Categories
AGENDA NASIONAL

54 tahun penubuhan, FAMA melangkah ke era pemasaran digital

SELAYANG, 25 OKT: Selaras dengan kemajuan pesat teknologi komunikasi, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga tidak ketinggalan dengan memperkenalkan sistem pemasaran secara digital.

Pengerusi FAMA, Ishak Ismail berkata, pemasaran digital itu membabitkan semua peringkat iaitu pengeluaran, pemborong dan peruncit.

“Sempena 54 tahun FAMA ditubuhkan kita merencanakan tiga agenda penting untuk mengangkat martabat dan peranan FAMA ke satu tahap lebih tinggi.

“Antaranya, ingin saya maklumkan bahawa FAMA akan menggunakan sistem pemasaran secara digital di semua peringkat yang diusahakan melalui Agro Bazar Online melalui portal, ‘Tani Exspress’ dan ‘Tani Crowd Funding’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri Pelancaran Program ‘My Best Buy’ dan Jualan Terus Dari Ladang Bulan Oktober Sempena Ulang Tahun FAMA Ke-54 di Bangunan FAMA Point di sini, hari ini.

Ishak Ismail menyerahkan barangan sumbangan FAMA pada program Jom Kongsi Rezeki berlangsung dalam program jualan terus dari ladang bulan Oktober 2019 sempena sambutan ulang tahun FAMA ke-54 di hadapan bangunan FAMA, Bandar Baru Selayang pada 25 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Ishak berkata, FAMA turut mengambil langkah menggalakkan pihak ketiga atau orang tengah untuk mendaftar dengan FAMA.

Katanya, langkah itu diambil bagi memboleh FAMA melatih golongan ini supaya lebih beretika dan profesional ketika berurusan dengan petani serta juga peruncit.

“Kalau kita wujudkan data orang tengah ini, kita boleh tahu siapa mereka, di mana mereka bergerak, kenal pasti komoditi dagangan mereka dan kita juga boleh bantu kaedah membawa barangan hasil ladang dengan lebih efektif berdasarkan pengalaman yang FAMA ada.

“Peranan orang tengah perlu diberikan pengiktirafan, dikawal etika dan tahap profesionalisme mereka kerana sekiranya mereka menjadi agen penghantar yang profesional saya yakin mereka dapat berikan sumbangan positif,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

FAMA agensi kerajaan pertama sertai PFBM

PUTRAJAYA, 19 JUL: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjadi agensi kerajaan pertama yang menyokong Program Food Bank Malaysia (PFBM) dengan pelancaran Food Bank Malaysia @ Pasar Tani di pasar tani Putra hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika melancarkan program berkenaan berkata, sasaran PFBM di pasar tani adalah barangan jualan tidak habis dijual.

“Lazimnya peniaga pasar tani mempunyai lebihan lima hingga 10 peratus barangan cepat rosak yang masih elok iaitu tomato, lobak merah, petola, sawi, terung, pisang dan labu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di sini.

Jelasnya, barangan yang disumbangkan peniaga pasar tani akan melalui satu lagi tapisan di pusat pengumpulan bagi menjamin kualiti sebelum diedarkan kepada kumpulan sasar.

Tambah Saifuddin Nasution, sambutan orang ramai kepada PFBM adalah di luar jangkaan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini dalam proses melakukan perolehan untuk memiliki trak sendiri dengan kemudahan sejuk beku bagi memastikan kesegaran makanan yang disumbangkan.

Pada majlis hari ini juga, sebanyak 500kg sumbangan makanan yang berjaya dikumpul dari Pasar Tani Kekal Selayang dan My Farm Outlet Putrajaya diagihkan kepada dua rakan strategik utama PFBM iaitu Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen.

Menurut kenyataan KPDNHEP yang diedarkan pada majlis itu, sebagai permulaan, PFBM diwujudkan di pasar tani terpilih di Selangor dan Wilayah Persekutan sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

PFBM diterajui KPDNHEP menyasarkan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) termasuk pelajar universiti awam.

Menerusi program itu, lebihan makanan diperoleh terutama daripada pasar raya besar seperti roti, sayur dan buah-buahan diagih kepada mereka yang memerlukan. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor ‘role model’ industri asas tani

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 APR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yakin Selangor menjadi ‘role model’ kepada negeri lain menerusi pelan pembangunan industri asas tani (IAT) yang dirangka Kerajaan Negeri.

Pengerusinya, Sr Ishak Ismail berkata, kriteria agropreneur mengikut tier yang diperkenal turut menjadi agenda Kementerian dalam memastikan sistem itu menjadi asas industri lebih sistematik dan strategik.

Katanya, pendekatan ‘product screening’ dan bimbingan menerusi prosedur operasi standard (SOP) mampu meningkatkan tahap serta kualiti produk sehingga melepasi tahap peringkat antarabangsa.

