Categories
NASIONAL

SAMM: Najib guna Akta Hasutan mahu tunjuk ‘keras’ pada Tun M

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 SEPT: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengecam keras penangkapan serta pendakwaan berantai terhadap beberapa individu termasuk pemimpin pembangkang, mahasiswa dan ahli akademik di bawah Akta Hasutan dan ia tindakan politik.

Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard), berkata penggunaan akta zalim membuktikan ‘kekerasan’ Datuk Seri Najib Razak kepada Tun Mahathir Mohamad setelah dikritik mantan Perdana Menteri itu, baru-baru ini.

mansuh aktaBeliau berkata ia juga bagi menutup mulut serta menakutkan-nakutkan rakyat daripada terus mengkritik pentadbiran Najib yang terbukti lemah berbanding Perdana Menteri yang lain.

“Rejim kini dipimpin Najib kelihatan tertekan dengan label ‘lemah dan lembik’ diberikan Tun Mahathir, jadi membuktikan beliau ‘keras’ maka Akta Hasutan digunakan secara berantai.

“Tindakan ini juga tidak lebih daripada mendiamkan serta menakutkan rakyat semakin jelas mengkritik rejim pimpinan Najib,” katanya dalam satu kenyataan.

Chegubard berkata Najib juga gagal menunaikan janjinya pada 2012 memansuhkan Akta Hasutan, namun beranggapan ia bukan sesuatu pelik kerana Perdana Menteri itu seringkali mungkir janji.

ChegubardBeliau turut mengkritik penggunaan akta berkenaan yang terus menyekat kebebasan rakyat menyatakan pandangan meskipun negara sudah mencapai kemerdekaan sejak 1957.

“Penggunaan Akta Hasutan ini adalah satu pembodohan malah mangsanya bukan sahaja ahli politik tetapi pelajar, ahli akedemik, pendakwah agama termasuk rakyat biasa.

“Lebih parah lagi ia hanya digunakan kepada individu yang melawan rejim penguasa sahaja, manakala Menteri dan penyokong rejim boleh berkata apa sahaja di khalayak tanpa dikenakan tindakan.

“Sekali lagi SAMM mengecam tindakan menggunakan akta lapuk dalam usaha berterusan memperbodohkan rakyat ini,” katanya lagi.

Penggunaan Akta Hasutan kian berleluasa apabila ia melibatkan beberapa pemimpin politik antaranya, Rafizi Ramli, Tian Chua, N Surendran termasuk aktivis mahasiswa, Safwan Anang.

Terbaru, seorang ahli agama dipaksa bermalam dalam tahanan dan didakwa hanya kerana tulisan status Facebooknya pada 2012.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.