Categories
NASIONAL

Bersih 2.0 tak terkejut tapi kecewa Adam Adli dihukum penjara

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 19 SEPT : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) tidak terkejut dengan keputusan penghakiman ke atas aktivis, Adam Adli atas tuduhan menghasut, namun kecewa terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas bekas pemimpin pelajar itu.

Bersih 2.0 dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya terkejut dengan hukuman keras ke atas Adam hanya kerana tindakannya yang menggesa rakyat supaya menolak parti pemerintah sebagai kerajaan yang mentadbir negara.

mansuh aktaKatanya hukuman itu dikenakan di sebalik kegagalan mengemukakan bukti konkrit bagaimana kenyataan beliau telah menyebabkan gangguan mahupun keganasan.

“Banyak diperkatakan tentang ciri-ciri anti-demokratik dan niat Akta Hasutan yang digubal untuk menjaga kepentingan penjajah, namun ia terus digunakan kerajaan menutup mulut individu mempunyai perbezaan pendapat berhubung keyakinan terhadap kerajaan pemerintahan.

“Akta Hasutan adalah undang-undang zalim yang mesti dihapuskan jika kita ingin berkembang sebagai sebuah negara demokrasi yang matang,” katanya.

Gabungan itu juga yakin rakyat tidak akan membiarkan undang-undang kuno itu menghalang mereka daripada terus menyuarakan perbezaan pendapat, terutamanya terhadap pentadbiran kerajaan yang memerintah di negara ini.

Katanya perkara terbaik yang perlu dilakukan kini adalah untuk menghentikan semua dakwaan dan prosiding di bawah Akta Hasutan sehingga perbincangan yang lebih terperinci dilakukan di Parlimen berhubung perkara berkenaan.

“Peguam Negara mengumumkan pada 9 September lalu bahawa semua kes yang belum selesai akan dikaji semula, termasuk menggantikan akta ini kepada undang-undang baru berdasarkan janji Perdana Menteri,” katanya lagi.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas bekas pemimpin pelajar Adam Adli Abdul Halim, setelah didapati bersalah atas tuduhan hasutan.

Hakim Mahkamah Sesyen Mat Ghani Abdullah berkata pihak pendakwa telah membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.

Adam Adli dituduh membuat kenyataan berbaur hasutan dalam satu ceramah selepas pilihan raya di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.