Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Nafi Bangunkan Tanah Yayasan Selangor

KLANG 09 NOV : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan bekas alumni Yayasan Selangor berhubung sebuah lot tanah milik Yayasan Selangor di Klang akan dibangunkan sebagai Pusat Kebudayaan Cina.

Katanya, Kerajaan Negeri belum memutuskan sebarang rancangan pembangunan di atas tanah lot tersebut.

Malah, jelasnya, tanah seluas 7.49 hektar itu kini berstatus hak milik Kerajaan Negeri.

Beliau menjelaskan sebelum ini, tanah itu diserahkan kepada sebuah syarikat swasta pada 2002 oleh kerajaan Umno-BN terdahulu.

Setelah syarikat itu gagal membangunkan tanah tersebut, Kerajaan Selangor membatalkan perjanjian dengan syarikat itu dan mengambil semula tanah tersebut.

Abdul Khalid turut menafikan yang kelulusan telah diberikan untuk membangunkan lot tanah tersebut untuk dijadikan Pusat Kebudayaan Cina.

“Syarikat yang diberikan kuasa oleh Yayasan Selangor gagal membangunkan tanah itu dengan cara persendirian.

“Malah ada lima ke enam orang termasuklah beberapa individu daripada Umno menulis surat kepada saya memohon untuk membangunkan tanah itu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Halal Fest di Masjid As Syariff, di sini.

Jelasnya, perjanjian itu juga dibatalkan kerana bersifat berat sebelah.

“Dalam perjanjian itu juga, dinyatakan bahawa Yayasan Selangor sudah menyerahkan semua kuasa-kuasa kepada syarikat itu.

“Tanah itu kita akan bangunkan cuma buat masa ini, kita masih tiada apa-apa rancangan lagi,” katanya.

Sebuah akhbar melaporkan bahawa Pengerusi Ahli Bertindak Saya Anak Yayasan Selangor, Badrulzaman Baharuddin mendakwa tanah terbabit yang milik Yayasan Selangor akan dibangunkan sebagai Pusat Kebudayaan Cina.

Mereka turut mendakwa kelulusan diberikan dengan tergesa-gesa dan membelakangkan Yayasan Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.