Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR ucap takziah mangsa tragedi arus deras Cameron Highland

Banjir lumpur di cameron

SHAH ALAM 24 OKT : PKR mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi arus deras akibat pembukaan empangan Sultan Abu Bakar di Ringlet,Cameron Highland yang mengakibatkan kematian tiga jiwa.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, meskipun tidak ada sesiapa mempersoalkan keperluan untuk menghalang empangan tersebut daripada pecah dan mengakibatkan kesan yang buruk namun beliau runsing dengan prosedur yang digunapakai bagi melepaskan air empangan tersebut.

“Adakah amaran sewajar dan secukupnya diberikan kepada mereka yang hampir pasti menerima kesan daripada pelepasan terbabit?

“Apakah langkah keselamatan lain yang diambil bagi memastikan mudarat daripada situasi demikian berada pada kadar minima?,” soal Azmin dalam satu kenyataan.

Azmin berkata, beliau mempersoalkan siapa yang sebenarnya mempunyai autoriti untuk mengarahkan pelepasan dan kenapa pihak berkuasa itu menanti sehingga tengah malam sebelum membunyikan isyarat amaran.

“Mereka yang bertanggungjawab mesti memberikan penjelasan kepada orang ramai,” kata Azmin.

Dalam kejadian itu berlaku banjir kilat di Cameron Highland apabila TNB membuka pintu empangan hidroeletrik itu sehingga menyebabkan kira-kira 80 rumah di pinggir Sungai Bertam dilanda arus deras, awal pagi semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published.