Categories
NASIONAL

Suaram: Sabitan Safwan Anang mundurkan demokrasi, kebebasan bersuara

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 6 SEPT : Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyifatkan sabitan terhadap Pengerusi Eksekutif Lensa, Muhammad Safwan Anang di bawah Akta Hasutan 1948 memberi kesan terhadap demokrasi kerana menyekat hak kebebasan bersuara.

Pengarah Eksekutifnya, Yap Swee Seng,  berkata adalah menjadi hak warganegara berkempen menuntut perubahan kerajaan dalam demokrasi berfungsi.

mansuh aktaKatanya sabitan terhadap Safwan mengesahkan Akta Hasutan bertentangan kebebasan bersuara dan prinsip demokrasi serta dijadikan alat kerajaan menyekat kritikan.

“Safwan disabitkan kerana menjalankan hak kebebasan bersuara dan hak mengambil bahagian dalam kerajaan negaranya, secara langsung atau melalui wakil dipilih dengan bebas seperti dijamin di bawah Perkara 19 dan Perkara 21 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

“Tindakannya adalah sah dan termasuk dalam sistem demokrasi kerana beliau tidak mengambil jalan keluar dengan melakukan keganasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Yap berkata sebuah kerajaan bertanggungjawab tidak boleh menindas pendapat individu mengkritik pentadbiran mereka, sebaliknya menerima kritikan itu secara positif untuk meningkatkan prestasi berkhidmat kepada rakyat.

Katanya perbuatan mengenakan Akta Hasutan terhadap individu  bersifat menindas, ketinggalan zaman serta tidak reelvan dalam abad ke-21 ini, malah tidak mempunyai tempat dalam masyarakat demokratik.

“Ia adalah kekecewaan yang tidak terhingga walaupun Perdana Menteri pernah berjanji untuk memansuhkan akta itu pada tahun 2012 dan 2013.

“Jika Perdana Menteri ingin mendapat keyakinan orang ramai terhadap janji yang dibuat, maka beliau mesti memansuhkan Akta Hasutan serta-merta,” kata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu lagi.

Semalam, Safwan dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didapati bersalah pada pertuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam ceramahnya, tahun lalu.

Hakim Norsyaridah Awang membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir pembelaan.

Bagaimanapum mahkamah membenarkan penangguhan pelaksaan hukuman penjara bekas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu sementara proses rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun wang jaminan ditingkatkan daripada RM5,000 kepada RM15,000.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.