LAPORAN KHAS: Belanjawan Selangor 2014

SINOPSIS :

Belanjawan kali ke enam sejak Pakatan Rakyat mentadbir Selangor menjadi dokumen berprestij tinggi demi memacu pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan belanja berhemah demi kepentingan rakyat secara keseluruhan seterusnya kekal sebagai penanda aras untuk dicontohi negeri-negeri lain.

Categories
SELANGOR

MB : Belanjawan 2014 Selangor paling menyeluruh, mantap

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 13 NOV: Belanjawan 2014 Selangor yang akan dibentangkan pada 19 November ini merupakan belanjawan paling menyeluruh dan mantap pernah dibentangkan.

MB SUK greyMenteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata demikian berdasarkan pengalaman beliau selama lima tahun dimiliki ketika menerajui pentadbiran kerajaan dan pengalaman sebagai tokoh korporat.

“Belanjawan 2014 kali ini lebih menyeluruh sebab kita sudah melalui lima tahun pengalaman dan bila kita bentangkan sudah ada pengalaman tentang usaha perlaksanaan untuk jadikan belanjawan kali ini lebih mantap,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Jelas Abdul Khalid, Kerajaan Negeri akan terus memberi keutamaan terhadap kepentingan ekonomi, pembangunan dan rakyat Selangor sekaligus mengekalkan Selangor sebagai penyumbang utama ekonomi negara.

Ketika menjawab soalan wartawan, Abdul Khalid menganggap spekulasi liar yang mendakwa Kerajaan Negeri akan mengurangkan peruntukan pembangunan dalam Belanjawan 2014 Negeri Selangor sebagai satu berita baik.

Abdul Khalid berkata, spekulasi itu menandakan sehingga kini tiada sebarang kebocoran maklumat daripada dokumen belanjawan sebelum ianya dibentangkan pada 19 November ini.

“Bagus juga dakwaan tersebut, maknanya belanjawan negeri masih lagi rahsia, orang tak tahu. Ini bagus, satu berita baik sebab kalau orang dah tahu maknanya belanjawan sudah bocor

“Sudah jadi tradisi belanjawan, ia diembargo sehingga pada hari dibentangkan, kalau berlaku kebocoran bermakna kita tidak pandai menjaga maklumat tersebut,” kata Abdul Khalid lagi.

Belanjawan Negeri Selangor akan dibentangkan Abdul Khalid pada 19 November ini merupakan belanjawan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) kali keenam yang dibentangkan beliau.

-EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan PR 2014 :”Mempertahankan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang”- FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 25102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pakatan Rakyat secara rasminya mengumumkan Belanjawan 2014 bertemakan “Mempertahankan Kepentingan Rakyat Dalam Mengharungi Gelombang” dengan menekankan empat teras utama, di Parlimen, semalam.

2. Kerajaan Selangor mengucapkan takziah kepada keluarga pegawai bank, Norazita Abu Talib,37 tahun, yang maut selepas ditembak oleh pengawal keselamatan premis itu untuk melarikan sejumlah wang, di USJ Sentral, 23 Oktober, baru-baru ini.

3. Penggunaan MyKad menggantikan amalan menggunakan sistem wang tunai terus ke dalam akaun bagi penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat memudahkan dan mempercepatkan urusan penyaluran bantuan dengan berkesan.

Categories
NASIONAL

Anwar : Protes seluruh negara jika Pusat laksana GST

Anwar-GSTSHAH ALAM 6 OKT : Protes seluruh negara akan diadakan jika Kerajaan Pusat melaksanakan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada Belanjawan 2014 yang diumumkan pada 25 Oktober ini Dewan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Pakatan Rakyat (PR) menentang keras sebarang usaha kerajaan Umno-BN itu untuk pelaksanaan GST yang hanya akan membeban rakyat.

“Kerajaan telah meningkatkan harga petrol, GST akan menambahkan jumlah bebanan kepada rakyat,” kata Anwar dipetik dari The Star Online.

Sebelum ini, pemimpin Pakatan Rakyat menegaskan Kerajaan Pusat berpotensi untuk menjimatkan RM28 bilion sekiranya berjaya menangani ketirisan, ketidakcekapan pengurusan dan rasuah bersandarkan Laporan Ketua Audit Negara.

Kerajaan Pusat tidak perlu melaksanakan GST yang membebankan rakyat jika berupaya mengurangkan ketirisan perbelanjaan wang negara dan membanteras rasuah.