“Selangor sentiasa ke hadapan, justeru saya yakin dan percaya Selangor boleh menjadi contoh kepada negeri lain dan dikenali di seluruh negara menerusi industri ini,” katanya pada Seminar Galakan Pasaran Tempatan dan Antarabangsa Agropreneur Selangor 2019, di Wisma PKPS, di sini.

Ishak berkata, sepanjang Mei 2016 hingga kini, FAMA Selangor mengenalpasti 475 agropreneur dengan bilangan Unit Penyimpanan Stok (SKU) sebanyak 850.

Katanya, melalui jumlah itu, seramai 57 agropreneur dengan bilangan 279 SKU memasuki pasaran antarabangsa Singapura dengan nilai jualan RM1.6 juta.

“Tahun ini, Kerajaan Negeri menjangkakan nilai jualan sekitar RM1 juta dengan penyertaan 40 agropreneur dan lebih 100 SKU sepanjang tempoh empat hari berlangsung.

“Kita juga sudah membantu penyertaan 18 agropreneur dengan 72 SKU di Malaysia Fest, Singapura pada Ogos lalu dan mencatatkan nilai jualan RM450,000, manakala kos perbelanjaan pula sebanyak RM152,000.

“Ia bermaksud setiap RM1 nilai dibelanjakan memberi pulangan kepada ekonomi sebanyak RM3,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, menerusi program Selangor Agro Market (SAM) 2019, sebanyak 131 lokasi yang berkonsep jualan terus dari ladang dan jualan terus dari kilang ditetapkan.

“Disebabkan sambutan yang amat menggalakan, sebanyak 87 lokasi tambahan dikenalpasti sekali gus, menjadikan jangkaan lokasi SAM sebanyak 218 lokasi sehingga hujung tahun ini.

“Baru-baru ini, SAM di Mardi Jalan Kebun pada Sabtu dan Ahad lalu mencatatkan nilai jualan RM 155,000 termasui barangan segar dan produk IAT,” katanya.

Categories
NASIONAL

PAS Gesa Kerajaan Persekutuan Umum Harga Siling Ayam Jumaat Ini

ayam mentah pasar stok 03

KUALA LUMPUR, 17 JUL : Kerajaan Persekutuan diggesa mempercepatkan pengumuman harga siling ayam kepada Jumaat ini dan bukan pada 1 Ogos, bagi mengelakkan pengguna terbeban dengan harga yang tinggi dan tidak menentu di pasaran.

MP Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata Kerajaan Persekutuan seharusnya menetapkan harga siling ayam seawal bulan Ramadhan memandangkan permintaan orang ramai terhadap daging itu kekal tinggi saban tahun.

Malah katanya, harga siling yang ditetapkan nanti perlu mengambil kira kepentingan pengguna dengan memastikan supaya ia tidak melebihi RM 6.80 sekilogram seperti yang ditetapkan tahun lalu.

“Menteri kata Kerajaan hanya akan umumkan harga siling ayam pada awal Ogos ini di mana bagi saya tempoh itu adalah terlalu lama untuk dinantikan oleh pengguna.

“Saya cukup kecewa dengan pihak kerajaan yang begitu lemah untuk menangani kenaikan harga barang setiap kali musim perayaan dan mereka gagal belajar daripada pengalaman lalu.

“Saya minta supaya harga siling pada tahun ini tidak boleh lebih daripada tahun lalu kerana saya tidak nampak masalah sebenar yang menyumbang kepada kenaikan harga ayam ini,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, pagi tadi.

Tegasnya, Kerajaan Persekutuan juga perlu mengenalpasti samada kenaikkan harga berpunca daripada pembekal, peruncit atau orang tengah yang memanipulasi pasaran ayam.

Sebagai langkah awal katanya, pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) perlu diberi tanggungjawab untuk membekalkan ayam kepada peruncit supaya harga ayam dapat dikawal.

“Kerajaan jangan main isu apabila harga barang naik, pengguna disarankan supaya jangan makan ayam sedangkan kita menghadapi kenaikan harga barang secara mendadak setiap tahun.

“Kalau sampai kepada keadaan mendesak, Fama mesti bertindak untuk menjadi pembekal kepada peruncit,” katanya lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek sebelum ini berkata, pihaknya hanya akan melaksanakan harga siling ayam di pasaran pada awal Ogos iaitu penghujung Ramadan.

Hassan juga juga pernah menyeru orang ramai ?menukar? selera daripada memakan ayam kepada daging lain seperti ikan dan lembu sebagai usaha mengekang kenaikan harga ternakan itu.

Hassan berkata langkah itu perlu memandangkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dengan menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.

Harga ayam sebelum ini di sekitar RM 6.50 hingga RM 7.00 satu kilogram naik mendadak sejak bermula bulan puasa kepada lebih RM 7.50 iaitu RM 8.00 hingga RM 9.00.