Categories
SELANGOR

Belanjawan 2014: MBSA lulus peruntukan tubuh polis bantuan

Belanjawan MBSA Edit

SHAH ALAM 2 OKT : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menubuhkan pasukan polis bantuan menerusi peruntukan dari Belanjawan 2014 berjumlah RM350.6 juta yang diluluskan dalam Mesyuarat Pembentangan Belanjawan 2014 MBSA hari ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, pasukan itu akan diwujudkan selepas mendapat kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita akan memohon melalui Kerajaan Negeri kepada Ketua Polis Negara untuk menubuhkan pasukan polis bantuan dengan 100 anggota.

“Harapan kita semoga akan dapat kelulusan polis bantuan ini dan jawatan yang akan diisi 25 anggota manakala 75 anggota lagi akan diserap daripada anggota penguatkuasa yang ada sekarang,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat.

Mohd Jaafar berkata, mengikut pecahannya ialah 30 peratus daripada tugas polis bantuan itu adalah bagi membantu anggota polis untuk menguruskan soal lalu lintas dan jalan raya manakala 30 peratus lagi untuk menjaga segala aset pihak berkuasa negeri dan MBSA sendiri.

Baki 40 peratus pula, katanya, bertujuan menjalankan rondaan bersama anggota polis di kawasan ‘hot spot’ bagi pencegahan jenayah dengan tumpuan seperti kawasan perniagaan, perumahan, dewan orang ramai dan sebagainya.

“Apabila mendapat kelulusan, MBSA akan mengiklankannya supaya 25 jawatan ini dapat diisi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.