Categories
NASIONAL

Bayaran royalti dan balak isu berbeza

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan kerajaan PAS Kelantan bahawa isu pembayaran royalti minyak dan aktiviti pembalakan adalah dua perkara berbeza.

Katanya, perkara itu tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk merosakkan alam sekitar dengan meneruskan aktiviti pembalakan.

“Isu pembayaran royalti sudah kita nyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan akan akur kepada peruntukan undang-undang, tetapi ini soal persekitaran yang kita mahu semua negeri (jaga) bukan sahaja Kelantan.

“Sementara kita mahu negeri itu dibangunkan tetapi persekitaran mesti dijaga. Itu sahaja. Tidak boleh jika ada kelewatan atau kegagalan pembayaran royalti, maka negeri akan dirosakkan, ini kita tidak akan benarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran 3R On Wheels dan Kad Mesra di sini, lapor BERNAMA.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Kerajaan Negeri itu bersedia menghentikan semua aktiviti pembalakan jika Kerajaan Persekutuan dapat menyelesaikan pembayaran royalti minyak seperti dijanjikan sebelum ini.

Katanya, pembayaran royalti minyak dianggarkan RM700 juta setahun itu jauh lebih mencukupi untuk pembangunan Kelantan berbanding RM100 juta setahun hasil daripada aktiviti pembalakan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Persekutuan sudah bersetuju membayar semula royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan secara tunai, namun tidak menyatakan bila dan jumlah bayaran itu akan dikemukakan.

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pembalakan haram bakal rugikan negara

OLEH AHMAD NIZAM HAMID

Saya ambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri berhubung kerugian negara kira-kira RM15.2 juta akibat daripada aktiviti pembalakan haram di Semenanjung Malaysia dari tahun 2006 hingga 2016.

Ternyata begitu banyak pokok yang telah ditebang dan berkemungkinan kawasan hutan dan bukit telah ditarah dan digondol sewenang-wenangnya.

Kegiatan pembalakan haram ini amat membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius kerana seolah-olah tidak dapat dibendung lagi angkara perbuatan rasuah yang membabitkan pembalak dan anggota penguatkuasa agensi kerajaan.

Difahamkan juga, pada tempoh yang sama sebanyak 256 kes pembalakan haram telah direkodkan dan sejumlah 229 orang telah ditangkap berhubung kegiatan ini. Adakah kadar hukuman yang dikenakan tidak begitu berat?

Selain kerugian sehingga puluhan jutaan ringgit, berlaku juga kemusnahan alam sekitar, kerosakan kawasan tadahan air serta menjejaskan kehidupan liar.

Pencerobohan dan pembalakan haram yang berleluasa telah menjejaskan ekosistem hutan yang diceroboh kerana telah ditebang dan digondolkan. Hutan-hutan yang terjejas ini tidak mungkin dapat digantikan dalam waktu yang singkat.

Sekiranya kegiatan pembalakan haram ini tidak dibendung, negara akan mengalami kerugian sehingga ratusan juta ringgit setahun.

Saya menggesa Jabatan Perhutanan dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk memandang serius masalah ini.

Pada masa yang sama, untuk berlaku adil, kerajaan harus memastikan kelestrasian hutan dan alam sekitar. Adalah tidak berlaku adil sekiranya untuk menyalahkan pembalakkan haram semata-mata, ini kerana kelulusan konsesi balak wajar turut disertakan dengan syarat-syarat yang lebih ketat selain secara tender terbuka.

Malaysia selaku pihak yang menandatangani Protokol Kyoto mengenai ‘Climate Change’ harus terkehadapan daripada sudut menjaga dan memugar alam sekitar bukan sahaja menguatkuasakan undang-undang berkaitan pembalakan haram tetapi juga di dalam isu pemberian konsesi balak yang kelihatannya tidak terkawal dan dilakukan sewenang-wenangnya.

# Ahmad Nizam Hamid adalah Timbalan Pengerusi KEADILAN Pahang

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA BERITA UTAMA

Tiada aktiviti pembalakan di hutan simpan kekal Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA SELANGOR, 26 MAC: Kerajaan Negeri tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan di hutan simpan kekal seluruh Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, komitmen itu dilaksanakan bagi memastikan nilai estetika hutan di negeri itu kekal terpelihara selaras dasar sedia ada yang dilaksanakan, sejak 2009.

“Kawasan hutan mempunyai estetika tidak ternilai seperti sungai, air terjun, jeram dan pembentukan batu yang unik, tanah lembab, flora dan fauna yang mampu menjadi destinasi pelancongan tempatan juga antarabangsa.

