Categories
NASIONAL SELANGOR

Boleh Rujuk Timbang Tara Berhubung Tawaran RM 9.65 bilion Kerajaan Negeri

MB Majlis Ikrar PKPS dan SPRM Tingkat 22 SUK 01

SHAH ALAM, 21 FEB : Empat syarikat konsesi yang mengurus industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya boleh membawa tawaran RM 9.65 bilion ke Jawatankuasa Timbang Tara sekiranya tidak berpuas hati terhadap jumlah tersebut.

Akan tetapi, Kerajaan Negeri mengulangi pendirian bahawa tawaran itu adalah yang terbaik kerana ia memberikan pulangan 12 peratus setahun terhadap ekuiti kepada pemegang saham syarikat-syarikat tersebut.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tawaran tersebut akan menstruktur semula industri air supaya menjadi lebih cekap.

“Itu merupakan tawaran rakyat Selangor yang terbaik kerana rakyat Selangor tidak mahu membayar lebih daripada itu kepada syarikat konsesi berkenaan.

“Kalau mereka tidak berpuas hati, kita boleh adakan usaha terbuka untuk ditimbang tara,” katanya dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.

Semalam Kerajaan Negeri mengumumkan tawaran RM 9.65 bilion kepada empat syarikat konsensi untuk ambilalih operasi mereka.

Empat syarikat tersebut adalah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash).

Tawaran itu memberi pulangan yang lebih berbanding dengan pulangan pada masa kini yang hanya enam peratus setahun.

Sekiranya tawaran tersebut diterima, Kerajaan Negeri akan mengurus seluruh sistem bekalan air terawat yang selama ini dilanda masalah air hilang yang agak tiggi, gangguan bekalan dan kenaikan harga yang tidak munasabah.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menegaskan tawaran itu telahpun diserahkan kepada keempat-empat syarikat konsesi berkenaan untuk dinilai.

Dalam kes Syabas, tawaran tersebut dikemukan kepada pemegang ekuiti di dalam Syabas iaitu Puncak Niaga Holdings Berhad.

“Syabas memang tidak terima tawaran itu, sebaliknya pemilik saham Syabas yang menerimanya. Kita hendak ambil alih ekuiti, maknanya pekerja Syabas tidak ada kena mengena dalam hal ini. Kita beri pada orang yang memiliki saham,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.