Categories
NASIONAL SELANGOR

Pinjaman Berisiko Rendah Pada KDEB Supaya GLC Itu Boleh Untung

KDEB 01

SHAH ALAM 5 JULAI : Pinjaman yang disalurkan Kerajaan Selangor kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) adalah supaya anak syarikat itu dapat mengambilalih dan membeli pegangan saham dalam Kumpulan Hartanah Sdn Bhd (KHSB).

Pembelian itu kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh mendatangkan keuntungan tinggi kepada KDEB, yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kerana aset hartanah KHSB dianggarkan bernilai kira-kira RM 6 bilion.

Sekiranya KDEB mendapat perolehan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada aset itu, ia boleh menjana pendapatan sebanyak RM 1.2 bilion.

Abdul Khalid menjelaskan pinjaman sementara dengan kadar faedah empat peratus itu perlu dibayar balik dalam tempoh kurang setahun.

Pinjaman RM 413 juta itu merupakan sebahagian daripada RM 761.44 juta perbelanjaan pembekalan tambahan yang dipohon oleh Kerajaan Negeri di dalam satu enakmen di Dewan Negeri Selangor semalam.

“Kita hanya meminjamkan kepada KDEB secara sementara supaya ia dapat gunakan dana itu dan memulakan proses mengambilalih saham dalam KHSB 100 peratus.

“Usaha itu dilakukan kerana KDEB berpendapat aset dalam KHSB tidak diuruskan dengan baik,” katanya ketika membahaskan enakmen perbelanjaan tambahan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Tambah Abdul Khalid lagi, pinjaman sementara dari Kerajaan Negeri itu bukan risiko kerana KDEB akan memiliki pegangan sepenuhnya dengan perolehan melebihi RM 413 juta.

“Dalam tempoh tujuh ke lapan bulan Kerajaan Negeri akan dapat balik wang itu dari KDEB,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.