Categories
NASIONAL SELANGOR

Halimah – Bantuan galakan untuk Megat Imran dan Megat Zaid

DSC_0189aBANDAR PUNCAK ALAM 2 SEPT : Kecemerlangan dua beradik, Megat Imran dan Megat Zaid Megat Mohd Khushairi dalam permainan catur hingga terpilih mewakili Malaysia dalam 9th Asian Schools Chess Championship di Sri Lanka, mendapat penghargaan Kerajaan Negeri.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali menyerahkan sumbangan bernilai RM7,000 kepada Megat Imran, 7, yang bertanding dalam kategori umur di bawah tujuh tahun dan adiknya, Megat Zaid, 5, yang bertanding dalam kategori umur bawah lima tahun.

Kejohanan bermula 30 Ogos hingga 6 September.

“Saya bagi pihak Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) dan Exco Kerajaan Negeri mengucapkan syabas dan tahniah kepada anak-anak kita ini dan doakan mereka berjaya di dalam pertandingan catur yang akan disertai,” kata Halimah kepada TVSelangor selepas majlis penyampaian sumbangan RM7,000 kepada adik Megat Imran dan Megat Zaid di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Edu-Kids Al-Amin.

Paling membanggakan, Megat Zaid adalah wakil tunggal negara dalam kategori itu manakala abangnya bersama dua peserta lain dalam kategori disertai di samping beberapa peserta lain dalam kategori masing-masing ke kejohanan berkenaan.DSC_0224a

Halimah berharap kejayaan mereka akan menjadi inspirasi kepada anak muda lain di negeri ini untuk berusaha gigih mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing khususnya bidang baru seperti catur yang mampu mencabar minda seseorang itu.

“Semoga mereka ini boleh mencetuskan satu keterujaan baru di kalangan anak-anak muda di Selangor. Permainan catur ini adalah satu cara yang baik untuk mengasah minda mereka dan kita mengharapkan mereka akan membantu melakarkan sejarah di Selangor hingga kita boleh melahirkan ilmuan-ilmuan yang berkaliber pada masa depan,” katanya.

Pasti Edu-Kids Al-Amin berdaftar di bawah Majlis Permuafakatan Tadika Selangor dan termasuk dalam skim bantuan Tunas.

Turut hadir, ibu bapa Megat Imran dan Megat Zaid, Megat Mohd Khusairi Megat Aris dan Norashikin Arif serta Pengetua Pasti Edu-Kids Al-Amin, Norbaiti Pijar.

Megat Mohd Khushairi, 32, berkata, sumbangan Kerajaan Negeri amat bermakna bagi keluarga itu dan banyak membantu persiapan kedua anaknya.

Beliau menambah, kedua anaknya serius di dalam permainan catur sejak akhir tahun lalu dan aktif menyertai pelbagai kejohanan tempatan sejak awal tahun ini.

“Sejak Januari tahun ini mereka menunjukkan permainan yang baik dengan peningkatan membanggakan. Mereka berjaya meraih kejayaan dalam beberapa kejohanan disertai dan pernah bergelar Pemain Terbaik (Megat Imran) dan Pemain Muda Terbaik (Megat Zaid).

“Dalam kejohanan yang akan disertai di Sri Lanka ini, saya harap mereka mampu bermain cemerlang dan setidak-tidaknya mereka berjaya membawa pulang medal,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.