Categories
NASIONAL SELANGOR

Melayu Jelatek Dapat Untung Berlipat Ganda Dari Projek Datum Jelatek

mb pc masjid orange 01

KUALA SELANGOR, 11 FEB: Kerajaan Selangor menyangkal dakwaan bahawa komuniti Melayu di kawasan Jelatek, Kuala Lumpur terpinggir akibat projek pembangunan bercampur Datum Jelatek.

Sebaliknya penduduk Melayu yang menjual kediaman mereka untuk projek itu telah menerima keuntungan berlipat kali ganda apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membayar RM 300,000 kepada mereka.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga berkata pemilikan pangsapuri mewah Datum Jelatek akan terbuka kepada semua, termasuk pembeli Melayu.

Abdul Khalid menjelaskan bahawa premium tinggi RM 300,000 tersebut bermakna pemilik pangsapuri kos rendah yang rumah mereka dibeli untuk projek tersebut menerima keuntungan kira-kira RM 280,000 setiap seorang.

Ini kerana harga asal pangsapuri kos rendah mereka hanya sekitar RM 20,000.

Keuntungan tersebut membolehkan penduduk terlibat membeli kediaman lain yang jauh lebih selesa berbanding pangsapuri asal mereka yang mempunyai dua bilik.

Menurut Abdul Khalid pembelian unit-unit projek bernilai RM 700 juta itu akan terbuka kepada semua pihak khususnya pelabur Melayu dan bumiputra di negara ini.

“Melayu juga ramai yang kaya dan mampu (contohnya) di Shah Alam lebih 50 peratus yang mendiami rumah-rumah kos tinggi adalah Melayu,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Jubli Intan Masjid Ar-Rahman (Lama) di Kampung Bukit Badong, Bestari Jaya di sini.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa beberapa individu Melayu yang mendiami kawasan projek Datum Jelatek mendakwa mereka dipinggirkan dan tidak mendapat bayaran premium yang setimpal daripada PKNS.

Leave a Reply

Your email address will not be published.