Categories
NASIONAL

PR Jamin Wanita Diiktiraf Sebagai Aset Negara

PR Jamin Wanita Diiktiraf Sebagai Aset Negara 01

KUALA LUMPUR 7 APRIL : Pakatan Rakyat (PR) mengiktiraf peranan wanita di negara ini sebagai pengurus rumahtangga bagi melahirkan modal insan berkualiti dan menjadi aset negara bermula pada peringkat awal.

Maka dengan itu, PR menawarkan pelbagai tawaran menarik khusus kepada wanita sempena PRU13 ini demi membela dan melindungi mereka ke arah menikmati kehidupan lebih bermakna di Malaysia.

Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, selain 12 tawaran PR kepada rakyat, tiga tawaran khusus bagi wanita adalah Caruman Wanita Malaysia atau Tabung Simpanan Suri Rumah berjumlah RM600 setahun, insentif penjagaan anak sebanyak RM1,000 setahun melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan penubuhan Agensi Pembantu Rumah Tempatan.

“Tiga tawaran khusus daripada wanita PR untuk wanita Malaysia di seluruh negara adalah bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan kami.

“Tawaran ini satu tanda pengiktrafan dan penghargaan kami terhadap peranan wanita selama ini bekerja sebagai suri rumah sepenuh masa.

“Ternyata suri rumah adalah satu kerjaya mulia dalam memastikan kestabilan serta keharmonian sesebuah institusi rumah tangga sebagai entiti penting dan aset sesebuah negara terus dipelihara,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, tawaran kedua dan ketiga dibuat PR juga bagi memastikan kadar guna tenaga kerja wanita terus dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Katanya, pihaknya menyeru rakyat Malaysia khususnya pengundi wanita di seluruh negara menggunakan peluang terbentang luas dalam PRU13 bagi memilih parti yang akan membentuk sebuah kerajaan berkebajikan dan mengutamakan kesejahteraan rakyat berbanding kepentingan segolongan elit politik dan konglomerat kapitalis.

“Sudah lebih 55 tahun kita membiarkan Malaysia diterajui kumpulan ini, menatijahkan kehidupn rakyat yang semakin terdera dan sengsara akibat kos sara hidup yang terus meningkat dengan harga barang membebankan dan sukar dikawal.

“Sementara pendapatan rakyat masih di tahap komparatif rendah,” katanya.

Turut hadir, Keua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusoff; Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching.

Leave a Reply

Your email address will not be published.