Categories
NASIONAL

Kenaikan kos sara hidup, Kerajaan Pusat perlu cari jalan selesai bukan alasan remeh

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 11 JAN : Kerajaan Barisan Nasional (BN) sepatutnya berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap kenaikan kos sara hidup rakyat dengan tidak menggunakan alasan remeh.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nazree Yunus, berkata alasan kenaikan harga ikan misalnya yang disebabkan keadaan musim tengkujuh tidak wajar dijadikan hujah.

NazreeSebaliknya, Nazree berkata pihak kerajaan perlu menggunakan kepakaran dan sumber yang ada bagi memikirkan penyelesaian kepada sebarang isu yang timbul melibatkan kepentingan rakyat.

“Kejadian musim hujan ini berlaku saban tahun, jadi sepatutnya kerajaan sudah mempunyai pelan tindakan bagi menghadapi keadaan ini agar rakyat tidak terbeban.

“Takkanlah masih perlu menggunakan alasan sama setiap tahun, ini tidak boleh diterima rakyat.

“Apa yang rakyat mahu tahu ialah solusi kepada masalah, bukan alasan,” kata Nazree.

Semalam, Nazree dan beberapa lagi anggota AMK hadir di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menyerahkan memorandum Aduan Rakyat AMK yang diterima Timbalan Ketua Setiausahanya, Datuk Basaruddin Sadali.

ikan hargaBasarudin antara lain menyebut kenaikan harga barang seperti ikan dan sayur-sayuran adalah disebabkan kejadian musim hujan yang kebiasaannya berlaku pada hujung dan awal tahun.

Katanya juga, kenaikan harga barang seperti ini juga berlaku di mana-mana negara di dunia dan bukan sekadar di Malaysia.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bekas Pengerusi GERAK Mohon Maaf Kepada Khalid Ibrahim – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 31052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak), Mohd Nazree Mohd Yunus hari ini membuat permohonan maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas dua tuduhan beliau terhadap Menteri Besar Selangor itu pada 2009.

2. Sekumpulan mahasiswa berhimpun di depan pejabat Kementerian Dalam Negeri hari ini di Putrajaya mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi meletakkan jawatan, ekoran penahanan pemimpin politik dan aktivis yang bermotifkan politik.

3. Kira-kira 50 pengundi di kawasan Parlimen Kapar tampil memfailkan laporan polis berhubung penipuan PRU13 di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

4. Pejabat Ketua Menteri Sabah mengeluarkan arahan secara langsung menyekat seorang Ahli Parlimen Malaysia dari memasuki Sabah.

5. Seramai 226 ibu tunggal dan wanita seluruh Malaysia telah menerima bayaran pendahuluan nafkah daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bernilai RM 550,879 sehingga April tahun ini.

Categories
SELANGOR

Bekas Pengerusi Gerak Mohon Maaf Kepada MB Selangor

nazree yunus 1

SHAH ALAM, 31 MEI : Bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak), Mohd Nazree Mohd Yunus hari ini membuat permohonan maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas dua tuduhan beliau terhadap Menteri Besar Selangor itu pada 2009.

Permohonan maaf pertama merujuk kepada kenyataan Mohd Nazree sebelum ini yang mendakwa Abdul Khalid menyalahguna kuasa dan menggunakan wang awam untuk membiayai penyelenggaraan dan belian aksesori serta alat ganti kereta milik peribadi beliau.

Manakala permohonan maaf kedua adalah merujuk kepada dakwaan Mohd Nazree kononnya Abdul Khalid menggunakan wang Kerajaan Selangor bagi membiayai pembelian 46 ekor lembu korban bernilai RM 110,400 bagi majlis Hari Raya Aidiladha di kawasan Bandar Tun Razak.

“Sesungguhnya dengan suci hati dan tulus ikhlas, saya memohon maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas dua kenyataan yang saya keluarkan selaku Pengerusi Gerak bertajuk “Kenyataan Media Gerak Malaysia : Tentang Amalan Rasuah dan Salahguna Kuasa Menteri Besar Selangor” bertarikh 21 Januari 2009 dan “Kenyataan Media Gerak Malaysia : Laporan Salahguna Kuasa Menteri Besar Selangor” pada 3 Februari 2009.

“Saya mengaku bahawa kedua-dua kenyataan media ini telah mencemarkan, menjejaskan serta menjatuhkan nama baik, reputasi, imej dan intergriti beliau sebagai Menteri Besar Selangor.

“Saya mengaku amat menyesal kerana membuat kenyataan akhbar yang tidak benar terhadap beliau. Saya berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan mengeluarkan perkataan berunsur fitnah di masa akan datang,” katanya.

Mohd Nazree membaca permohonan maaf itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Dr Badariah Sahamid.

Beliau yang merupakan defendan dalam kes tersebut turut bersetuju untuk menyiarkan permohonan maaf itu di muka hadapan akhbar Sinar Harian dalam tempoh 14 hari.

Sementara itu, Abdul Khalid ketika ditemui berkata, beliau menerima permohonan maaf Mohd Nazree secara terbuka dan tidak akan menuntut sebarang ganti rugi.

“Saya menerima permohonan maaf beliau dan berharap beliau dapat meneruskan usaha sebagai seorang yang minat dalam bidang politik.

?Dengan cara itu, kita telah menunjukkan bahawa keadilan itu adalah satu usaha berterusan dan saya anggap pengajaran ini akan menguatkan lagi kualiti hidup beliau sebagai seorang yang percaya pada keupayaan diri sendiri,” katanya ketika ditemui di luar bilik mahkamah.

Pada 24 Mac lalu, Abdul Khalid memfailkan dua saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Mohd Nazree melalui peguam beliau, Sankara Nair.

Tindakan itu berikutan keengganan Mohd Nazree menarik balik, meminta maaf dan membayar ganti rugi terhadap dua kenyataan itu.

Categories
NASIONAL

RCI Perlu Untuk Kaji Ketepatan Populasi Masyarakat India

PETALING JAYA,8 NOV : AMK Malaysia mendesak kerajaan pusat menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat kadar populasi masyarakat India yang rendah, iaitu sekitar tujuh peratus daripada populasi Malaysia pada 2010.

Naib Ketuanya, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, isu ini perlu diberi perhatian segera kerana statistik pada 1985 menunjukkan peratusan masyarakat India adalah 16 peratus.

“Ia merupakan persoalan besar yang perlu dijawab oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Nazree berkata, merujuk kepada buku Dr V David bertajuk ‘Freedom That Never Came’ yang diterbitkan Universiti Wollongong, Australia pada tahun 1985, masyarakat India pada ketika itu berjumlah 2,444,640 orang.

Manakala menurut Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2010, masyarakat India berjumlah 2,066,801 orang, iaitu berlaku penurunan seramai 377,839 orang.

Dengan adanya RCI ini maka satu laporan dapat dihasilkan bagi mengenalpasti penyebab kepada penurunan dan ketepatan statistik yang dilaporkan.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menyelesaikan masalah pemilikan kad pengenalan (KP) di kalangan masyarakat India di mana masih ramai individu yang tidak mendapat KP biru dan hak sebagai rakyat Malaysia.

Ianya akan menjejaskan peluang masyarakat India untuk mengundi dalam pilihanraya.

“MIC yang merupakan komponen Barisan Nasional sepatutnya memainkan peranan penting bagi mendapatkan data yang tepat ini namun sedihnya mereka tidak prihatin terhadap perkara ini,” katanya.