SHAH ALAM, 26 MAC: Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan pengeluar pesawat Boeing Co bakal berdepan dengan tindakan mahkamah selepas bapa kepada Firman Chandra Siregar yang juga penumpang pesawat MH370 memfailkan petisyen bagi mendapatkan bahan bukti kes terbabit.
Perkara itu dilaporkan REUTERS selepas firma yang diwakili Januari Siregar membuat satu kenyataan berhubung tindakan yang bakal diambil ke atas dua syarikat berkenaan.
Firman adalah salah seorang daripada tujuh warga Indonesia yang menaiki pesawat MH370 dan penerbangan itu dilaporkan berakhir di Lautan Hindi, pada 24 Mac lalu.
Firma Ribbeck Law dari Chicago, Amerika Syarikat menjelaskan petisyen itu dilakukan untuk memperoleh bukti berkenaan tragedi terbabit yang difailkan ke atas Boeing Co dan Malaysia Airlines pengendali penerbangan itu.
Peguam, Monica Kelly, berkata pemfailan petisyen berkenaan adalah permulaan kepada saman berjumlah berjuta dolar oleh keluarga Firman ke atas MAS dan Boeing.
“Kita percaya dua defendan yang dinamakan bertanggungjawab ke atas bencana yang membabitkan MH370,” katanya.
Petisyen yang difailkan di Cook County, Illinoie Circuit Court itu juga dilakukan bagi mendapatkan bukti berhubung kemungkinan masalah pesawat berkenaan berpunca daripada kecacatan rekaan dan pembuatan.