Categories
NASIONAL

Individu bocor soalan UPSR pengkhianat negara – Fuziah

Oleh Lizawati Madfa

SHAH ALAM, 12 SEPT: Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin didesak meletak jawatan ekoran kejadian soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bocor.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, berkata ia bukan sahaja memalukan, malah menghancurkan integriti institusi pendidikan negara yang diuar-uar sebagai terbaik dunia.

Sebagai menteri bertanggungjawab, beliau berkata Muhyiddin tidak boleh lari dan sekadar menuding jari kepada pihak lain.

“Akibat tangguh kertas peperiksaan ini, kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan, cetak semula, kos pengangkutan, bayaran kepada pemeriksa dan pengawas peperiksaan dan lain-lain kos.

“Juga, kesan kepada perkara lain seperti perancangan percutian keluarga terganggu, masa guru terpaksa masuk kelas dan mengajar lagi,” katanya dipetik dari Facebooknya.

Pada 10 Spetember lepas, soalan kertas Sains UPSR didapati bocor diikuti kertas Bahasa Inggeris yang diduduki calon pada pagi semalam yang juga terpaksa dibatalkan.

Kementerian Pendidikan mengumumkan kedua-dua kertas peperiksaan berkenaan akan ditangguhkan kepada 30 September ini.

Mengulas lanjut, Fuziah menggesa agar kerajaan dapat mengesan punca kejadian ini dan memastikan ia tidak akan berulang di masa hadapan.

“Orang yang membocorkan soalan ini adalah pengkianat negara, bangsa dan agama,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pendidik desak tubuh suruhanjaya bebas siasat soalan UPSR bocor

Oleh Afix Redzuan

SHAH ALAM, 12 SEPT: Sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak suruhanjaya bebas dibentuk bagi untuk menyiasat insiden kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik), Normala Sudirman berkata, ia perlu supaya kejadian sama tidak berulang pada peperiksaan lain.

“Di mana letaknya kejujuran dan sifat amanah pada ‘orang dalam’ yang diberi mandat untuk membuat soalan dan menggubal dasar jika perkara melibatkan UPSR pun boleh berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada kenyataan media, hari ini mengulas kebocoran kertas soalan UPSR bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris 1 & 2 tahun 2014.

Peperiksaan UPSR yang bermula pada 9 September sepatutnya berakhir pada 11 September 2014

Menyifatkan ia mencemar imej Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Normala berkata, ia mengakibatkan motivasi pelajar menurun kerana terpaksa menduduki semula peperiksaan.

Beliau berkata, perancangan musim cuti persekolahan ibu bapa dan guru bertugas juga terjejas berikutan soalan baru terpaksa digubal dan dicetak semula.

Katanya, kementerian perlu menyiasat secara terperinci dan mengheret pihak bertanggungjawab membocorkan soalan itu ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal.

“Ia sebagai pengajaran kepada semua supaya menjalankan melaksanakan tugas yang diamanah dalam bidang pendidikan,” katanya.

– FZL

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: Soalan UPSR bocor, kementerian patut ada kertas alternatif bukan tangguh

SHAH ALAM 11 SEPT: Kementerian Pelajar sepatutnya menyediakan kertas ujian alternatif bagi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam menghadapi kes kebocoran kertas peperiksaan.

Naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, ia akan dapat memastikan peperiksaan berjalan lancar dan tidak perlu ditunda seperti yang berlaku dalam kes kertas Science UPSR, yang sepatutnya diduduki pelajar hari ini.

Nurul-IzzahBerikut adalah kenyataan penuh Nurul Izzah berkenaan isu Soalan UPSR bocor

Semalam, Lembaga Peperiksaan telah mengumumkan bahawa kertas soalan UPSR bagi subjek Sains 018, 028 dan 038 telah bocor, menyebabkan sebanyak 473,175 murid tahun 6 yang sedang menduduki peperiksaan tersebut terkesan.

Peperiksaan tersebut dilaporkan ditunda sehingga 30 September yang akan datang; mengikut rancangan awal UPSR sepatutnya berakhir hari ini.

Sumber Kementerian Pendidikan dipetik berkata, “peperiksaan tersebut ditangguhkan ke 30 September kerana perlu menunggu siasatan pihak berkuasa selain mengambil kira waktu cuti persekolahan yang akan bermula 13 September ini.

Dalam tempoh itu juga kementerian perlu merangka kembali soalan baharu bagi kertas Sains berkenaan.”

Malah, Astro Awani melalui laman sesawangnya juga mendakwa kertas peperiksaan bagi Matematik turut bocor – dakwaan yang enggan diulas Lembaga Peperiksaan.

UPSR BOCORLembaga Peperiksaan Malaysia telah membuat laporan polis tentang insiden kebocoran kertas peperiksaan Sains yang sedang disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi; sementara siasatan dalaman Kementerian belum lagi diumum status dan perinciannya .

Dalam pada itu, kita masih menantikan keputusan jawatankuasa khas yang menyiasat dakwaan kebocoran kertas peperiksaan SPM 2013 yang diwujudkan Kementerian Pendidikan pada tahun lepas. Keputusan serta hasil siasatan jawatankuasa tersebut wajib dipapar kepada umum.

Kementerian Pendidikan bersama Lembaga Peperiksaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kebocoran-kebocoran ini.

Permohonan maaf tidak memadai; dan sebuah pasukan sepatutnya dibentuk untuk mengenalpasti sumber kebocoran – dengan transparen dan bertanggungjawab.

