Categories
NASIONAL SELANGOR

Pertikai Indeks TI, Zahid Perlekeh Usaha Najib

rafizi TI 01

PETALING JAYA, 6 FEB: Tindakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi mempertikai kaedah penentuan indeks rasuah pertahanan yang digunapakai Transparency International (TI) bercanggah dengan kaedah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ini kerana, pentadbiran Umno-BN pimpinan Najib sendiri menjadikan Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index) yang dirintis dan dibangunkan Tl sebagai kayu ukur utama menentukan pembanterasan rasuah pentadbiran beliau.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, sindrom penafian pimpinan Umno-BN selama ini melambangkan kuatnya tentangan dan tidak mahu menerima hakikat bahawa pentadbiran mereka selama ini membudayakan rasuah.

Jelasnya, sekiranya perkara ini hanya satu persepsi, sepatutnya semua kempen media yang dilaksanakan berjaya mengubah persepsi ini.

“Hanya di Malaysia kita mempunyai seorang menteri kanan yang memperlekehkan indek rasuah yang diangkat oleh Perdana Menterinya sendiri sebagai kayu ukur utama kerajaan,” kata Rafizi.

Tambahnya, rasa marah dan kebencian rakyat terhadap rasuah serta penyelewengan yang berleluasa dari pembelian persenjataan negara bukan hanya suatu persepsi.

“Walaupun kempen media yang menelan belanja besar dijalankan oleh pentadbiran Najib untuk mengubah persepsi ini, semua kaji selidik yang diterbitkan setakat ini melalui Merdeka Center dan lain-lain menunjukkan bahawa kebencian rakyat terhadap rasuah masih lagi menjadi isu teratas yang dihadapi Umno-BN,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.

TI menimbulkan tiga perkara pokok yang menyebabkan Malaysia berada di tangga tercorot dalam Indeks Anti Rasuah Pertahanan di mana tiada jawatankuasa selia (dalam bentuk Jawatankuasa Terpilih) di peringkat parlimen yang dipertanggungjawabkan menyemak dan memastikan strategi pembelian persenjataan telus serta tidak membabitkan rasuah.

Kedua, akta-akta kerahsiaan seperti Akta Rahsia Rasmi menyekat maklumat yang menyebabkan rakyat tidak boleh menilai dan mengkritik pembelian persenjataan yang membabitkan rasuah kerana ketiadaan maklumat.

Sementara perkara ketiga pula mengenai pembelian persenjataan dibuat secara rahsia dan ditentukan oleh kelompok kecil.

Kata Rafizi, pentadbiran Pakatan Rakyat kelak akan mewujudkan Jawatankuasa Terpilih dari kalangan ahli parlimen yang mempunyai kepakaran tertentu bersabit pertahanan untuk menjadi timbal balik bagi menyelia pembelian persenjataan agar ketirisan dan rasuah tidak berlaku.

Dalam pada itu Rafizi memaklumkan, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat satu pengumuman khas mengenai anggota tentera pada 16 Februari ini bertempat di Setiawangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published.