Kira-kira 85 peratus daripada rakyat negara ini tidak memperolehi pendapatan yang layak bagi membolehkan  mereka membayar cukai.

 

Categories
SELANGOR

MBSA perkasakan jabatan untuk kesejahteraan warga Shah Alam

Datuk Mohd Jaafar Mohd AtanSHAH ALAM 2 OKT : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memperkasakan fungsi beberapa jabatannya bagi memberi perkhidmatan lebih berkualiti ke arah kesejahteraan warga bandar raya Shah Alam.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, ia adalah dasar Belanjawan 2014 MBSA yang mempunyai enam teras iaitu kehidupan sejahtera dan kondusif, perkhidmatan terbaik, peka terhadap aduan masyarakat, masyarakat dan ‘stakeholders’ sebagai pelanggan, sistem penyampaian yang cekap dan rondaan keselamatan.

Beliau berkata, untuk Belanjawan 2014 MBSA mensasarkan pulangan hasil melebihi RM350.6 juta menerusi hasil cukai dan bukan cukai bagi meneruskan pembangunan di kawasan selaiannya.

“Belanjawan kita pada 2014 adalah belanjawan berimbang dan dijangka kita akan mendapat hasil kira-kira RM350,640,430 maka kita akan berbelanja sebanyak yang kita dapat.

“Kita menyahut hasrat Kerajaan Negeri supaya belanjawan ini diberikan balik kepada pembangunan insan dan masyarakat bagi warga MBSA serta pembayar cukai dan pelabur. Antara tindakan adalah kita akan memperkasakan beberapa jabatan di MBSA,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat Pembentangan Belanjawan 2014 MBSA di sini hari ini.

Mohd Jaafar berkata, jabatan terbabit adalah Jabatan Perkhidmatan Bandar, Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Khidmat Pengurusan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Taman dan Rekreasi dan Jabatan Hasil dan Pelaburan dengan penubuhan beberapa unit baru.

Beliau berkata, antara unit ditubuhkan ialah Unit Polis Bantuan di bawah Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan, Unit Pengurusan Dewan-Dewan Serbaguna (Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti), Unit Integriti (Jabatan Khidmat Pengurusan), Unit Penyelenggaraan (Jabatan Kejuruteraan), Unit Pangkasan Pokok (Jabatan Taman dan Rekreasi) dan Unit Pengurusan Tempat Letak Kereta (Jabatan Hasil dan Pelaburan).

“Salah yang paling penting untuk menjaga disiplin Ahli Majlis, pegawai dan kakitangan MBSA, kita akan tubuhkan satu Unit Integriti iaitu ketuanya akan dipinjamkan dari SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyemak supaya tidak ada salah laku. Kita akan tubuhkan bila diluluskan Kerajaan Negeri.

“Dalam belanjawan tadi untuk penubuhan Unit Polis Bantuan dengan 100 anggota, MBSA melalui Kerajaan Negeri akan memohon kepada Ketua Polis Negara dan kita berharap akan diluluskan,” katanya.

Mohd Jaafar berkata, MBSA akan membaiki dan menambahbaik beberapa dewan orang ramai di sekitar Shah Alam dengan kos RM3.5 juta.

Beliau berkata, projek laluan basikal juga diteruskan selain beberapa kemudahan seperti taman cergas dan taman awam.

“Kita juga akan menaik taraf dan mempertingkatkan sistem pengangkutan awam sedia ada iaitu di terminal bas di Seksyen 17 dan 19.

“Terminal bas di Seksyen 19 akan dibangunkan dengan kos RM4 juta manakala terminal bas di Seksyen 17 dengan kos RM7 juta yang mana kita akan memohon kos tambahan itu,” katanya.

Beliau berkata, MBSA juga merancang menubuhkan sebuah Dewan Banquet bertaraf antarabangsa di kawasan Seksyen 13 pada masa depan dengan anggaran kos RM27 juta.

Categories
SELANGOR

Belanjawan 2014: MBSA lulus peruntukan tubuh polis bantuan

Belanjawan MBSA Edit

SHAH ALAM 2 OKT : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menubuhkan pasukan polis bantuan menerusi peruntukan dari Belanjawan 2014 berjumlah RM350.6 juta yang diluluskan dalam Mesyuarat Pembentangan Belanjawan 2014 MBSA hari ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, pasukan itu akan diwujudkan selepas mendapat kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita akan memohon melalui Kerajaan Negeri kepada Ketua Polis Negara untuk menubuhkan pasukan polis bantuan dengan 100 anggota.

