Categories
NASIONAL

Individu bocor soalan UPSR pengkhianat negara – Fuziah

Oleh Lizawati Madfa

SHAH ALAM, 12 SEPT: Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin didesak meletak jawatan ekoran kejadian soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bocor.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, berkata ia bukan sahaja memalukan, malah menghancurkan integriti institusi pendidikan negara yang diuar-uar sebagai terbaik dunia.

Sebagai menteri bertanggungjawab, beliau berkata Muhyiddin tidak boleh lari dan sekadar menuding jari kepada pihak lain.

“Akibat tangguh kertas peperiksaan ini, kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan, cetak semula, kos pengangkutan, bayaran kepada pemeriksa dan pengawas peperiksaan dan lain-lain kos.

“Juga, kesan kepada perkara lain seperti perancangan percutian keluarga terganggu, masa guru terpaksa masuk kelas dan mengajar lagi,” katanya dipetik dari Facebooknya.

Pada 10 Spetember lepas, soalan kertas Sains UPSR didapati bocor diikuti kertas Bahasa Inggeris yang diduduki calon pada pagi semalam yang juga terpaksa dibatalkan.

Kementerian Pendidikan mengumumkan kedua-dua kertas peperiksaan berkenaan akan ditangguhkan kepada 30 September ini.

Mengulas lanjut, Fuziah menggesa agar kerajaan dapat mengesan punca kejadian ini dan memastikan ia tidak akan berulang di masa hadapan.

“Orang yang membocorkan soalan ini adalah pengkianat negara, bangsa dan agama,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.