Categories
NASIONAL

PAS Gesa Kerajaan Persekutuan Umum Harga Siling Ayam Jumaat Ini

ayam mentah pasar stok 03

KUALA LUMPUR, 17 JUL : Kerajaan Persekutuan diggesa mempercepatkan pengumuman harga siling ayam kepada Jumaat ini dan bukan pada 1 Ogos, bagi mengelakkan pengguna terbeban dengan harga yang tinggi dan tidak menentu di pasaran.

MP Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata Kerajaan Persekutuan seharusnya menetapkan harga siling ayam seawal bulan Ramadhan memandangkan permintaan orang ramai terhadap daging itu kekal tinggi saban tahun.

Malah katanya, harga siling yang ditetapkan nanti perlu mengambil kira kepentingan pengguna dengan memastikan supaya ia tidak melebihi RM 6.80 sekilogram seperti yang ditetapkan tahun lalu.

“Menteri kata Kerajaan hanya akan umumkan harga siling ayam pada awal Ogos ini di mana bagi saya tempoh itu adalah terlalu lama untuk dinantikan oleh pengguna.

“Saya cukup kecewa dengan pihak kerajaan yang begitu lemah untuk menangani kenaikan harga barang setiap kali musim perayaan dan mereka gagal belajar daripada pengalaman lalu.

“Saya minta supaya harga siling pada tahun ini tidak boleh lebih daripada tahun lalu kerana saya tidak nampak masalah sebenar yang menyumbang kepada kenaikan harga ayam ini,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, pagi tadi.

Tegasnya, Kerajaan Persekutuan juga perlu mengenalpasti samada kenaikkan harga berpunca daripada pembekal, peruncit atau orang tengah yang memanipulasi pasaran ayam.

Sebagai langkah awal katanya, pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) perlu diberi tanggungjawab untuk membekalkan ayam kepada peruncit supaya harga ayam dapat dikawal.

“Kerajaan jangan main isu apabila harga barang naik, pengguna disarankan supaya jangan makan ayam sedangkan kita menghadapi kenaikan harga barang secara mendadak setiap tahun.

“Kalau sampai kepada keadaan mendesak, Fama mesti bertindak untuk menjadi pembekal kepada peruncit,” katanya lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek sebelum ini berkata, pihaknya hanya akan melaksanakan harga siling ayam di pasaran pada awal Ogos iaitu penghujung Ramadan.

Hassan juga juga pernah menyeru orang ramai ?menukar? selera daripada memakan ayam kepada daging lain seperti ikan dan lembu sebagai usaha mengekang kenaikan harga ternakan itu.

Hassan berkata langkah itu perlu memandangkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dengan menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.

Harga ayam sebelum ini di sekitar RM 6.50 hingga RM 7.00 satu kilogram naik mendadak sejak bermula bulan puasa kepada lebih RM 7.50 iaitu RM 8.00 hingga RM 9.00.

Leave a Reply

Your email address will not be published.