“Harapan kita semoga akan dapat kelulusan polis bantuan ini dan jawatan yang akan diisi 25 anggota manakala 75 anggota lagi akan diserap daripada anggota penguatkuasa yang ada sekarang,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat.

Mohd Jaafar berkata, mengikut pecahannya ialah 30 peratus daripada tugas polis bantuan itu adalah bagi membantu anggota polis untuk menguruskan soal lalu lintas dan jalan raya manakala 30 peratus lagi untuk menjaga segala aset pihak berkuasa negeri dan MBSA sendiri.

Baki 40 peratus pula, katanya, bertujuan menjalankan rondaan bersama anggota polis di kawasan ‘hot spot’ bagi pencegahan jenayah dengan tumpuan seperti kawasan perniagaan, perumahan, dewan orang ramai dan sebagainya.

“Apabila mendapat kelulusan, MBSA akan mengiklankannya supaya 25 jawatan ini dapat diisi,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dialog manifesto bersama MB Selangor dapat sambutan hangat

mb manifesto

KLANG 13 SEPT: Dialog Manifesto anjuran kerajaan Selangor bagi mendapatkan pandangan rakyat Selangor untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2014 mendapat sambutan hangat.

Ia berikutan kehadiran lebih 300 orang pelbagai kaum di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini, malam ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan kehadiran pimpinan lain, antaranya Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud; Adun Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan Timbalan Yang Dipertua MPK, Ehsan Mukri.

Dialog itu memberi peluang kepada rakyat untuk memberi cadangan secara terus tentang pelaksanaan manifesto 2013 untuk dimasukkan dalam belanjawan negeri.

Sepanjang pentadbiran Abdul Khalid, beliau mempraktik amalan mengambil kira pandangan masyarakat umum sebelum belanjawan tahunan negeri dirangka.

Amalan itu turut mengundang minat kerajaan Persekutuan untuk mengikut langkah sama.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan tubuh jawatankuasa kaji belanjawan 2014

MP

PETALING JAYA, 22 OGOS: Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan kajian sebelum satu belanjawan bayangan dibentangkan sebelum Belanjawan 2014 dibentangkan.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi mendapatkan satu formula terbaik untuk dimasukkan dalam belanjawan bayangan Pakatan Rakyat sekaligus mencabar Belanjawan 2014 yang dijangka akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 25 Oktober nanti.

Jawatankuasa yang dikordinasikan institut rakyat itu dibahagikan kepada sembilan kumpulan yang diketuai Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berdasarkan kementerian tertentu dan bidang kepakaran masing-masing.

Sembilan kumpulan tersebut, kajian isu nasional dan antarbangsa; ekonomi dan kewangan; keselamatan; pendidikan dan pekerjaan; pertanian, perladangan dan pembangunan luar bandar; pengangkutan dan pembangunan bandar; pengurusan sumber dan kelestarian; masyarakat, kebajikan dan gender serta polisi berkaitan Sabah dan Sarawak.

“Parti-parti dalam Pakatan Rakyat akan memberikan pandangan mereka dalam isu tertentu di kementerian tertentu,” kata Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming di sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat hari ini.

Penubuhan jawatankuasa kajian itu juga bagi memberi penekanan terhadap keberkesanan sesuatu projek kerajaan kepada rakyat terbanyak.

“Kita akan cuba jadikan bajet bukan sahaja efisyen habiskan bajet sahaja tetapi mesti efisyen mencapai objektif memberi manfaat secara maksima kepada rakyat.

“Kos yang begitu tinggi tidak mencapai matlamat sebenar tidak wajar diteruskan, juga dengan projek rundingan terus tanpa tender terbuka kerana banyak projek yang diberi secara terus mengalami kegagalan dan rakyat terpaksa menanggung kos dua, tiga kali ganda,” kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Kamarul Bahrin Shah dalam sidang media sama.

Selain Dr Kian Ming dan Kamarul Bahrin, Ahli Parlimen lain yang turut memainkan peranan masing-masing dalam jawatankuasa itu nanti, Dr Azman Ismail (Kuala Kedah), G. Manivanan (Kapar), Datuk Idris Jauzi (Batu Pahat), Julian Tan Kok Ping (Stampin, Sarawak) dan Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju). 12

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat lain juga akan turut menyumbang idea masing-masing bagi melahirkan satu belanjawan alternatif sekaligus mencabar Belanjawan 2014 Barisan Nasional.

