Categories
SELANGOR

Program Zon Bersih MDKL Atasi Masalah Denggi

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

BANTING 17 JUN : Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bertekad meneruskan kecemerlangan yang dicapai dalam program zon bersih sejak ia dimulakan Kerajaan Negeri empat tahun lalu.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu muncul juara bagi kategori majlis daerah pada 2010 dan 2011 manakala naib juara kategori sama pada tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Morib, Hasnul Baharuddin berkata, pujian harus diberi kepada MDKL kerana bersungguh-sungguh menjayakan program tersebut dengan pelbagai perancangan dan usaha dijalankan di dalam daerah berkenaan.

Menurutnya, banyak perubahan dapat disaksikan dilakukan MDKL sejak 2010 dan dengan itu banyak kejayaan dicapai menerusi program tersebut pada setiap tahun.

“Kawasan terlibat seperti di Kampung Jenjarom kita sudah dapat saksikan perubahan dari segi kemudahan dan penyelenggaraan lebih baik.

“Taman Seri Putera jika dulu kawasan ini juara wabak demam denggi dengan berlaku 200 hingga 300 kes sepanjang tahun tetapi setakat ini tidak sampai 10 kes dilaporkan berlaku tahun ini.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

“Saya merakamkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada semua agensi, persatuan dan pihak terlibat terutama MDKL yang bertungkus lumus menjayakan program ini,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Program Zon Bersih MDKL di Taman Banting Baru di sini.

Turut hadir, Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Mohd Saleh Santhiman.

Hasnul berkata, program zon bersih dirancang Kerajaan Negeri dengan tujuan menjadikan Selangor sebagai negeri yang terbersih supaya dicontohi negeri lain.

Tegasnya, dengan PBT di Selangor terdiri majlis bandaraya, majlis perbandaran termasuk majlis daerah mempunyai pengurusan yang baik maka program dijalankan akan beroleh kecemerlangan.

“MDKL sendiri adalah antara contoh majlis daerah yang terbaik di Selangor serta negara,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.