Categories
SELANGOR

Polis dan Kerajaan gagal permohonan rayuan pampasan keluarga Aminulrasyid

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 MAC: Mahkamah Persekutuan menolak rayuan polis dan Kerajaan berhubung kematian remaja Aminulrasyid Amzah pada 2010 dan mengekalkan jumlah ganti rugi RM114,800 yang diberikan kepada keluarga itu.

Pihak polis dan kerajaan hari ini dalam permohonan mereka merayu jumlah ganti rugi kepada keluarga itu pada sebanyak RM100,000 berdasarkan Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Undang-Undang Sivil.

Bagaimanapun, ketiga-tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif menolaknya.

“Tidak ada keperluan untuk mentafsirkan kedua-dua seksyen itu. Permohonan rayuan ini ditolak,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Hakim lain yang bersidang sama adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali yang membuat keputusan sebulat suara.

Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada Mac 2016 memberi RM414,800 kepada ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohammad dan kakak sulungnya Nor Azura sebagai ganti rugi atas kematian remaja itu.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan pada Jun 2017 mengurangkan jumlah ganti rugi kepada RM114,800 tetapi mengekalkan keputusan bahawa tiada justifikasi untuk polis melepaskan tembakan ke arah Aminulrasyid.

Norsiah, 68, dan Nor Azura, 47, menyaman polis dan kerajaan dengan menuntut ganti rugi bagi kematian Aminulrasyid, yang mati akibat luka tembakan di kepala yang mereka dakwa disebabkan oleh kecuaian Koperal Jenain Subi.

Aminulrasyid terkena tembakan dilepaskan polis semasa mengejar kereta yang dipandu remaja itu pada kira-kira jam 2 pagi pada 26 April, 2010.

Jenain, 54, dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid namun dia kemudiannya dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Categories
SELANGOR

Gambar bersama pengubat rindu – sahabat Aminulrasyid

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Kenangan menjalani latihan bola sepak dan bermain ragbi bersama Allahyarham Aminulrasyid Amzah ketika zaman persekolahan akan tersemat di sanubari Irfan Atiffe Mohd, 21, buat selamanya.

Enam tahun berlalu, namun perasaan rindu terhadap teman baiknya sentiasa menebal kerana selama ini mereka menghabiskan masa bersama menonton perlawanan bola sepak.

Irfan Atiffe“Saya redha dengan pemergiannya, dan masih rindu padanya.

“Saya anggap dia (Aminulrasyid) sebagai kawan baik saya, memang dari dulu harap kes ini akan menang.

“Semalam saya tengok berita, Alhamdulilah (keluarga) dia menang.

“Kalau mak dia puas hati, saya pun puas hati,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga Allahyarham Aminulrasyid.

Berkongsi kisah zaman persekolahan, beliau mengenali Aminulrasyid sejak sekolah rendah sebelum mereka menuntut di Sekolah Menengah Seksyen 9.

“Saya kawan dengan dia dari darjah enam.

“Kami kenal zaman main ragbi, main lumba lari sekali dan sekolah menengah bersama di Seksyen 9,” katanya.

Irfan Atiffe berkata, hanya gambar bersama menjadi kenangan setiap kali rindu terhadap Allahyarham bertandang.

-nR-

Categories
SELANGOR

Mahkamah gugur rayuan, Ibu Aminulrashid: ‘Anak saya mati macam anak kucing…”

OLEH: SIRAJ MOHD ZAINI

PETALING JAYA 23 DIS: Kejadian malang menimpa Aminulrashid Amzah masih segar dalam ingatan ibunya, Norsiah Mohamad yang kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan menggugurkan kes melibatkan arwah anaknya.

Katanya, keputusan mahkamah didakwa tidak adil dan berat sebelah kerana keadilan tidak berpihak kepada keluarganya yang menuntut pembelaan di atas kematian Aminulrashid apabila ditembak polis dalam satu kejadian awal pagi 24 April 2010 lalu.

DSC_0506a“Nampak sangat berat sebelah, tak ada keadilan langsung, macam-macam tohmahan untuk anak saya, dalam internet macam-macam tohmahan untuk saya, saya tak kacau orang, sedangkan anak saya ditembak macam banduan besar, macam penjenayah besar, sedangkan umur anak saya 14 tahun.

“Bukan satu peluru, tapi 21 peluru dan mahkamah boleh katakan ia dilakukan tanpa niat,” katanya dalam sidang media di pejabat Lawyers of Liberty (LFL) di 8 Avenue, Petaling Jaya, di sini hari ini.

Beliau turut ditemani ahli keluarganya serta Ahli Parlimen Padang Serai, N.Surendran serta peguam PKR, Latheefa Koya.

Dalam kejadian awal pagi di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 Shah Alam itu, Aminulrashid meninggal dunia akibat luka tembakan dikepalanya selepas ditembak berpuluh das tembakan oleh seorang anggota polis berpangkat Koperal.

Susulan itu, keluarga Aminulrashid memfailkan saman sebanyak RM50 juta di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 April lalu kepada Kerajaan Pusat dan polis bagi menuntut keadilan terhadap insiden itu.

aminulNorsiah berkata, sehingga kini pihak yang bertanggungjawab termasuk Kerajaan Pusat serta polis tidak tampil untuk memohon maaf terhadap insiden yang menimpa keluarganya itu.

“Tak ada pun minta maaf dengan saya, kalau malu nak jumpa saya pun, telefon, saya hormat polis yang ada etika, ada wawasan, tapi saya tak hormat polis macam itu,” kata Norsiah.

