Categories
NASIONAL SELANGOR

Sampai bila perjanjian TPPA terus dirahsiakan – Tian

tppa

SHAH ALAM 22 OGOS : Tindakan kerajaan BN yang masih berdiam diri berhubung isu menandatangani Perjanjian Perkongsian Tran-Pasifik (TPPA) menimbulkan kegelisahan rakyat berhubung masa depan mereka khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab sekiranya kerajaan meneruskan hasrat untuk menandatangani perjanjian TPPA itu yang disifatkan satu perjanjian ‘rahsia’ yang tidak diketahui umum untuk diperdebatkan.” kata Naib Presiden PKR, Tian Chua yang dihubungi TVSelangor.

Katanya, golongan petani di negara ini bakal berhadapan kehilangan sumber pendapatan sekiranya kerajaan meneruskan hasrat untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dalam tempoh terdekat.

“Produk-produk pertanian yang dihasilkan dalam skala besar di Amerika Syarikat akan membanjiri pasaran negara seterusnya mengancam produk pertanian tempatan.

“Pembukaan pasaran bebas ini akan menyebabkan produk-produk pertanian tempatan tidak dapat bersaing lagi.

“Dan para petani akan mengalami kesulitan apabila tidak dapat menghasilkan produk dengan kos yang murah dalam jumlah besar yang akan memberikan kesan buruk kepada kehidupan petani,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Batu.

Menurut beliau, industri kecil dan sederhana (SME) juga bakal mengalami nasib yang tidak menentu kesan perjanjian TPPA ini apabila tidak dapat bersaing dengan syarikat gergasi antarabangsa Amerika Syarikat apabila tidak lagi diberi perlindungan dan bantuan subsidi kerajaan.

“Mengikut perjanjiaan TPPA itu maka negara tidak boleh untuk bertindak mendiskriminasikan antara syarikat asing dan syarikat tempatan.

“Jadi apa yang syarikat tempatan perolehi maka ia turut sama diperolehi oleh syarikat asing itu khususnya dalam pemberian tender yang juga perlu dibuka kepada syarikat asing,” kata beliau.

Kata Tian Chua, rakyat negara ini juga terpaksa membayar harga yang lebih mahal selepas ini untuk mendapatkan ubat-ubatan yang berjenama yang dikuasai syarikat besar di dunia ini.

“Akibatnya kos kesihatan akan meningkat dan ramai daripada masyarakat yang berpendapatan rendah akan dibebankan dengan kos yang tinggi dan ini akan mengancam kesihatan mereka.

“Semua ini diakui oleh para perunding tetapi Kerajaan Malaysia tidak peka dengan ancaman ini dan tidak mengambil langkah yang tegas untuk mempertahankan kepentingan negara.

“Seolah-olah mereka percaya dengan segala-galanya prospek perjanjian TPPA itu,” kata beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published.