Categories
SELANGOR

BN jadi kambing hitam salur dana tutup salah SYABAS

charles syabasSHAH ALAM 23 OKT : Pinjaman kewangan yang dibuat antara Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dengan Kementerian Kewangan bagi pengurangan kadar air tidak berhasil (NRW) dan penggantian paip baru akan menambah lagi beban rakyat dan kerajaan negeri.

SYABAS menandatangani dua perjanjian kemudahan pinjaman dan perjanjian sampingan dengan Kementerian Kewangan bagi pinjaman masing-masing berjumlah RM75 juta dan RM76 juta, semalam.

Pinjaman itu bagi membiayai kerja pengurangan bekalan air yang membabitkan penggantian paip lama dan kritikal di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan pembiayaian fasa kedua membabitkan pengurangan NRW sebagai satu daripada projek untuk mengurangkan masalah kekurangan air di kawasan terbabit.

Tempoh pinjaman itu selama 20 tahun bermula dari tarikh pengeluaran pertama, manakala tempoh ehsan pinjaman itu tiga tahun yang akan bermula dari tarikh sama.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata hal itu kerana kerajaan negeri dalam usaha untuk mengambil alih penstrukturan industri air selangor dan akan membebankan jika pengambilalihan itu berjaya.

Charles berkata, kerajaan pusat tidak perlu memberikan pinjaman kepada SYABAS, selain bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk pengambilalihan syarikat konsesi itu.

“Saya terkejut bagaimana SYABAS boleh mendapat peruntukan begitu besar kerana kerja membaiki paip, penggantian paip atau pengurangan NRW perlu dibiayai sendiri mereka bukan wang kerajaan.

“Tetapi dalam kes ini, SYABAS diberi satu kelebihan dan ini menunjukkan penswastaan itu gagal. Kita perlu tahu prinsip penswastaan ialah mendapatkan wang sendiri dan SYABAS juga gagal mengurus air dengan baik di Selangor. Jadi lebih baik, syarikat itu diambil alih kerajaan negeri kerana mempunyai kewangan yang baik dan berkelayakan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, mendakwa peruntukan tambahan sebanyak RM120 juta kepada SYABS yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadikan jumlah dana untuk menyelamatkan syarikat berkenaan meningkat menjadi RM3.41 bilion dalam tempoh empat tahun.

Charles yang juga Penyelaras Badan Membantah Penswastaan Air (CAWP) mencadangkan supaya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta Syabas dan kerajaan pusat menjelaskan dengan terperinci berhubung perjanjian itu.

“Ini akan menjadi masalah kerana siapa yang akan menanggung liabiliti itu. Kerajaan Negeri juga perlu tahu kandungan perjanjian itu dan rancangan SYABAS yang dicadangkan dengan lebih terperinci sama ada akan dilaksanakan sebaiknya atau tetap gagal lagi,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.