Categories
NASIONAL SELANGOR

Perutusan Hari Krismas Menteri Besar Selangor

mbMasyarakat Malaysia terkenal dengan perayaan yang rencam. Sifatnya sebagai masyarakat yang majmuk telah menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang unik di dunia dari segi budaya dan kepercayaan warganya. Dan sambutan Krismas merupakan salah satu daripada kerencaman kepercayaan tersebut.

Jika dilihat semangat positif yang boleh digarap sempena perayaan ini, Krismas membawa simbol semangat setiakawan dan kesatuan rakyat yang berbilang kaum di negara ini. Bahkan sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita, budaya kunjung-mengunjung, ziarah-menziarahi dan bantu-membantu telah tersemat sebagai agenda wajib dalam proses melahirkan apresiasi yang bersifat rentas agama dan budaya.

Tidak sekadar itu, perayaan yang diserikan dengan cuti umum ini telah mendatangkan kegembiraan yang bukan sedikit buat rakyat kebanyakan. Walaupun tidak disambut atas faktor beza kepercayaan, namun cuti yang diperoleh pastinya menjadi medan solidariti secara tidak langsung antara warga Kristian dan bukan Kristian dalam negara ini.

Dek kerana itulah Selangor sentiasa menjadikan hubungan harmoni antara kaum & kesentosaan hidup masyarakat beragama sebagai pasak kukuh yang harus diikuti dalam setiap agenda kerajaan negeri.

Setiap kemajuan dan pemeringkatan kualiti hidup rakyat disuluh sehingga ke akarnya agar ia tetap melestarikan implementasi nilai-nilai positif yang terkandung dalam setiap kepercayaan dan agama.

Tidak hairanlah jika di bawah pentadbiran kerajaan sekarang, selain menyediakan bantuan kepada pembangunan Islam, kita juga menyediakan peruntukan khas untuk membantu perjalanan rumah-rumah ibadat seperti gereja Kristian, kuil-kuil Buddha dan Hindu serta agama-agama yang lain.

Hal ini penting agar setiap rakyat di negeri Selangor ini memperoleh bantuan yang saksama dan adil. Inilah mekanisme yang telah digunapakai sepanjang kita diberi mandat. Mudah-mudahan ianya diterima rakyat dan terus diberi kepercayaan oleh rakyat, khususnya di Selangor.

Oleh yang demikian, saya mewakili kerajaan negeri Selangor berbesar hati untuk mengucapkan selamat bercuti untuk semua dan selamat menyambut Hari Krismas untuk warga Selangor yang beragama Kristian.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO? SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
Dato? Menteri Besar Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published.