Categories
NASIONAL SELANGOR

Peningkatan denggi dipantau

Dr Daroyah Alwi_01

KAPAR, 13 OKTOBER: Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memantau peningkatan wabak denggi yang semakin meningkat di Selangor.

Exco Kesihatan Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata, setakat ini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terlibat dalam usaha memerangi wabak ini yang melibatkan beberapa kawasan tumpuan.

“Kita faham peningkatan kes denggi di Selangor dan sekarang ini di PBT yang terlibat antaranya MBSA dan MPKj.

“Mungkin disebabkan oleh sampah dan kawasan yang tidak bersih, longkang yang tersumbat dan keadaan cuaca.

“Jadi pihak Jabatan Kesihatan dan PBT sentiasa memantau tempat-tempat tumpuan kejadian denggi kita pantau dan kenalpasti,” katanya kepada TV Selangor.

Menurut Adun Sementa ini lagi, jawatankuasa penduduk setempat turut dipanggil untuk berbincang mengenai perkara ini supaya mereka mengendalikan program gotong-royong pembersihan kawasan kediaman selain melakukan pemeriksaan di premis perniagaan.

“Pertama akan memanggil jawatankuasa penduduk untuk melaksanakan gotong-royong pembersihan.

“Selain itu pihak PBT akan memberikan kompaun premis-premis yang mempunyai jentik-jentik,” katanya lagi.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melaporkan, terdapat 11,498 kes dilaporkan setakat 5 Oktober lepas iaitu peningkatan 61.74% berbanding 7,109 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Sebanyak 14 kematian akibat denggi dicatatkan tahun ini berbanding 11 kes bagi tempoh sama pada 2012.

Dalam pada itu, sebanyak 230 lokaliti wabak dilaporkan di seluruh Selangor dengan 75 lokaliti (32.6%) daripadanya di daerah Petaling, 71 lokaliti (30.9%) di Hulu Langat dan 44 lokaliti (19.1%) di daerah Gombak.

Jabatan itu dalam kenyataan menyatakan terdapat 16 lokaliti wabak tidak terkawal dan 22 lokaliti ‘hotspot’ atau wabak berlarutan di Selangor.

Secara keseluruhan, kes denggi di seluruh negara menunjukkan peningkatan apabila 23,829 kes dilaporkan tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.