Categories
SELANGOR

Skim Ceria : 71 Pangsapuri Terima Manfaat

SHAH ALAM 19 NOV : Sejak diperkenalkan pada 2011, sehingga kini Skim Ceria memberi manfaat kepada 71 pangsapuri seluruh Selangor yang melibatkan kos sejumlah RM 9.7 juta.

Exco Perumahan,Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad ketika Sidang Dewan Negeri Selangor(DNS) pagi tadi memberitahu Skim Ceria tersebut diaplikasikan kepada dua jenis pangsapuri iaitu Kos Rendah dan Kos Sederhana Rendah.

Bagi Fasa Satu pada tahun 2011, hanya 17 pangsapuri kos rendah menerima bantuan program Skim Ceria.

Manakala untuk Fasa Kedua tahun 2012 pula, sebanyak 43 pangsapuri kos rendah dan 9 pangsapuri kos sederhana rendah menerima manfaatnya.

Sementara bagi Fasa Ketiga tahun ini melibatkan dua pangsapuri kos sederhana rendah.

Selain itu, Iskandar ketika menjawab soalan daripada Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai skim ini memberitahu Kerajaan Negeri juga merangka beberapa program menaiktaraf skim ini.

“Antaranya, Kerajaan Negeri menganjurkan program turun padang berbentuk pendidikan kepada pemilik pangsapuri iaitu Kempen Pangsapuri Kita Bersih, Ceria dan Harmoni bertemakan Anti Vandalisme.

“Khusus bagi penjagaan lif yang telah dibaikpulih, Kerajaan turut melaksanakan kaedah pemasangan CCTV dan program bancian lif dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP),” jelas Iskandar yang juga Adun Cempaka.

Skim Ceria merupakan satu skim perkongsian kos antara penghuni pangsapuri dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menceriakan kawasan persekitaran pangsapuri.

Skim ini juga bertujuan menyemai rasa kepunyaan kepada setiap unit dalam menjaga dan menjamin harta bersama bagi tempoh masa yang panjang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.