Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen dilarang guna perkataan hasutan, rasis dan biadab

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Semua ahli Dewan Rakyat diingatkan agar tidak menggunakan perkataan berbaur hasutan, rasis, biadab dan seksis sepanjang persidangan berlangsung.

Yang Dipertuanya, Datuk Azhar Azizan Harun yang memulakan sesi persidangan pagi ini berkata, beliau dan timbalannya akan mengambil tindakan berlandaskan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sekiranya perkataan sedemikian masih digunakan oleh ahli parlimen.

Azhar berkata beliau mengadakan perjumpaan dengan wakil whip parti semalam bagi membincangkan perkara itu dan semua yang hadir menyatakan komitmen dalam memastikan perkataan berbentuk hasutan, rasis, biadab dan seksis tidak digunakan.

“Adalah diharapkan semua ahli-ahli Yang Berhormat memberi komitmen sama demi menjamin perjalanan dewan yang berkualiti dan beradab sopan.

“Saya ingin mengingatkan kepada Yang Berhormat semua dan diri saya sendiri bahawa keberadaan kita di sini memberi tanggungjawab yang amat berat iaitu harapan rakyat pada kita semua,” katanya.

Mereka yang hadir pada perjumpaan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan ketua whip kerajaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (wakil Barisan Nasional), Datuk Seri Hamzah Zainudin (wakil Bersatu), Datuk Takiyuddin Hassan (wakil PAS), Datuk Seri Fadillah Yusof (wakil GPS) dan Datuk Johari Abdul (wakil KEADILAN).

Turut hadir, Alice Lau Kiong Yieng (wakil DAP), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (wakil Amanah), Ahmad Hassan (wakil Warisan), Dr Maszlee Malik (wakil bebas) dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (Backbencher) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Dalam pemaklumannya, Azhar turut berharap semua ahli parlimen berbahas dengan tertib dan sopan supaya kepentingan rakyat dapat dibela serta kesucian Dewan Rakyat sentiasa dijaga.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bersih 2.0 tak terkejut tapi kecewa Adam Adli dihukum penjara

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 19 SEPT : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) tidak terkejut dengan keputusan penghakiman ke atas aktivis, Adam Adli atas tuduhan menghasut, namun kecewa terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas bekas pemimpin pelajar itu.

Bersih 2.0 dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya terkejut dengan hukuman keras ke atas Adam hanya kerana tindakannya yang menggesa rakyat supaya menolak parti pemerintah sebagai kerajaan yang mentadbir negara.

mansuh aktaKatanya hukuman itu dikenakan di sebalik kegagalan mengemukakan bukti konkrit bagaimana kenyataan beliau telah menyebabkan gangguan mahupun keganasan.

“Banyak diperkatakan tentang ciri-ciri anti-demokratik dan niat Akta Hasutan yang digubal untuk menjaga kepentingan penjajah, namun ia terus digunakan kerajaan menutup mulut individu mempunyai perbezaan pendapat berhubung keyakinan terhadap kerajaan pemerintahan.

“Akta Hasutan adalah undang-undang zalim yang mesti dihapuskan jika kita ingin berkembang sebagai sebuah negara demokrasi yang matang,” katanya.

Gabungan itu juga yakin rakyat tidak akan membiarkan undang-undang kuno itu menghalang mereka daripada terus menyuarakan perbezaan pendapat, terutamanya terhadap pentadbiran kerajaan yang memerintah di negara ini.

Katanya perkara terbaik yang perlu dilakukan kini adalah untuk menghentikan semua dakwaan dan prosiding di bawah Akta Hasutan sehingga perbincangan yang lebih terperinci dilakukan di Parlimen berhubung perkara berkenaan.

“Peguam Negara mengumumkan pada 9 September lalu bahawa semua kes yang belum selesai akan dikaji semula, termasuk menggantikan akta ini kepada undang-undang baru berdasarkan janji Perdana Menteri,” katanya lagi.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas bekas pemimpin pelajar Adam Adli Abdul Halim, setelah didapati bersalah atas tuduhan hasutan.

Hakim Mahkamah Sesyen Mat Ghani Abdullah berkata pihak pendakwa telah membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.

Adam Adli dituduh membuat kenyataan berbaur hasutan dalam satu ceramah selepas pilihan raya di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur.

EZY

Categories
NASIONAL

Hukuman 12 bulan penjara Adam Adli bukti BN makin rakus

SHAH ALAM, 19 SEPT: Keputusan hukuman 12 bulan penjara ke atas Adam Adli di bawah Akta Hasutan ini menggambarkan kerakusan Kerajaan UMNO-Barisan Nasional.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Nik Nazmi Nik Ahamd berkata, keputusan yang dibuat untuk menyekat segala bentuk pandangan kritis yang selari dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya diterima di bawah mana-mana sistem demokrasi.

mansuh aktaBeliau berkata, siri pendakwaan dan sabitan yang berlaku ini memuncak ketika negara menyambut Hari Kemerdekaan Tanah Melayu dan Hari Malaysia.

“Kerajaan tersilap sekiranya mereka memikirkan pendakwaan besar-besaran di bawah Akta Hasutan ini akan menakut-nakutkan rakyat.

“Sebagaimana ditunjukkan di dalam kempen-kempen #MansuhAktaHasutan# selama ini, rakyat kini bangkit bersatu menolak undang-undang ini dan akan terus bergerak sehingga undang-undang ini dimansuhkan sama sekali,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Umno-BN patut jelaskan erti sebenar menghasut

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi patut menjelaskan pengertian sebenar ‘menghasut’ sehingga mengakibatkan ramai individu kembali ditahan di bawah akta berkenaan.

Datuk S. Ambiga, berkata lebih mengecewakan, sejak kebelakangan ini ramai pimpinan politik dan aktivis pro-pembangkang ditahan dan didakwa dibawah Akta Hasutan 1948 yang diwarisi sejak zaman penjajah.

mansuh akta“Apabila bukan Melayu diserang dan disuruh pulang ke negara asal mereka, itu tidak pula dikata menghasut?

“Tetapi apabila peguam memberi pendapat mereka dalam isu berkepentingan umum, itu dikatakan menghasut, ” kata Penaung pergerakan Negara-Ku semasa pelancaran Gerakan Mansuh Akta Hasutan (GHAH) semalam.

Bekas Pengerusi Bersama Bersih 2.0 ini juga mempersoalkan tindakan kerajaan yang mengambil masa selama dua tahun sebelum mengheret bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin atas pertuduhan jenayah fitnah.

“Jika kata-kata beliau disifatkan jenayah fitnah, mengapa perlu tunggu dua tahun sebelum bertindak? Rakyat cepat terlupa dengan apa yang dilaporkan semalam,” katanya lagi.

Pada 25 Ogos, Mohammad Nizar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dua tahun lalu.

EZY