebriti dan deklarasi dari wakil selebriti.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Peruntuk RM1 Juta Basmi Gejala Sosial

SHAH ALAM, 26 NOV : Kesungguhan Kerajaan Negeri menangani gejala sosial terbukti melalui peruntukan khusus sebanyak RM1 juta berbanding Kerajaan Umno-BN yang hanya memperuntukkan RM10 setahun.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil tindakan holistik dengan menggalakkan rakyat dan pemimpin untuk mendukung gerakan membasmi gejala sosial yang gagal di atasi kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, sebagai langkah proaktif, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor mewujudkan Jawatankuasa Induk  memantau gejala sosial daripada terus berleluasa di negeri ini.

“Kerajaan Negeri juga sedang mewujudkan satu pembangunan sosial di bawah Pendidikan Sains Sosial Universiti Selangor (Unisel) untuk membangunkan sistem data prasarana sumber fizikal dan sumber tenaga manusia bagi menangani gejala sosial di peringkat kawasan tempat serta sistem sokongan.

“Selain itu, laporan terus ke pusat pengurusan sosial Selangor secara maya oleh Penyelia Tempatan mengenai insiden gejala sosial membantu Kerajaan Negeri mengesan trend, memantau keberkesanan dan kecekapan untuk mengambil tindakan dan menerima input terus daripada masyarakat umum,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Marsum Paing (BN-Dengkil) mengenai langkah Kerajaan Negeri menangani gejala sosial terutama zina di Negeri Selangor.

Katanya lagi, program Generasi Idaman Selangor (GeMS) yang diwujudkan turut membantu Kerajaan Negeri mengatasi gejala sosial secara proaktif.

Selain itu katanya, kempen anti zina yang dijalankan juga mewujudkan kesedaran kepada semua pihak terutama pemimpin untuk memandang serius aktiviti tidak bermoral ini.

“Usaha menangani gejala sosial secara efektif  kita jalankan melalui kempen anti zina sebanyak tujuh siri dengan penglibatan lebih 40 badan bukan kerajaan (NGO) Islam. Pemimpin perlulah membuat trend positif supaya golongan muda ini mempunyai idola atau warisan untuk dicontohi,” katanya lagi.