Turut hadir dalam sidang media itu, pakar ekonomi Azrul Azwar Ahmad Tajudin yang mewakili Institut Rakyat.

Setiap tahun sebelum belanjawan tahunan diumumkan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan Pakatan Rakyat.

Pembentangan Belanjawan Pakatan Rakyat itu, turut menarik minat Najib yang juga Menteri Kewangan untuk menciplak samada idea dari Belanjawan Pakatan Rakyat, polisi yang diperkenalkan dalam manifesto Pakatan Rakyat mahupun Belanjawan Negeri Selangor.

Antaranya, penurunan harga kereta, skim pemeriksaan mamogram percuma, rumah mampu milik, skim tuisyen yang terlebih dahulu diperkenalkan Kerajaan Selangor dan lain-lain. -MZA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Forum perlaksanaan manifesto, kerajaan negeri kembali pada rakyat

MB PC Exco September 2012

SHAH ALAM, 20 OGOS : Kerajaan Selangor akan menganjurkan forum awam bagi mendapatkan pandangan rakyat untuk melaksanakan Manifesto Pakatan Rakyat yang dilancarkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata forum tersebut akan diadakan diperingkat pihak berkuasa tempatan dan menjangkakan ia akan berlangsung pertengahan September depan.

“Forum ini melibatkan wakil rakyat yang mana akan mengambil bahagian dalam perbincangan bersama orang awam. Orang awam akan diberi peluang menyuarakan pandangan bagi pelaksanaan manifesto ini,” beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mensyuarat Exco di bangunan SUK di sini hari ini.

Urusetia forum ini akan diketuai oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar.

Abdul Khalid menambah, segala maklum balas rakyat dalam forum itu akan dikumpulkan oleh setiap jawatankuasa tetap untuk digunakan dalam penyediaan Belanjawan 2014.

“Kerajaan Selangor yakin dan percaya bahawa pandangan rakyat amat penting dalam memastikan semua polisi dan perancangan yang digariskan dalam manifesto itu menepati golongan sasaran,”ujarnya.

Jelasnya, forum tersebut juga akan dijadikan platform bagi Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti kehendak rakyat untuk menggunakan hasil negeri bagi merapatkan jurang pendapatan dan mengurangkan kadar kemiskinan menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

“Pakatan Rakyat memandang serius tanggungjawab untuk menguruskan aset negeri dengan baik demi kepentingan rakyat,” jelasnya.

– HM

Categories
SELANGOR

Rezab Selangor Hampir Cecah RM3 Bilion

Jom-Shopping-Raya4

PELABUHAN KLANG, 4 OGOS: Laporan kewangan terkini dari Jabatan Perbendaharaan Kerajaan Negeri Selangor menunjukkan rezab Kerajaan Negeri Selangor terus meningkat dari RM2.7 bilion sebelum ini kepada hampir mencecah RM3 bilion.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, wang rezab itu kemudiannya akan diuruskan mengikut satu garis panduan yang akan diumumkan dalam Belanjawan 2014 pada bulan November akan datang.

“Dalam Belanjawan November nanti kita akan terangkan bagaimana kita mentadbirkan rezab negeri, bagaimana penggunaannya jika perlu.

“Hanya lima tahun lepas kita asyik sibuk memastikan simpanan kita terkumpul, baru kali ini kita dah ada simpanan terkumpul dan sekarang kita boleh buat beberapa program menggunakannya dengan lebih tertib dan lebih efisyen,” kata Abdul Khalid .

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jom Shopping Bantuan Raya di Pasaraya Besar Econsave, Pandamaran di sini.

Ujar, Abdul Khalid memberitahu pada ketika ini Kerajaan Negeri tidak menetapkan sasaran jumlah tertentu yang perlu ada dalam rezab Kerajaan Negeri.

Sebaliknya menurut beliau, jumlah rezab tersebut  bergantung kepada keadaan ekonomi semasa.

“Terpulang pada keadaan ekonomi negeri, kalau ekonomi meningkat, hasil negeri meningkat dan tentulah simpanan negeri dipertingkatkan.

“Ekonomi ini ada turun naik, kalau ekonomi turun kita boleh gunakan rezab ini untuk menolong Kerajaan Negeri dalam pentadbiran,” ujar Abdul Khalid lagi.