Categories
NASIONAL

Pelajar mangsa kegagalan pertingkat sokongan pembelajaran BI

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Mohd Azmi Abdul Hamid

SHAH ALAM 7 SEPT : Pelajar Melayu dan luar bandar berisiko menjadi mangsa ketinggalan dalam arus pembangunan jika Kerajaan Pusat meneruskan dasar wajib lulus Bahasa Inggeris tanpa sistem sokongan pembelajaran yang berkesan.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata golongan itu tidak mempunyai sistem sokongan yang kuat kerana latar belakang keluarga yang tidak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai pertuturan seharian.

Kesannya, kata Azmi, pelajar yang lemah berbahasa Inggeris tidak memperolehi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti, lantas menjejaskan masa depan mereka.

“Jika ia diwajibkan maka ada pelajar yang sebahagiannya akan terpinggir kerana tidak memperolehi sijil SPM mereka,” kata beliau.

Azmi berkata Kerajaan Pusat perlu memastikan sistem sokongan dan prasarana dibina terlebih dahulu terutamanya dengan menyediakan jumlah guru Bahasa Inggeris terlatih yang secukupnya.

“Negara juga masih kekurangan guru Bahasa Inggeris dan pembahagian gurunya masih tidak mencukupi,” kata beliau.

Mengulas lebih lanjut, Azmi berpendapat Bahasa Inggeris sewajarnya dijadikan pelengkap dan bukan syarat penentu memperoleh sijil SPM.

Beliau melahirkan kebimbangan kurangnya perhatian keatas usaha mempertingkat bahasa Melayu ketika Bahasa Inggeris diberi penekanan akan memberi mesej yang salah kepada masyarakat umum.

“Ia akan menghadkan peluang pelajar dari segi penguasaan Bahasa Melayu dan menjadikan pembelajaran mereka yang membebankan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.