Categories
NASIONAL SELANGOR

Guna Tenaga Wanita Malaysia Terendah Di Asia Tenggara

PC Wanita PR 02

KUALA LUMPUR, 7 APRIL : Kadar guna tenaga wanita di Malaysia berada pada tahap rendah berbanding dengan negara jiran lain di Asia Tenggara.

Biarpun Kerajaan Pusat dipimpin Umno-BN mengatakan kepentingan wanita sering diutamakan namun kepimpinan wanita Pakatan Rakyat (PR) mendakwa tiada perubahan dialami dari segi guna tenaga golongan itu sejak lebih 10 tahun lalu dengan hanya mencapai tahap 46 peratus.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata, pencapaian itu diraih pada 1999 dan ia tidak berubah dengan kekal hingga ke hari ini.

Menurutnya, negara kini ketinggalan jika dibandingkan dengan negara jiran lain di Asia Tenggara yang membuktikan kadar guna tenaga wanita diutamakan dengan peningkatan positif.

“Negara jiran kita, Indonesia dan Filipina kadar guna tenaga wanita sebanyak 52 peratus, Singapura (60 peratus), Brunei (61 peratus) manakala Thailand (70 peratus).

“Ini menunjukkan bahawa kadar guna tenaga di negara jiran kita sudah meningkat dengan banyak tetapi di Malaysia masih lagi pada tahap 46 peratus,” katanya dalam sidang media Wanita PR di ibu pejabat PAS di sini.

Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff pula menyatakan walaupun angka hampir 70 peratus penglibatan wanita dicatat berjaya ke institusi penggajian tinggi tetapi masih lagi gagal kehendak pasaran pekerjaan di negara ini.

Ini kerana, katanya, penggunaan tenaga warga asing masih diberi kepentingan di negara ini yang menafikan peluang wanita tempatan.

“Kita ingin menubuhkan agensi pembantu rumah tempatan kerana kita ingin mendidik keluarga kita dengan budaya tempatan. Kita tidak mahu dengan pengambilan pembantu rumah warga asing maka budaya asing dibawa masuk dengan anak-anak kita dididik secara demikian.

“Akan wujud pelbagai masalah seperti jenayah selain kos yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail berkata, peranan wanita diiktiraf PR dengan pelbagai tawaran diberikan jika berjaya mengambilaih pentadbiran di Putrajaya.

“Penglibatan lebih ramai golongan wanita akan terlaksana dalam lapangan pekerjaan di negara ini,” ujarnya.

Wanita PR mengharapkan rakyat terutama wanita akan menggunakan peluang dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 ini bagi memilih parti yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.