AZMIN“Selaras hal ini, Kerajaan Negeri melaksanakan dasar pembalakan ‘monitoring’ selama 25 tahun dengan tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan di dalam hutan simpan kekal,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Program Tanam Pokok di Taman Alam sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor 2017, pada 25 Mac lalu.

Terdahulu, Kerajaan Negeri tidak lagi mengeluarkan lesen pembalakan komersial sejak dasar moratorium 25 tahun memberhentikan pembalakan komersial diperkenalkan, pada tahun 2009.

Menyokong kepada usaha itu, Mohamed Azmin berkata, 250,129 ekar atau 31.5 peratus kawasan hutan di Selangor diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

Beliau berkata, ia satu dasar yang ditetapkan dengan keluasan hutan simpan kekal di Selangor tidak boleh kurang dari 30 peratus berbanding keluasan tanah yang ada.

Tidak terhenti setakat itu, katanya, polisi pengurusan dan pemuliharaan pokok di negeri berkenaan turut diwujudkan sebagai inisiatif menjayakan hasrat terbabit.

“Untuk tempoh ini, kita menjalinkan kerjasama bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan menyediakan polisi pengurusan dan pemuliharaan pokok di seluruh Selangor.

“Polisi ini membuktikan usaha Kerajaan Negeri terhadap aktiviti pemulihan dan pemeliharaan pokok oleh pihak berkuasa tempatan Selangor dilaksanakan mengikut amalan agrikultur terbaik,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

2,500 balak disita di Kedah, syarikat diarah henti operasi

ALOR SETAR 5 MAC: Kira-kira 2,500 balak disita, selain sebuah syarikat pembalakan diarah menghentikan operasi di Hutan Simpan Ulu Muda serta merta selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan undang-undang perhutanan.

Timbalan Pengarah (Operasi), Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Mohd Rahim Ramli, berkata melalui operasi dua hari di kawasan terbabit, syarikat berkenaan didapati hanya membalak pokok berkualiti, majoritinya jenis meranti yang tidak mempunyai nombor tag.

Sehubungan itu, katanya, JPNK menyita balak berkenaan serta tiga jentera untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 25, Akta Perhutanan Negara.

“Syarikat itu dipercayai mengambil kesempatan hanya memilih balak tertentu yang 80 peratus daripadanya adalah jenis meranti dan selebihnya keruing, selain dikesan menebang balak yang tidak mempunyai nombor tag termasuk nombor tag di batang balak tidak sama dengan pokok yang ditanda.

“Selain itu, syarikat terbabit turut membina matau transit (tempat simpanan sementara balak dalam hutan) tanpa kebenaran serta menebang pokok di kawasan zon penampan, sekali gus dikhuatiri boleh mengakibatkan risiko hakisan, ” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, syarikat terbabit juga dipercayai melanggar syarat lesen apabila melakukan pelbagai kesalahan sejak dua minggu lalu.

Beliau berkata, JPNK kini sedang melakukan siasatan lanjut untuk menganggarkan jumlah kerugian serta keluasan balak yang ditebang di kawasan larangan lapor BH ONLINE.

=EZY=

Categories
NASIONAL

SPRM, Jabatan Hutan bentuk jawatankuasa banteras rasuah pembalakan

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah bersetuju secara dasar untuk menubuhkan jawatankuasa bersama memantapkan integriti dan menangani gejala rasuah berkaitan perhutanan dan pembalakan.

Timbalan Ketua Persuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata jawatankuasa itu merupakan platform terbaik menangani gejala rasuah dan mempertingkatkan integriti dalam perlaksanaan tugas di peringkat jabatan.

“Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mencetuskan idea ini. SPRM menyambut baik dan merasakan perlu sebuah jawatankuasa bersama kerana ia akan membawa peranan yang lebih efektif kedua-dua agensi ini,” kata beliau, dipetik dari laporan agensi berita Bernama.

SPRM dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah mengadakan sesi perbincangan di ibu negara baru-baru ini bagi menggalakkan lagi kolaborasi untuk memantapkan tadbir urus dan sistem penyampaian di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Pada sesi pertemuan ini, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Dato’ Profesor Dr. Abd Rahman Abd Rahim bersama Pengarah-pengarah Jabatan Perhutanan Negeri dan Bahagian. Selain Mustafar, SPRM diwakili oleh Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Dato’ Mohd Yusoff Akope.

“Kerjasama antara agensi adalah penting bagi memperkukuhkan integriti dan menangani isu rasuah, dan pada masa yang sama, membetulkan persepsi di kalangan orang ramai,” kata Dr Abd Rahman.