Categories
NASIONAL SELANGOR

CSR Unisel Bimbing 400 Pelajar Hadapi SPM

UNISEL logo

SHAH ALAM, 16 APRIL : Seramai 400 pelajar Tingkatan 5 daripada 10 sekolah akan menjadi mahasiswa UNISEL selama tiga hari mulai 23 hingga 25 April ini dengan mengikuti tuisyen tiga mata pelajaran teras iaitu bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Pengarah Komunikasi Korporat Unisel, Rosniza Mohammad Rasol berkata, program itu merupakan jalinan kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Selangor (JPS) menerusi program kemasyarakatan Sekolah Sahabat UNISEL 2013 (SSU2013)

Ia khusus mendampingi warga sekolah menengah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada akhir tahun ini.

“2013 ini adalah tahun keempat SSU dilaksanakan dengan kerjasama JPS dan mahasiswa yang menjadi tetamu istimewa UNISEL mengikuti program ini akan dipantau oleh 60 pensyarah yang akan mengunjungi mahasiswa UNISEL ini di sekolah masing-masing.

“Ia adalah program tanggungjawab khidmat sosial korporat dalam mengukuhkan hubungan dengan masyarakat,” kata Rosniza dalam kenyataan medianya.

Ujarnya, tetamu istimewa ?400 mahasiswa? Unisel akan dipantau oleh 50 pensyarah berpengalaman UNISEL yang membimbing tuisyen dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

Menerusi subjek Sains pelajar didedahkan menerusi lapan jenis gerai Sains dengan mempamerkan demonstrasi fizik, equilibrium, genetik yang akan mengetengahkan demo jangka hayat lalat, kajian DNA dan demo bagaimana gunung berapi terjadi.

Program ini mendapat tajaan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Nestle, Tourism Selangor Sdn Bhd, F&N Fruit Tree, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Turut sama adalah Majlis Perbandaran Klang (MPK), Bank Simpanan Nasional (BSN), Worldwide Holdings, Majlis daerah Kuala Selangor (MDKS) ,Yayasan Selangor dan orang perseorangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.