Lembaga juga seharusnya merangka sebuah prosedur untuk memastikan sekiranya perkara ini berlaku lagi, sebuah pelan kontigensi dapat digerakkan untuk memastikan peperiksaan berjalan dengan lancar – contohnya menerusi set kertas peperiksaan alternatif.

Lembaga Peperiksaan sepatutnya mengambil iktibar daripada sebuah kejadian yang pernah berlaku di Untied Kingdom; AQA telah memberikan set soalan alternatif untuk digunakan dalam peperiksaan A-Levels di United Kingdom apabila didapati set soalan asal dalam peperiksaan Pengajian Perniagaan telah bocor .

Dalam sebuah lagi kes yang pernah berlaku di Ireland pada tahun 2009, sebuah peperiksaan Bahasa Inggeris hanya ditangguhkan sebanyak 3 hari, apabila soalan peperiksaan tersebut didapati bocor.

Soalan alternatif diberikan kepada lebih 50,000 pelajar setelah seorang petugas peperiksaan telah tersalah membocorkan soalan sehari sebelum peperiksaan itu diambil .

Penangguhan peperiksaan adalah suatu penganiayaan kepada anak-anak sekolah yang bertungkus-lumus membuat persediaan untuk peperiksaan tersebut; termasuklah keluarga mereka yang terkesan.

Kementerian Pendidikan dan Lembaga Peperiksaan sepatutnya telah lebih bersedia dalam menangani kemelut ini dan dengan serta-merta mempamerkan kebertanggungjawaban yang menyeluruh dalam menjawab, menyiasat dan respon berkala kepada umum berkait sebarang dakwaan kebocoran – tanpa mengganggu konsentrasi anak-anak yang menduduki sebarang peperiksaan awam, termasuk PT3, UPSR, SPM dan STPM. Kegagalan berterusan hanya memberi justifikasi kepada penggantian Menteri.

EZY

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Soalan bocor bukan kali pertama: PKPIM gesa siasat

Oleh: Mohammad Fazril Mohd Saleh

PKPIM menyatakan kekesalan akibat penangguhan ujian mata pelajaran Science 018, 028, 038 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dijadualkan berlangsung pada jam 8:15 pagi ini kerana didapati bocor.

Merujuk kepada kenyataan akhbar oleh Lembaga Peperiksaan pada 10 September 2014, kandungan soalan bagi kertas peperiksaan itu telah tersebar melalui media sosial.

UPSR BOCORLembaga Peperiksaan juga telah menyatakan komitmennya untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat kes ini dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

Tindakan Lembaga Peperiksaan untuk menarik semula soalan peperiksaan mata pelajaran Science 018, 028, 038 yang bocor ini merupakan suatu tindakan yang betul dan wajar walaupun kemungkinan besar banyak lagi soalan peperiksaan bagi mata pelajaran lain juga turut bocor di media sosial.

PKPIM mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab ini. Membocorkan soalan peperiksaan awam adalah suatu tindakan khianat terhadap prinsip pendidikan dan perbuatan ini menyalahi semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.

Lebih menyedihkan, tarikh penangguhan peperiksaan ini bersamaan dengan tarikh pembentangan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang telah dibentangkan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin pada dua tahun yang lalu (11 September 2012).

Justeru, PKPIM bertanya, berdasarkan kejadian ini, sejauh mana keseriusan pihak kementerian dalam menambahbaik sistem pendidikan negara?

logo pkpimKebocoran soalan peperiksaan bukanlah kali pertama berlaku. Ia bukan fenomena baharu dalam konteks peperiksaan awam di Malaysia. Cuma, mungkin soalan bocor itu tidak dianggap sebagai ‘bocor’ sebelum ini.

Kami juga percaya, sekiranya satu kertas peperiksaan telah bocor soalannya, maka tidak mustahil untuk kebocoran soalan berlaku untuk kertas-kertas peperiksaan yang lain.

Oleh yang demikian, sebagai sebuah pertubuhan pelajar di peringkat kebangsaan yang sentiasa peduli dengan kualiti pendidikan di Malaysia, PKPIM menggesa pihak berwajib khususnya Lembaga Peperiksaan dan Kementerian Pendidikan menyiasat isu ini secara serius akan isu ini.
Tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mereka yang terlibat dalam tindakan tidak bertanggungjawab ini.

Kepada para guru, penggubal soalan peperiksaan dan juga petugas peperiksaan, PKPIM mengingatkan bahawa peperiksaan adalah salah satu aspek daripada keseluruhan proses pembelajaran bagi para pelajar.

Peperiksaan bertujuan untuk membuat pentaksiran dan penilaian terhadap apa yang dipelajari.

Justeru, kami merayu agar mengelakkan perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini atas sebab semata-mata untuk “ranking” sekolah yang baik. Tindakan seperti ini adalah amat memalukan.

Kepada ibu bapa, kami sedia maklum bahawa kecemerlangan anak-anak dalam peperiksaan merupakan sesuatu yang diidamkan. Adalah menjadi kebanggaan bagi setiap ibu bapa apabila anak-anak mereka cemerlang dalam peperiksaan.

Walau bagaimanapun, apakah tindakan menyebarkan soalan bocor seperti ini dianggap sebagai sesuatu yang bermaruah dan boleh dibanggakan?

PKPIM sekali lagi menyatakan kekesalan kami terhadap peristiwa yang berlaku ini. Kami menggesa pihak bertanggungjawab menyiasat kes ini secara serius demi maruah dan masa depan pendidikan negara.

* Mohammad Fazril Mohd Saleh adalah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)