Categories
NASIONAL

Pengecualian Cukai Eksais : Rakyat Asing Dahulukan, Rakyat Sendiri Ditekan

lau weng san pc 05 jul 01

SHAH ALAM 5 JULAI : Kerajaan Persekutuan Umno-BN didakwa mengambil sikap diskriminasi terhadap rakyat tempatan apabila memberi pengecualian cukai eksais dan cukai jualan kenderaan kepada warga asing.

Menurut Adun Kampung Tunku, Lau Weng San pengecualian itu diberikan kepada warga luar yang menyertai program ‘Malaysia My Second Home’ (Malaysia Rumahku Kedua atau MM2H).

Weng San berkata wa berdasarkan laman web MM2H, peserta program itu dibenarkan untuk membeli sebuah kenderaan pemasangan tempatan (Complete Knock Down-CKD) tanpa perlu membayar cukai-cukai terbabit.

“Dalam Pakatan Rakyat kita menuntut Umno-BN supaya mengurangkan harga kereta dan menghapuskan cukai eksais, namun tidak diberi perhatian.

Selepas Pilihanraya Umum ke 13, Umno-BN memaklumkan harga kereta akan turun secara berperingkat tetapi mereka menegaskan tidak akan menghapuskan cukai eksais kerana ia menyumbang cukai sebanyak RM7 bilion.

“Mengapakah Kerajaan Pusat sanggup memberi pengecualian cukai eksais dan cukai jualan kepada warga luar negara yang mengambil bahagian dalam MM2H sedangkan rakyat sendiri tidak dibenarkan menikmati pengecualian ini?

“Adakah bermakna cukai rakyat yang disumbangkan kepada Kerajaan Pusat masih tidak cukup untuk rakyat terima layanan itu? soalnya dalam sidang media, di Bangunan Annexe, Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Weng San menambah percanggahan itu menunjukkan ketidakseimbangan dan kepincangan dasar-dasar Kerajaan Pusat yang diterajui oleh Umno-BN.

“Seharusnya rakyat Malaysia harus didahulukan dalam mana-mana dasar kerajaan. Apa yang kita perhatikan, ia berlaku sebaliknya.

Saya sangat berharap rakyat dapat membeli kereta berkualiti tinggi dengan harga yang lebih rendah melalui pengurangan cukai-cukai itu bagi mengurangkan beban mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.