Categories
NASIONAL

RCI Perlu Untuk Kaji Ketepatan Populasi Masyarakat India

PETALING JAYA,8 NOV : AMK Malaysia mendesak kerajaan pusat menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat kadar populasi masyarakat India yang rendah, iaitu sekitar tujuh peratus daripada populasi Malaysia pada 2010.

Naib Ketuanya, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, isu ini perlu diberi perhatian segera kerana statistik pada 1985 menunjukkan peratusan masyarakat India adalah 16 peratus.

“Ia merupakan persoalan besar yang perlu dijawab oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Nazree berkata, merujuk kepada buku Dr V David bertajuk ‘Freedom That Never Came’ yang diterbitkan Universiti Wollongong, Australia pada tahun 1985, masyarakat India pada ketika itu berjumlah 2,444,640 orang.

Manakala menurut Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2010, masyarakat India berjumlah 2,066,801 orang, iaitu berlaku penurunan seramai 377,839 orang.

Dengan adanya RCI ini maka satu laporan dapat dihasilkan bagi mengenalpasti penyebab kepada penurunan dan ketepatan statistik yang dilaporkan.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menyelesaikan masalah pemilikan kad pengenalan (KP) di kalangan masyarakat India di mana masih ramai individu yang tidak mendapat KP biru dan hak sebagai rakyat Malaysia.

Ianya akan menjejaskan peluang masyarakat India untuk mengundi dalam pilihanraya.

“MIC yang merupakan komponen Barisan Nasional sepatutnya memainkan peranan penting bagi mendapatkan data yang tepat ini namun sedihnya mereka tidak prihatin terhadap perkara ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.