Categories
SELANGOR

Harga Makanan Mahal Tidak Berkualiti : Ibu Bapa Tuntut Penyelesaian Kementerian Pelajaran

Harga Makanan Mahal Tidak Berkualiti 01

PETALING JAYA, 15 JAN: Ibu bapa dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menuntut Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menyelesaikan isu harga jualan makanan dan minuman di kantin sekolah yang disifatkan mahal dakwa, Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri.

Selain itu, mutu kualiti makanan yang rendah turut menjadi rungutan ibu bapa.

Yahya berkata, harga makanan dan minuman di semua kantin sekolah perlu diselaraskan dengan kualiti yang standard.

Keadaan ini sekaligus dapat memastikan keselesaan pelajar dan meredakan tekanan yang dihadapi ibu bapa.

“Sebagai contoh, beberapa sekolah menjual seketul nugget goreng dengan harga RM0.50 sedangkan di pasar malam boleh didapati pada harga RM1.00 untuk empat atau tiga ketul.

“Segelas air pelbagai perisa yang dibancuh pula dijual dengan harga RM1.00.

“Bila ibu bapa ajukan soalan kepada peniaga kantin mereka menyatakan apa nak buat semua harga barang dah naik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Tegas Yahya, perkara ini dapat diselesaikan sekiranya pihak kementerian yang terlibat serta pihak sekolah berbincang secara baik memandangkan perkara ini melibatkan perbelanjaan ibu bapa dalam menguruskan sesi persekolahan anak-anak.

“Bagi mengurangkan kos peniaga, kos sewa kantin boleh dibayar dengan harga cukup minima, kos bil elektrik dan air boleh ditanggung oleh Kemeterian Pelajaran,” ujarnya lagi.

Turut dibangkitkan bersama adalah isu pembelian buku latihan persekolahan bersaiz besar A4 yang wajib dibeli pelajar sedangkan buku tulis rampaian digunakan bagi menyalin nota dan latihan.

Beberapa wakil PIBG menyatakan bahawa pembelian wajib empat buah buku berkenaan dengan harga RM2.40 setiap satu semata-mata demi mencari keuntungan kerana pembekal, Edaran Pro Dinasti didakwa mempunyai hubungan baik kepada Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM).

Penjualan buku ini juga turut mendapat keizinan dan lampu hijau daripada JPN dan KPM.

“Mengikut maklumat yang kami terima, penjualan buku ini melibatkan semua sekolah menengah di seluruh Malaysia dan sebagaian sekolah rendah.

“Mereka memberi anggaran kiraan setiap tahun bilangan pelajar sekolah menengah lebih 2.3 juta, maka anggaran jualan buku yang diterima adalah berjumlah RM19.2 juta dengan anggaran kiraan 2 juta pelajar x RM9.60 (4xRM2.40),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.