Categories
SELANGOR

Jawatankuasa Pantau Kebersihan Tasik Ditubuhkan MBPJ

Tasik Aman MBPJ 01

PETALING JAYA, 21 DIS : Bagi menjaga kebersihan dan kecantikan di tasik-tasik di dalam kawasannya, satu jawatankuasa telah ditubuhkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini.

Jawatankuasa Kecil Sistem Rawatan Tasik itu akan merangka strategi bagi mengurangkan bau busuk dan masalah air keroh yang mencemarkan keindahan taman tasik di bandar tersebut.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MBPJ, Dr Chitra Devi berkata, majlis telah bersetuju untuk menjalankan projek perintis dengan menggunakan kaedah ‘ultrasonic algae control system’ di Tasik Aman Seksyen 22/44 di sini.

“Ianya dijalankan oleh sebuah syarikat yang telah bersetuju untuk membiayai sepenuhnya projek rawatan air tasik ini selama tiga bulan sebagai tempoh percubaan.

“Kaedah rawatan in digunakan adalah untuk membendung masalah pertumbuhan algae yang serius di kawasan kolam ini,” kata Dr Chitra semasa lawatan bersama MBPJ dan Ahli Majlis MBPJ di Taman Tasik Aman Seksyen 22/44 di sini.

Ujarnya, projek ini telah bermula sejak pertengahan Ogos lalu dan ianya masih berjalan sehingga kini.

MBPJ mendapati bau busuk dan pertumbuhan algae dapat dikurangkan setelah menggunakan sistem ini.

“Majlis berharap agar semua pihak memainkan peranan untuk sama-sama memelihara kebersihan tasik dengan tidak mengalirkan bahan pencemar ke longkang awam yang mengalir terus ke dalam tasik.

“Semangat sayangkan tasik-tasik ini perlu ada di dalam diri setiap penduduk kerana ia merupakan aset negara yang tidak ternilai dan ianya milik semua,” katanya.

Rawatan Tasik MBPJ 01

Leave a Reply

Your email address will not be published.