Dalam pada itu, N.Surendran, berkata biarpun Mahkamah Rayuan sudah membuat keputusan, Peguam Negara (AG) boleh menggunakan kuasa untuk memfailkan usul mengkaji semula keputusan diputuskan mahkamah kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Katanya, kes berkenaan ditangani secara tidak serius dan lebih kepada menutup kelemahan dan kesilapan yang dilakukan polis ketika insiden itu berlaku.

“Sudah lebih tiga tahun, namun tiada siapa yang dijatuhkan hukuman di atas apa yang berlaku,” katanya yang juga Naib Presiden PKR itu.

Dakwanya, polis tidak bertindak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerana boleh menembak kenderaan suspek sewenang-wenangnya tanpa usul periksa.

“30 peluru digunakan untuk memberhentikan kenderaan?, Awak tak boleh tembak untuk memberhentikan kenderaan, awak tak boleh tembak jika tiada ancaman, ia terkandung dalam (SOP) polis,” kata Surendran.

EZY

Categories
SELANGOR

SAMM : Polis Tidak Pernah Mohon Maaf Kepada Keluarga Aminulrasyid

SHAH ALAM 6 DIS : Sehingga hari ini, pihak polis dan Menteri Dalam Negeri tidak pernah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh anggota polis.

“Walaupun didesak berkali-kali, pihak polis tidak menarik balik tuduhan penjenayah dan tetap tidak akui bahawa parang tersebut adalah ?planted evidence?.

“Jangan sesekali kita lupa bahawa polis telah melepaskan 21 das tembakan untuk memberhentikan sebuah kereta biasa, bukan kereta kebal dan ini melangkaui keraguan munasabah,” tegas Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan dalam satu kenyataan media.

Aminulrasyid, 15 tahun ditembak mati oleh anggota polis semasa beliau memandu kereta kepunyaan kakaknya di dalam satu kejadian kejar-mengejar antara 1 -2 pagi di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini 26 April tahun lalu.

Selepas kejadian awal pagi itu, Polis Kontijen Selangor mendakwa polis melepaskan tembakan ke arah kereta itu kerana mendakwa Aminulrasyid cuba melanggar anggota polis yang mengejarnya.

Polis turut mendakwa Aminulrasyid seorang penjenayah kerana kononnya sebilah parang dijumpai di dalam kereta yang dipandunya.

Akan tetapi, semasa perbicaraan mahkamah, kawan Aminulrasyid yang berada di dalam kereta pada masa itu berkata Aminulrasyid mati di tembak di kepala.

Ini menyebabkan Aminulrasyid hilang kawalan kereta sehingga merempuh kaki lima dan terjunam ke dalam longkang.

Semasa perbicaraan, tiada bukti yang diketengahkan bahawa parang dijumpai di dalam kereta itu.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Koperal Jenain Subi 49, daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli menerima rayuan anggota polis itu terhadap hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada September tahun lepas.

“Dengan pelbagai tohmahan palsu, tanpa sebarang permaafan dari pihak polis dan menteri KDN, dan terbaru keputusan mahkamah yang ?tidak logik?, di manakah keadilan buat arwah adik Aminulrasyid?

“Jenain dibiarkan bebas ketika keluarga arwah Aminulrasyid meratapi pemergian ?budak penjenayah? ciptaan polis, tanpa keadilan,” tegasnya lagi.

Justeru itu, SAMM berpendirian kelalaian pihak polis wajar diakui dan si penembak harus dijatuhkan hukuman setimpal agar tiada lagi polis menembak di lapangan awam tanpa pertimbangan yang sepatutnya, Edy Noor berkata.

 

Kes Aminulrasyid : Demi Keadilan, Peguam Negara Mesti Fail Rayuan

SHAH ALAM,5 DIS : Peguam Negara digesa memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Koperal Jenain Subi,49, dalam kes menembak mati remaja lelaki berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah dua tahun lalu.

Peguam, N Surendran ketika dihubungi berkata, pihak kerajaan, Peguam Negara dan polis perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana tiada keadilan diberikan kepada pihak keluarga mangsa dalam kes itu.

“Dari awal lagi polis cuba menutup apa yang berlaku dan membuat kenyataan palsu mengenai wujudnya parang di dalam kereta.

“Dan juga menyatakan Aminulrasyid cuba memandu kereta ke arah polis yang kesemuanya ini dibuktikan tidak benar,” kata Surendran.

Jelas beliau, apa yang mengecewakan adalah sehingga kini polis tidak pernah memohon maaf berkenaan kes ini.

“Kita menuntut supaya pihak Peguam Negara memfailkan rayuan secepat mungkin dan juga pihak kerajaan dan polis membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga Aminulrasyid kerana mengeluarkan kenyataan palsu,” katanya.

Ujarnya lagi, kini beliau menunggu arahan seterusnya daripada pihak keluarga Aminulrasyid untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes ini menunjukkan perlunya diwujudkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) oleh kerajaan agar boleh menyiasat salahlaku yang dilakukan oleh anggota polis.

“Antara sebab utama kerana tiada keadilan berlaku dalam kes ini ialah ketiadaan IPCMC,” katanya.

Sebelum ini, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempertimbangkan rayuan Jenain, memutuskan demikian selepas mendapati Jenain tidak mempunyai niat untuk membunuh remaja berkenaan.

Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.

Beliau juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.

Jenain yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pertengahan September 2011, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Ketika menjatuhkan itu, Hakim Latifah Mohd Tahar memutuskan bahawa penggunaan senjata oleh Jenain, yang berakhir dengan 21 tembakan, satu tindakan keterlaluan dan tidak wajar untuk menghentikan kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid.